Kalau buntut orang bandar terjolokkan bambu tajamnya harga barangan; orang kampung nampaknya meski mati ditimpa balak pun masih tidak peduli ditindas dan dizalimi. Tidakkah ini sihir yang menarik untuk ditekuni? Dah mati dilanggar balak pun, masih ada dalam kalangan kita belum merdeka jiwanya.
Banjir, bah, fenomena kepala air dan segala macam istilah yang digunakan sebetulnya tidak lain tidak bukan berpunca dari pertama; pembangunan haram jadah; dan keduanya kerana, pembalakan yang halalan. Untuk mereka yang sudah dimangsai ditodak balak, dek jiwa belum merdeka, ramai-ramai akan menyahut; toyyiban. Padahal mereka ditimpa balak. Dalam sesetengah keadaan, sudah ditimpa balak kemudian dihempuk durian lagi.
Kita tidak menafikan banjir dan keganasan fenomena kepala air dijadikan alasan bencana banjir. Pun untuk orang yang belum melihat kematian orang terdekat dek banjir ini, mereka pasti mengenang pengalaman ini dengan kepasrahan, padahal ramai sungguh mati dihempuk balak.
Kehadiran dan kekerapan hujan di Malaysia yang terletak di zon Equatorial bukanlah sesuatu yang luar biasa. Angin Monsun Timur Laut membawa hujan yang lebat ke negeri-negeri di Pantai Timur dan juga ke Sabah dan Sarawak. Seperti tahun-tahun sebelumnya, hujan ini akan turun dengan lebat beberapa hari secara berterusan lantas mengakibatkan banjir seperti bah besar yang berlaku pada 1967, dan 1971.
Di dalam catatan sejarah banjir besar kerap berlaku di negara ini, antara lain pada 1931, 1947, 1954, 1957, 1967 dan 1971. Dalam satu laporan mengenai bah besar 1926, Nizam Yatim di Utusan Malaysia bertarikh 15 Januari 1971 menyatakan bah besar pada 1926 itu terjadi lantaran ‘kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak’. Jika pembangunan saliran menjadi alasan kepada banjir pada 1926, 1967 dan 1971; secara umum, rata-rata masyarakat menyalahkan pembangunan yang tidak seimbang sebagai musabab kepada banjir yang berlaku sejak dekad kebelakangan ini.
Misalnya sekumpulan penyelidik diketuai Muhammad Barzani Gasim dan Ekhwan Toriman dari Universiti Kebangsaan Malaysia mengaitkan banjir yang berlaku antara 17 Disember sehingga 19 Disember 2006 di Segamat Johor dengan perubahan guna tanah yang berleluasa dan tanpa pemantauan. Lapor mereka dalam makalah ’Analisis Banjir Disember 2006: Tumpuan di Kawasan Bandar Segamat, Johor’ untuk Sains Malaysiana begini:
Berlakunya banjir ini besar kemungkinan berkaitan dengan kesan perubahan guna tanah, keadaan sistem saliran yang tidak terpelihara disamping keadaan iklim. Oleh yang demikian, dicadangkan pengekalan hutan simpan, kawal perubahan guna tanah, penaiktarafan sistem saliran, elak pembangunan di kawasan rendah patut dipertimbangkan oleh pihak penguat kuasa di Johor.
Perenggan di atas mengesahkan bahawa faktor hujan sahaja tidak boleh dijadikan alasan kepada berlakunya banjir besar di Malaysia. Adalah jelas korupsi dan pembangunan yang rakus ikut menyumbang kepada bencana di negara ini. Dalam erti kata lain, bencana banjir di negara kita bukan salah Tuhan, tetapi salah sendiri.
Kita selalu mendengar, pemimpin yang tidak terkesan oleh banjir, bah dan fenomena kepala air ini akan berhujah, anggap sajalah ini satu musibah. Kadang mangsa dibujuk dengan kata-kata agama dan nasihat. Bahawa banjir ini adalah dugaan Tuhan.
Adalah penting untuk kita membezakan antara musibah dan bencana. Enrico L. (Henry) Quarantelli, dari Disaster Research Center University of Delaware selaku seorang sosiologis yang banyak mengkaji kesan bencana, menyatakan terdapat perbezaan yang besar antara musibah dan bencana.
Beliau memberikan enam perbezaan untuk menjelaskan apakah itu bencana. Bencana terjadi apabila, pertamanya struktur masyarakat terkesan dengan amat mendalam. Jika seisi kampung ditolak lumpur maka kita tahu ia adalah bencana.
Kedua, ketika bencana sedang terjadi, pihak berkuasa tempatan gagal melakukan tugas membantu dan bantuan kecemasan hanya dapat disalurkan ketika proses pemulihan iaitu sesudah bencana mereda.
Ketiga, bantuan dari masyarakat terdekat gagal dikejarkan ke tempat terjadinya bencana secara serta-merta. Seterusnya, keempat, kita mengetahui ia bukan musibah tetapi adalah bencana apabila fungsi masyarakat jatuh mendadak dan terganggu untuk satu tempoh yang panjang. Katakan, ahli masyarakat kehilangan tempat berlindung sekelip mata. Atau anak-anak gagal untuk kembali ke situasi asal seperti persekolahan. Ada yang tidak boleh meneruskan perniagaan kecilan, atau orang kampung tidak dapat lagi berkebun. Ini bermakna ahli masyarakat akan disibukkan oleh pengurusan pasca bencana sebelum dapat kembali normal.
Selain itu, ketika terjadinya bencana, kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan komunikasi terputus menandakan fungsi masyarakat terjejas secara menyeluruh.
Kelima, sesebuah bencana akan mendapat liputan meluas media massa termasuk di peringkat antarabangsa. Lebih besar sesebuah bencana itu maka lebih besar liputannya di media massa antarabangsa. Sebagai contoh pada Disember 2014, ketika banjir besar di Kelantan, perdana menteri ketika itu, Najib Razak pulang agak lambat kerana diketahui bermain golf dengan Presiden Obama di Hawaii. Bencana besar di Kelantan tersebut telah mendapat perhatian media massa internasional sehingga ia bukan lagi dapat dianggap suatu musibah biasa.
Keenam, yang pada saya paling penting adalah menurut Quarantelli dalam ‘Catastrophes are Different from Disasters: Some Implications for Crisis Planning and Managing Drawn from Katrina’ sebaik sesuatu bencana berlaku kebiasaannya pemimpin politik paling atas akan turun padang.
Besar atau kecil bencana itu dapat diukur apabila masyarakat tidak mengendahkan kehadiran pemimpin politik tersebut malah mereka dikecam atau dikritik sama ada secara berdepan atau di belakang. Dalam erti kata lain, simbol kehadiran mereka sebagai satu ‘lambang pembujukan tokoh politik’ tidak lagi dianggap mustahak atau relevan oleh masyarakat memandangkan mereka sedang menempuh penderitaan dan kesengsaraan yang jauh lebih besar.
Berdasarkan definisi dan pandangan Quarantelli di atas, adalah jelas banjir-banjir besar yang berlaku di negara kita ini bukanlah suatu musibah biasa (disaster) malah sebetulnya adalah ‘catastrophe’ atau dalam bahasa Melayunya bencana (malapetaka).
Kejadian bencana di Baling baru-baru ini adalah bencana besar. Banjir itu tidak terjadi dengan sendirinya. Bahkan Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader telah berkali-kali menggesa kerajaan Kedah, dan Jabatan Hutan dan Pejabat Daerah Baling untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kemungkinan bencana akan berlaku.
Selama ini, keluhan penduduk kampung kerana kerosakan alam sekitar yang cukup menjejaskan kualiti hidup mereka tidak pernah diatasi. Laporan media mengenai kelulusan penggondolan dan penanaman durian di Gunung Inas, daerah Baling yang mengakibatkan kerosakan ke atas sungai, mendapan dan kemusnahan kawasan tadahan air tidak ditangani. Banjir lumpur di Baling itu tidak syak lagi berlaku kerana keseimbangan ekologi yang sangat sensitif telah terganggu sehingga menyebabkan nyawa melayang.
Untuk mengatasi masalah banjir yang akan terus mengambil nyawa kita, sebetulnya rakyat perlu bangkit. Rakyat di kampung mahupun di bandar. Bangkit membebaskan diri kita sendiri. Yakni memerdekakan jiwa. Jikalau kita terus kekal hangguk sahaja, maka bencana akan kerap menimpa. Bak kata peribahasa baru; buntut orang bandar terjolokkan bambu tajamnya harga barangan; orang kampung nampaknya meski mati ditimpa balak pun masih tidak peduli ditindas dan dizalimi.
Kita perlukan perubahan dan orang yang dapat memecahkan sihir ini. Sebab nampaknya dah mati dilanggar balak pun, masih ada dalam kalangan kita belum merdeka jiwanya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.