“Government of the people, by the people, for the people”.
Maaf saya mulakan artikel kali ini dalam bahasa Inggeris. Harap jangan ada yang tuduh saya tidak menghormati bahasa Melayu.
Cuma apa yang saya lakukan ialah menggunakan bahasa asal digunakan oleh Abraham Lincoln, presiden ke-16 Amerika Syarikat ketika menyampaikan apa dikenali sebagai Perutusan Gettysburg 163 tahun lalu sebagai penghargaan kepada tentera yang gugur semasa perang saudara Amerika.
Perutusan itu diucapkan setelah tentera Union yang menyebelahinya menewaskan tentera Confederacy.
Kata-kata itu disifatkan sebagai definisi demokrasi. Ertinya ia menghuraikan apa itu demokrasi.
Ia menegaskan “kerajaan rakyat (yakni government of the people) oleh rakyat (by the people) untuk rakyat (for the people). Bermaksud kerajaan yang dibentuk mewakili rakyat yang memilihnya maka berkhidmatlah untuk rakyat.
Jelas demokrasi yang membawa maksud “pemerintahan rakyat” adalah sistem di mana rakyat menggunakan kuasa secara langsung memilih wakil daripada kalangan mereka untuk menubuhkan kerajaan. Demokrasi juga kadangkala dirujuk sebagai “pemerintahan majoriti”.
Lantas jika rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi atau apa yang dilakukan (atau tidak dilakukan) kerajaan yang mereka pilih, rakyat akan menuntut kerajaan berkhidmat untuk mereka sambil mengingatkan kerajaan “kami yang memilih kamu”.
Di negara kita begitu jugalah laungan dan peringatan jika rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan. Kita juga berkata “berbaktilah kepada kami kerana kami yang pilih kamu wahai kerajaan”.
Berkata jugalah kita-“berkhidmatlah kepada kami. Ingat, kamu kami yang pilih. Beri kami yang terbaik-jangan lupa kami yang pilih kamu. Dahulukan kami kerana kami yang letak kamu di tempat kamu sekarang”. Dan banyak lagi peringatan seperti tu.
Ia kita teriakan kepada setiap kerajaan sejak negara ini merdeka pada 1957 apabila “ada yang tak kena”. Pada waktu terdekat peringatan dan laungan juga ditujukan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini dan kerajaan masa kini yang diketuai Ismail Sabri Yaakob.
Apabila didapati pentadbiran Muhyididn lemah dan tidak efisien rakyat melaung kata-kata itu mendesak ia “buck up” sambil mengingatkan “rakyat yang pilih kerajaan”. Oleh itu balaslah dengan perkhidmatan paling baik.
Kata-kata itu sekarang kedengaran-ditujukan kepada kerajaan Ismail apabila ramai tidak berpuas hati dengan apa dipersembahkan pentadbirannya. Ia diingatkan buatlah sesuatu yang baik untuk rakyat. Apa lagi pada waktu ini ketika rakyat menderita, tertekan dan dihimpit lonjakan harga makanan dan kos tinggi perkhidmatan serta kos sara hidup menggunung.
Lantas kerajaan diingatkan “kami yang pilih kamu-maka berkhidmatlah untuk kami”. Apatah lagi rakyat juga kerap difahamkan bahawa mereka adalah bos. Dan rakyat percaya mereka sememangnya bos kerana ada kuasa menentukan siapa memerintah negara.
Oleh itu, kerajaan tidak boleh mengabaikan apa yang rakyat kata. Ia mesti ambil peduli. Kerana (diulang) rakyat pilih mereka jadi kerajaan.
Tetapi kerajaan ini dan juga kerajaan sebelum ini (pentadbiran Muhyiddin) bukan dipilih rakyat. Yang dipilih rakyat dalam PRU14 pada 2018 ialah Pakatan Harapan. Kerajaan itu sudah tiada-digulingkan oleh Muhyididn dan rakan-rakan.
Muhyiddin dan rakan-rakan lebih bijak berpakat-pakat berbanding kerajaan Dr Mahathir Mohamad yang bangga dengan perkataan “pakatan” yang tertera sebagai nama rasmi gabungannya.
Hakikatnya Muhyiddin, Azmin Ali, Abdul Hadi Awang serta Ahmad Zahid Hamidi dan juga Najib Razak pakat. Mereka bijak ikat parti-parti bersekutu mereka. Mungkin sebab itu mereka namakan diri kerajaan Perikatan (perkataan asal ikat) Nasional. Sekadar meneka kemungkinan.
Realitinya mereka jadi kerajaan tanpa menang pilihan raya. Sebahagian besar mereka kalah. Namun, mereka tetap jadi kerajaan (ikut pintu belakang atau tebuk atap kata Hadi sendiri). Jelas mereka nodai pilihan dan keputusan rakyat yang dibuat pada 9 Mei 2018.
Tidak lama kemudian muncul pula kerajaan Ismail. Juga menjadi kerajaan tanpa menang pilihan raya. Main politik serta runding-runding memaksa Muhyiddin letak jawatan sekali gus tumbanglah kerajaan Perikatan Nasionalnya.
Ismail jadi perdana menteri dan tubuh kerajaannya. Bijak mereka bermain politik. Itu semua sejarah yang kita sudah tahu.
Apa yang hendak saya katakan ialah kerajaan Muhyiddin dan kerajaan Ismail tidak dipilih rakyat. Oleh itu, bolehkah kita sang rakyat, menggesa dan menuntut mereka (khasnya pentadbiran Ismail kerana ia memerintah sekarang) berkhidmat untuk “kami kerana kamu kami yang pilih?”
Mereka bukan kita yang pilih. Mereka jadi kerajaan bukan atas “ihsan” atau sebab kita. Hatta adakah mereka perlu dengar tuntutan dan peringatan kita? Perlukah mereka beri kita yang terbaik untuk membalas jasa kita-padahal tidak ada jasa kepada mereka kerana tidak memilih mereka?
Namun, secara individu ada antara mereka yang dipilih rakyat pada PRU14. Mereka mewakili rakyat dan bergelar wakil rakyat. Dikumpulkan mereka duduk dalam kerajaan. Oleh itu, memang boleh kita memberitahu mereka dengan lantang kerajaan kamu kami tidak pilih tetapi secara individu ada yang kami pilih. Maka berilah kami yang terbaik.
Dan anehnya kerajaan ini (juga kerajaan Muhyiddin dulu) gemar mendakwa mereka adalah kerajaan rakyat untuk rakyat. Mereka mendakwa mereka dipilih rakyat (mungkin sebagai taktik politik memikat sokongan). Seirama kata kata Lincoln pada 19 Nov 1863.
Oleh kerana mendakwa mereka kerajaan pilihan rakyat (walau rakyat tidak memilih mereka), sila lakukan apa yang sebuah kerajaan rakyat dituntut lakukan.
Jika tidak ia akan tetap menjadi kerajaan bukan pilihan rakyat. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.