`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 14, 2022

Panduan lawak agar tak sebar kebencian

 

Baru-baru ini terdapat pasangan yang didakwa melakukan penghinaan terhadap agama Islam dalam satu acara komedi di ibu kota. Saya sering didekati dan ditanya mengenai jenayah kebencian ini.

Misalnya, bagaimanakah mengesan atau memastikan satu-satu jenaka, status media sosial, khutbah Jumaat, atau kenyataan politik itu dapat dihujahkan berbaur kebencian? Bagaimana ia boleh menjadi satu “jenayah”? Apakah terdapat panduan mudah untuk menentukan satu-satu kenyataan itu memang kenyataan kebencian atau sekadar “berbau” kebencian sahaja?

Sebetulnya, sangat mudah untuk menentukan apakah satu-satu kenyataan, baik bertulis atau dalam bentuk lisan itu, berteraskan kebencian.

Caranya ialah dengan menggunakan ukur tara hak asasi manusia.

Parameter yang saya selalu tekankan adalah dengan Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013); yang ditawarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia satu kaedah untuk mengenal pasti apakah yang wajar dinamai “kebencian dan hasutan” dan apa pula yang boleh dikategorikan sebagai “kebebasan bersuara”, atau adakah ia sekadar satu “bau” yang tentunya busuk melantung.

Saya tidak dapat mendengar penuh jenaka yang dikemukakan oleh pasangan dalam acara komedi itu. Menerusi laporan media dan kehebohan netizen, difahamkan wanita tersebut telah menanggalkan pakaian, mendakwa dirinya menghafal separuh daripada al-Quran, dan dikatakan memain-mainkan ajaran Islam.

Akan tetapi, untuk mereka yang kebetulan ada ketika jenaka itu dilontarkan, mereka harus tahu Pelan Tindakan Rabat menyediakan perbezaan yang jelas antara kebebasan bersuara (yang amat saya pertahankan) dan jenayah kebencian. Khalayak di kelab komedi itu sepatutnya tidak bersorak, tetapi mengecam mereka.

Panduan yang disediakan Pelan Tindakan Rabat itu haruslah disebar dan dikunyah lumat oleh masyarakat (dalam kes ini, kelab itu sendiri mesti jelas). Pelan ini khusus untuk mereka yang mengaku anggota masyarakat yang punya sivik. Menerusi pelan ini, pemilik kelab komedi atau pelawak dapat memeriksa sendiri jenaka mereka.

Pertamanya, ia menyediakan polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai “kemerdekaan bersuara” dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif.

Kebencian terhadap agama secara kolektif melibatkan:

i. Konteks

Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.

ii. Pengucap

Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenal pasti. Secara khususnya, apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat.

iii. Niat

Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain, terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.

iv. Kandungan dan bentuk

Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung, dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.

v. Keluasan

Keluasan ucapan juga dititikberatkan. Dalam konteks ini, apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di internet atau arus perdana, dan apakah audien mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit.

vi. Potensi risiko

Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap agama secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi, lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini, ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran.

Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, kita boleh menilai jenaka pasangan tersebut apakah ia sengaja mencari pasal atau satu kebebasan bersuara.

Meskipun saya tidak mendengar dengan penuh jenaka yang disampaikan, “mungkin” laporan media dan netizen dapat menjadi petunjuk.

Dalam hal pertama, mengenai konteks; perlu ditentukan konteks jenaka tersebut ditujukan kepada siapa. Apakah atau siapakah sasarannya?

Poin kedua oleh Pelan Tindakan Rabat adalah pengucap; seseorang itu mempunyai status penting dalam masyarakat. Dalam hal ini, adakah wanita tersebut seorang selebriti? Atau mereka pempengaruh masyhur di media sosial? Jika ya mereka terkenal, maka harus dipastikan sejauh mana kesohoran mereka. Adakah mereka cukup berpengaruh?

Bersekali dengan poin ini ialah keluasan jenaka wanita itu. Ini bermaksud, adakah kenyataan wanita ini telah tersebar di TikTok, atau di YouTube dan bukan diucapkan dalam satu majlis tertutup, katakan dalam satu acara dengan jemputan khas misalnya. Ia juga mestilah bukan “dibocorkan”, tetapi memang diuar-uar atau dihebahkan dengan niat mempersenda.

Manakala jika kita meneliti aspek niat, kita perlu menentukan adakah memang ia lucu dan lawak?

Juga harus dipastikan apakah jenaka itu berniat hasutan? Hal ini hanya dapat ditentukan dengan aspek seterusnya.

Hal ini boleh ditekuni berdasarkan kandungan dan bentuk; seperti yang disebutkan sebelumnya bahawa “analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak”.

Seperkara yang perlu ditimbangkan ialah terdapat juga dakwaan daripada ramai pihak (seperti kelab komedi lain) bahawa jenaka itu berupa sabotaj terhadap ruang seni tersebut. Tambahan pula, ruang seni ini sudah membuat laporan polis dan sedar “potensi risikonya”. Ia mungkin juga bukan satu jenayah kebencian yang terancang, tetapi sebetulnya satu tindakan bengap dan bertujuan mendapat perhatian.

Soalnya, mengapa tiada tindakan pencegahan pantas dilakukan; dan mengapa pula khalayak semacam menggalakkan, tertawa dan bertepuk tangan?

Jika diukur dengan Pelan Tindakan Rabat, adakah ia melampaui poin atau kriteria yang digariskan?

Kita juga mendapati ada beberapa kriteria penting lain tidak terpenuhi. Yakni, sebagai contoh pasangan kekasih ini tidak pun penting dalam masyarakat, bukan ahli politik tersohor, bukan selebriti, malah bukan sesiapa pun. Malah, jenaka ini tidak tersebar dengan luas, dan hanya berlegar dalam kalangan mereka yang punya media sosial.

Mereka menjadi terkenal kerana kita yang menghebahkan kebodohan mereka itu. Kita mesti membezakan apakah kita perlu melayan orang bodoh yang suka bertelanjang dan menjatuhkan maruah sendiri, atau jenayah kebencian yang betul-betul melampaui batas.

Menurut saya ada lebih banyak kenyataan berupa jenayah kebencian yang dilontarkan oleh pemimpin agama dan politikus. Itu jauh lebih berbahaya dan berpotensi menimbulkan keganasan. Mereka ini malah ada jumlah pengikut yang ramai. Akan tetapi siapa akan memeriksa mereka?

Siapa? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.