`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 24, 2022

Sekolah tak boleh ‘paksa’ pengusaha kantin sertai RMT, kata persatuan

 

Antara sebab pengusaha kantin menolak untuk mengendalikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kerana kekangan kewangan, kelewatan menerima bayaran dan kadar tidak munasabah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengusaha kantin sekolah boleh menolak untuk menyertai program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kerana tiada peruntukan khusus mewajibkan mereka berbuat demikian, kata Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa.

Katanya, antara sebab mereka tidak mahu mengendalikan RMT susulan kekangan kewangan, kelewatan menerima bayaran dan kadar RMT tidak munasabah.

Beliau berkata, pengusaha kantin sebaliknya hanyalah pilihan utama sebagai pelaksana RMT dan sentiasa terbuka untuk menolak daripada melaksanakan program berkenaan, mengikut kesediaan serta kemampuan mereka.

Normah berkata, kes pengusaha kantin enggan mengendalikan RMT sebenarnya agak banyak, namun aduan rasmi tidak sampai kepada pengetahuan pihak persatuan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Tempoh perjanjian RMT adalah selama setahun, manakala tender kantin sekolah berkuat kuasa selama dua tahun dan pengusaha boleh ditawarkan lanjutan setahun, jika prestasinya memuaskan.

“Pentadbiran sekolah memang tidak boleh mewajibkan pengusaha kantin membekalkan RMT, jika pengendali enggan berbuat demikian dan mereka perlu melantik pihak luar untuk meneruskan pelaksanaan program berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.

Normah berkata, pentadbiran sekolah boleh melantik pihak lain bagi mengendalikan RMT, jika pengusaha kantin di sekolah terbabit enggan menyertai program itu.

Beliau mengulas kenyataan sebilangan pengusaha kantin sekolah di Sarawak yang enggan memperbaharui kontrak pembekalan RMT jika kadar sekarang tidak dinaikkan seiring lonjakan harga barangan ketika ini.

Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan dilapor mencadangkan kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung, manakala RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilapor berkata peruntukan sedia ada bawah Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung manakala RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan, tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.