Hari ini 16 Julai 2022 Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) dikatakan mungkin memberitahu Umno keputusannya berhubung permohonan parti itu meminda perlembagaan supaya pemilihan Umno hanya diadakan enam bulan selepas pilihan raya.
Mungkin juga semasa anda membaca artikel ini keputusan JPPM sudah diketahui. Tetapi sehingga artikel ini ditulis tiada pemberitahuan dibuat JPPM. Namun perlu diingat JPPM punya masa 60 hari untuk membuat keputusan.
Pun begitu pada 13 Julai lalu Hamzah Zainudin menteri dalam negeri yang bertanggungjawab ke atas JPPM, berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ada meminta keputusan berkenaan dibuat sebelum hari ini yakni 16 Julai.
Apa pun keputusan JPPM, Umno selaku parti politik akan atau pasti melihatnya pada sudut politik, terutama jika keputusan tidak memihak kepadanya meskipun menurut Hamzah “keputusan JPPM dibuat mereka secara bebas” dan walaupun “saya menteri yang mengawal JPPM keputusan JPPM dibuat sendiri”.
Hamzah kita tahu bekas orang Umno yang kini memegang jawatan setiausaha agung Bersatu, seteru Umno. Bukan rahsia Umno melihat beliau dengan “syak wasangka” dan penuh “kesangsian”.
Umno sudah beberapa kali menyuarakan rasa tidak puas hati akan “kelewatan” JPPM mengumumkan keputusan. Notis pindaan perlembagaan dikemukakan Umno kepada JPPM pada 17 Mei lalu.
Umno berulang kali menegaskan JPPM tidak punya sebab melengah apa lagi menolak permohonannya kerana Umno “sudah menepati semua syarat yang ditetapkan”, termasuk mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 15 Mei lalu yang meluluskan secara rasmi usul pindaan perlembagaan parti.
Pada 11 Julai lalu, Setiausaha Agung Ahmad Maslan memberitahu dengan jelas Umno ada Pelan B jika JPPM tolak pindaan perlembagaannya. Apa Pelan B itu? Sebelum itu kalau ada Pelan B mesti ada Pelan A terlebih dahulu. Jadi apa Pelan A?
Pelan A (walaupun Umno tidak menamakannya demikian) ialah Umno mengadakan pemilihan parti sebelum akhir tahun ini. Kemungkinan Umno adakan pemilihannya sebelum 29 Disember, dikatakan Ahmad sendiri.
Andainya itu dilaksanakan faktor amat penting ialah keputusan kes mahkamah membabitkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi. Begitu juga rayuan yang dikemukakan bekas presiden Umno Najib Razak. Keputusan berkenaan mempunyai kesan dan akan menentukan sama ada mereka boleh bertanding atau tidak.
Ditakdirkan mereka, terutama Zahid, tidak bertanding jawatan presiden mungkin yang akan cuba mengambil alih ialah Mohamad Hasan, timbalannya sekarang. Logiknya Tok Mat patut diangkat tetapi pemerhati politik tidak yakin itu akan terjadi. Malah ada yang percaya beliau akan hanya mempertahankan jawatan timbalan.
Hampir pasti Ismail mahu jadi presiden. Jika menang akan membereskan “masalah naib presiden yang jadi perdana menteri” yang menyulitkannya sekian lama.
Ada pemerhati menganggap Khairy Jamaluddin calon berpotensi. Pada pemilihan 2018 beliau cuba merebut jawatan presiden bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Zahid. Kita tahu KJ dan Ku Li tewas. Itu sebabnya Zahid presiden hingga ke hari ini.
Kali ini mungkinkah Khairy akan cuba lagi? Pada saya tidak – jika Ismail mahu duduk jawatan presiden. Khairy akan beri laluan. Apatah lagi Khairy (bersama bekas ahli MKT Umno dan setiausaha agung BN, Annuar Musa) anggota tim Ismail.
Mungkin beliau akan beri tumpuan kepada jawatan timbalan presiden atau mungkin jika Tok Mat boleh “dipujuk” untuk menyertai tim Ismail, Khairy dan juga Annuar akan bertanding naib presiden, bagi memastikan Ismail dan orangnya menguasai pucuk pimpinan Umno. Wallahualam. Ini sekadar ramalan dan spekulasi.
Berbalik cerita Pelan B yang dinyatakan Ahmad. Menurut beliau Umno sebenarnya “tidak mahu buat Pelan B”. Ertinya akan hanya lakukan jika terpaksa. Ini bermakna Pelan B sesuatu yang besar, serius, dan memeranjatkan. Mungkin juga boleh membawa padah. Kepada siapa? Itu persoalannya.
Hakikatnya Pelan B akan hanya dilaksanakan jika JPPM “tak lulus permohonan kami”, kata setiausaha agung Umno itu. Beliau enggan mendedahkan butiran Pelan B yang dirancangkan. Tentulah – takkan nak dedah rahsia strategi – bukan begitu?
Kata Lokman Adam, orang kuat Najib yang dilucut keahlian Umno pada Januari 2020 tetapi diterima kembali pada September 2021, sesiapa yang nak tahu apa Pelan B “kenalah tanya Ahmad. Beliau lebih mengetahui kerana beliau setiausaha agung”.
Namun katanya menerusi siaran saluran YouTube, “kalau tanya kepada saya, kalau saya lah apa pelan saya buat – ‘simple’ saja. Kalau perdana menteri tidak meluluskan pindaan perlembagaan partinya sendiri, dia bukan orangnya yang patut dikekalkan sebagai perdana menteri, sebagai calon, dan juga sebagai ahli parti.”
Jelas bagi Lokman, perdana menteri boleh mempengaruhi atau “mengarah” keputusan JPPM memihak kepada Umno “demi kebaikan parti”. Kuasa mutlak meluluskan permohonan Umno terletak ditangan perdana menteri, kata beliau. Bukan Hamzah apa lagi pegawai JPPM.
Lokman mengaku beliau yakin Ismail akan melakukan terbaik untuk parti dan Pelan B mungkin tidak perlu dilaksanakan.
Pandangan ikhlas atau cakap berlapik? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.