`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 6, 2022

Ada diploma, ijazah pun gaji tak jauh beza dengan lepasan SPM, keluh penghantar makanan

 

Hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan SPM enggan menyambung pelajaran.

KLANG: “Saya ada diploma tapi gaji saya setaraf dengan pelajar lepasan SPM”, keluh seorang penghantar makanan dalam talian yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad Aqil.

Pemuda berusia 26 tahun itu pernah menjadi pengurus sebuah restoran yang kemudiannya mengambil keputusan berhenti dan menyertai puluhan ribu penghantar makanan di luar sana – yang meraih pendapatan jauh lebih lumayan.

“Masalahnya gaji terlampau rendah di negara kita. Walaupun saya ada diploma, gaji saya tidak jauh beza dengan gaji lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Padahal saya lepasan diploma tapi pikul hutang belajar paling minimum RM16,000. Orang tak sambung belajar, tak ada hutang pun. Tapi gaji sama banyak dengan saya. Jadi, buat apa sambung belajar? Macam sudah tak relevan.

“Sekarang harga barang naik, dengan kemerosotan ekonominya. Majikan pula asyik merungut nak bayar gaji minimum RM1,500. Mereka ingat cukup ke gaji minimum itu? Nak bayar hutang belajar lagi. Orang kata, orang bujang tak ada komitmen…kami pun ada mak ayah untuk disara. Jadi kalau setakat nak sambung belajar sebab nak sedapkan hati orang, baik tak payah,” katanya kepada FMT.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Mohammad Aqil bergelut membayar hutang pinjaman pendidikannya di peringkat diploma sebelum menjadi penghantar makanan dalam talian yang kini meraih pendapatan lumayan.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Perangkaan membuat kaji selidik dan hasilnya mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan SPM enggan menyambung pelajaran.

Kaji selidik membabitkan 560,000 pelajar lepasan SPM itu mendapati hanya 170,000 memilih menyambung pelajaran manakala 390,000 lagi enggan berbuat demikian.

Lebih membimbangkan, trend tahun 2019 itu dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021, menurut jabatan itu.

Mohammad Aqil juga mencadangkan kerajaan menyediakan kursus kemahiran secara percuma kepada penghantar makanan dalam talian, untuk mempersiapkan mereka menghadapi masa sukar pada masa akan datang.

“Kerajaan mungkin boleh sediakan kursus kemahiran seperti pendawaian elektrik, perkhidmatan memasang dan menyelenggara penghawa dingin, perkomputeran kepada kami.

“Dalam seminggu, kami kena hadir kursus dua hari. Sudah lengkap hadir kursus baru dapat sijil. Daripada belajar dua tahun setengah, habis belajar bawa hutang yang besar. Gaji pun tak cukup nak bayar,” katanya lagi yang kini berhasil membawa pulang RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Kerjaya menghantar makanan dalam talian kini lebih terjamin kerana mereka boleh membuat caruman KWSP sendiri, kata Siti Nur Aisyah.

Seorang lagi penghantar makanan dalam talian yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Nur Aisyah, 29, memberitahu banyak pihak bimbang kerjaya ini tidak memberi jaminan terutama pada usia tua kelak.

“Jangan tak tahu, penghantar makanan pun sekarang boleh buat caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tapi kita kena buat sendiri. Daftar dan kita carum sendiri untuk hari tua.

“Saya sendiri memilih kerja ini sebab masa yang fleksibel dan pendapatannya lebih baik daripada makan gaji. Seminggu saya dapat RM1,000. Sebulan RM4,000. Kalau rajin dapat lebih. Kalau ada diploma, ijazah pun, belum tentu saya boleh dapat gaji macam sekarang dengan waktu yang fleksibel macam ini,” kata Siti yang akan mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat.

Bekas polis bantuan, Mohammad Izwan Bujang menasihati pelajar lepasan SPM agar menyambung pelajaran sebagai jaminan untuk masa depan.

Lain pula bagi bekas polis bantuan, Mohammad Izwan Bujang, 29, yang kini menghantar makanan dalam talian secara sepenuh masa.

Ujarnya, selagi ada peluang pelajar lepasan SPM seharusnya menyambung pelajaran untuk jaminan masa hadapan.

“Ada sahaja jurutera dan golongan profesional yang akhirnya pilih hantar makanan macam kami. Tapi paling kurang mereka ada sijil (pendidikan atau kemahiran) yang boleh mereka guna satu hari nanti jika kerja ini (hantar makanan) sudah tidak relevan.

“Walaupun kerja ini pendapatannya lumayan jika kita rajin dan masa yang fleksibel, fikirkan juga masa depan. Saya sendiri kadang-kadang, bila tak ada tempahan pelanggan masuk, saya tertanya-tanya ‘apa aku buat kat sini ni?’. Tapi selalunya ok saja,” katanya yang pernah mendapat RM7,000 sebulan, hasil berhujan panas di atas jalan raya saban hari. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.