`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, August 21, 2022

Cakap biar jelas ye

 

Ini bukan kali pertama PAS mengecam konsert. Dulu dulu pun kerap dilakukan. Kali ini, kecaman terbaharu dibuat Pemuda PAS. Kata ketuanya Ahmad Fadhli Shaari, “penganjuran konsert bertalu-talu adalah kerja gila menjemput kemurkaan Allah SWT”.

Tentu beliau bercakap secara am kerana tidak merujuk mana mana konsert secara khusus. Pun begitu kenyataannya disuarakan kurang 24 jam selepas penyanyi muda Amerika Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever The World Tour 2022″ di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Harga tiket antara RM308 hingga RM598 (untuk ruangan berdiri). Dianggarkan lebih 25,000 hadirin menyaksikan konsert itu.

Penganjuran konsert di negara ini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Tetapi tahun ini aktiviti agak rancak menjelang peralihan ke era endemik. Antara konsert yang diadakan sebelum persembahan Billie Eilish membabitkan kumpulan tempatan Search Kembara dan Dewa dari Indonesia. Pastinya semua diadakan setelah mendapat izin (permit) pihak berkuasa yang berpuas hati setiap syarat dan kriteria yang ditetapkan dipatuhi.

Berkata lagi ketua Pemuda PAS: “Hentikan kerja kerja begini. Jangan dicabar emosi umat Islam. Pihak berwajib mohon dengar suara umat Islam sebelum datang kemurkaan Allah SWT”.

Dengan membawa naratif “kemurkaaan Allah” rasanya PAS mengaitkan konsert dengan maksiat. Betul tak? Jika tidak masakan Pemuda PAS berkata konsert akan menjemput kemurkaan Allah? Lalu mereka menyarankan “hentikan kerja kerja begini”?

Maksudnya PAS mahu semua konsert diharamkan di negara ini. Begitu? Mengapa tidak terus sahaja berkata “kami tuntut konsert diharamkan”.

Atau yang PAS mahu dihentikan “hanya” penganjuran konsert “bertalu-talu” yang Ahmad Fadhli sifatkan sebagai “kerja gila”? Kalau konsert dianjur tidak “bertalu-talu” bagaimana? Boleh ke? Sila rujuk tajuk artikel ini. Tajuk itu saya pilih kerana persoalan yang ditimbulkan.

Dan siapakah “pihak berwajib” yang dimaksudkan? Yang Pemuda PAS “mohon dengar suara umat Islam”? Pihak berkuasa tempatan ke? Tetapi pihak berkuasa tempatan adalah sebahagian daripada kerajaan. Dan PAS pula duduk dalam kerajaan. Kerajaan pusat pulak tu.

Menteri agama pemimpin PAS. Timbalannya juga orang PAS. Tidakkah boleh ketua Pemuda PAS berbisik kepada mereka untuk “menasihati” perdana menteri dan Jemaah Menterinya melakukan sesuatu “sebelum datangnya kemurkaan Allah”? Perlukah ia dilaungkan secara untuk khalayak menerusi Facebook?

Atau mereka sudah lakukan “secara senyap” tetapi tidak berhasil kerana PAS bukan memerintah secara mutlak? Maka PAS mesti jadi kerajaan penuh terlebih dahulu. Adakah itu mesejnya?

Bagaimana pula “peringatan” ketua Pemuda PAS: “jangan dicabar emosi umat Islam” dan mohon pihak berwajib “dengar suara umat Islam”? Adakah PAS mendakwa ia mewakili semua umat Islam di negara ini?

Sehingga kini saya tidak dengar ramai umat Islam yang membantah penganjuran konsert. Maaf mungkin saya terlepas dengar atau terlepas pandang. Namun hakikatnya ramai juga umat Islam yang pergi menonton konsert tidak terpalit dengan kemaksiatan. Dan ramai umat islam yang mencari rezeki halal menerusi penganjuran konsert. Bukan hanya artis yang membuat persembahan.

Menegur itu tidak betul, ini tidak betul memang adakalanya digalakkan. Berbuat demikian memang mudah. Namun setelah menegur apa solusinya? Utarakan lah cadangan dan penyelesaian.

Ini soal agama kata Pemuda PAS bukan politik. Baiklah. Maka gunalah kaedah berlembut, menasihati serta pendekatan dakwah sesuai dengan agama. Bukan menempelak dan mengecam keras dan kasar.

Pun begitu PAS mendapat modal politik apabila ketua Pemuda DAP “memakan umpan” membidas kenyataan Ahmad Fadhli menuduh PAS muflis idea dan cuba menjadi polis moral. Pasti PAS akan mencanang kepada orang Melayu Islam “DAP mengkritik hukum Islam sekali gus anti-Islam”. Tuduhan yang selama ini dilempar ke atas parti itu tanpa henti kecuali ketika mereka berbaik dengan DAP untuk berdepan pilihan raya umum 1990 dan semasa duduk di dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang dipapar sekarang mirip soal pesta Oktober atau Oktoberfest yang dibangkitkan PAS menerusi naib presidennya Idris Ahmad (yang juga menteri agama dalam kerajaan Ismail Sabri Yaakob) Julai lalu.

Oktoberfest kita tahu adalah acara masyarakat Jerman dimana antaranya bir dihidangkan. Pihak berkuasa mengizinkan ia diadakan di negara ini tertakluk beberapa syarat ketat termasuk penganjur tidak membenarkan umat Islam mengunjunginya.

Tetapi kata Idris, tidak kira apa syaratnya ditetapkan demi membolehkannya “ia tetap tidak boleh diterima”. Tetapi bukankah syarat itu ditetapkan kerajaan yang Idris ada di dalamnya?

Apa pun beliau menegaskan Oktoberfest tidak patut dibenarkan dan semua pihak wajar menghormati peraturan dan undang undang Malaysia yang berasaskan Islam sebagai agama persekutuan.

Pada masa yang sama beliau berkata “meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang meminum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta tidak sepatut dibenarkan kerana akan menimbulkan masalah sosial memandangkan arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat”.

Ada lagi kata beliau: “Arak menyebabkan keganasan rumah tangga, kemalangan jalan raya, kemiskinan, pergaduhan, masalah kesihatan dan juga prestasi kerja”.

Berdasarkan itu apa bezanya minum arak di pesta dan di rumah sendiri? Bukan kah sama akibatnya? Di kedua dua tempat mendatangkan mudarat seperti yang dikatakan Idris? Mengapa beliau tidak terus mencadangkan haramkan arak? Mengapa berkata “meminum arak sebagai pesta tidak sepatutnya dibenarkan”?

Saya tidak mahu berbicara lanjut apa yang beliau katakan itu. Cuma mengatakan beliau berjaya “berkata kata kata tanpa berkata apa apa.” Saying a lot without actually saying anything.

Sebelum Oktoberfest, Idris menjadikan pesta Bon Odori sebagai isu. Tidak perlu diulangi kerana semua sudah maklum.

Seperti Bon Odori , Oktoberfest kini sudah senyap. Pasti ia akan ditimbulkan lagi Oktober ini apabila pesta itu diadakan.

Walaupun PAS mendakwa Bon Odori, Oktoberfest dan konsert “bertalu-talu” adalah isu “agama bukan politik”, saya yakin bermacam “isu agama” akan muncul apabila pesta demokrasi untuk mendapat undi semakin hampir.

Ya, lagi dekat PRU15 lagi banyak “isu agama” akan ditimbulkan. Bukan sahaja oleh PAS tetapi parti politik yang senada dan sekepala dengannya. Bukankah isu agama dan sentimen bangsa cara mudah dapatkan sokongan? (baca undi) - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.