`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 23, 2022

‘Geng Molekwei’ pecah rumah, curi kenderaan mewah tumpas

 

Ruslan Khalid (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan barang rampasan selepas menumpaskan dua geng pecah rumah, curi kenderaan dan samun kedai serbaneka. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Sindiket pecah rumah dan curi kenderaan mewah dikenali sebagai “Geng Molekwei” tumpas susulan penahanan tiga lelaki serta dua wanita tempatan dalam beberapa siri serbuan di Negeri Sembilan dan Kedah dari 16 hingga 18 Ogos lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Ruslan Khalid berkata, semua individu berumur lingkungan 31 hingga 41 tahun itu dipercayai terlibat mencuri lima kereta, termasuk Toyota Hilux, Vios, Honda dan Mercedes Benz.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas barang kes termasuk arak pelbagai jenama, telefon bimbit, komputer riba, kamera digital, selain peralatan pecah rumah seperti kunci allen pelbagai saiz, pemutar skru, playar serta pembuka tayar diubah suai yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM500,000.

“Beberapa individu akan pecah masuk rumah kemudian menyerahkan barang curi kepada individu lain yang bertindak sebagai orang tengah untuk mencari pembeli tempatan dan pasaran luar negara hingga ke Thailand,” katanya kepada Bernama.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Beliau berkata, sindiket itu menyasarkan kawasan perumahan di Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur serta bergerak aktif kira-kira dua hingga tiga bulan lepas, seterusnya menjual kenderaan dicuri dalam lingkungan RM30,000 mengikut jenis.

Ruslan berkata, mereka disyaki melakukan jenayah sejak 10 tahun lepas dan dua daripada lelaki terbabit memiliki 12 rekod jenayah, termasuk dadah dan masih dalam senarai orang dikehendaki.

Katanya, semua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang menyiasat jika ada saki-baki geng itu.

Dalam kes berasingan, Ruslan berkata, empat lelaki tempatan dikenali sebagai “Geng 3K” ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun kedai serbaneka di sekitar Negeri Sembilan serta Selangor pada 17 dan 18 Ogos lepas.

Katanya, semua suspek berumur 21 hingga 26 tahun itu ditahan di beberapa kawasan di Negeri Sembilan serta Selangor dan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback bersama nombor pendaftaran palsu, pisau lipat serta telefon bimbit dirampas.

Beliau berkata, modus operandi mereka ialah menyamun lewat malam atau awal pagi dengan bersenjatakan pisau, selain mencuri barang berharga mangsa dan barang dalam kedai yang mudah dilarikan seperti rokok.

“Dengan tertangkapnya keempat-empat suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun Kedai Serbaneka KK Mart sejak awal Ogos lepas di Negeri Sembilan dan Selangor.”

Bagaimanapun, katanya, polis masih mengesan seorang lagi individu dikenali sebagai S Sritharan, 24, beralamat di Telok Panglima Garang, Selangor yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat di 06-7682339 atau 013-3611854.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.