PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 52kg dadah jenis methamphetamine atau syabu dianggarkan bernilai RM1.8 juta, dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Kinabalu, 28 Julai lalu.
Menurut Ketua Pengarah JKDM Zazuli Johan, Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV pada 12.12 tengah hari itu dilakukan atas maklumat daripada Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).
Katanya, dalam serbuan itu seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil serbuan membawa kepada penemuan bahan terlarang disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 52.463kg dianggarkan bernilai RM1,888,668.
“Serbuan dijalankan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan yang berada di dalam rumah bagi siasatan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.
Zazuli berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi kes itu menjadikan rumah yang diserbu sebagai lokasi untuk melakukan proses pembungkusan dadah.
“Semua dadah berkenaan dimasukkan ke dalam plastik teh dan seterusnya melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.
“Ia kemudian disembunyikan dalam kotak peralatan elektrik dapur dipercayai bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Katanya, semua dadah itu dipercayai untuk kegunaan dalam serta luar negeri.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. JKDM Sabah komited menangani sebarang aktiviti yang melibatkan penyeludupan dadah,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.