`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, August 27, 2022

PPZ bayar sewa tertunggak, beli peralatan niaga remaja jual pulut panggang

 

Keluarga Ilham menerima bantuan daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka. (Gambar PPZ)

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyampaikan sumbangan RM4,200 kepada keluarga remaja yang tular membantu ibunya menjual pulut panggang setiap hari di LRT Setiawangsa sejak berumur 10 tahun.

Sumbangan itu bagi melangsaikan tunggakan sewa rumah keluarga Mohammad Ilham Mohd Fazil, 16, yang berjumlah RM1,200 manakala selebihnya untuk pembelian peralatan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman berkata sumbangan itu diharapkan dapat membantu keluarga remaja berkenaan meningkatkan taraf hidup dan keluar daripada kemiskinan.

“Kita mahu mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan dan mampu menjadi pembayar zakat,” katanya selepas menyerahkan sumbangan di rumah Ilham di Keramat.

Abdul Hakim turut mempelawa pembayar zakat bekerjasama dengan agensi itu untuk membantu golongan asnaf yang ketika ini giat dilaksanakan menerusi dana wakalah perniagaan

Ibu Mohammad Ilham, Rita Amri, 42, melahirkan rasa syukur dengan sumbangan itu dan berazam mengembangkan perniagaan bagi menyediakan kehidupan lebih baik buat dirinya serta empat cahaya mata.

“Saya berterima kasih kepada yang telah sudi bantu keluarga saya, sehingga kini tidak putus-putus rezeki datang. Bantuan ini saya akan guna untuk kembangkan perniagaan,” kata ibu tunggal itu.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam MAIWP Mohd Saiful Hafiz memaklumkan keluarga Ilham menerima bantuan zakat RM600 sebulan sejak 2015.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memantau perkembangan keluarga terbabit dan asnaf lain dengan harapan mereka dapat mengubah kehidupan menjadi lebih baik menerusi bantuan disalurkan.

Beliau berkata, mereka yang ingin memohon bantuan boleh menghubungi MAIWP menerusi hotline 012 5183614 / 012 5127614 atau aplikasi Mobil Jejak Asnaf (MoJA).

Pada 13 Ogos, FMT melaporkan kegigihan Ilham menjual kuih pulut panggang setiap hari di LRT Setiawangsa sejak berumur 10 tahun.

Lebih mengharukan, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak pernah mengambil upah walau sesen, sebaliknya hasil jualan diserahkan sepenuhnya kepada ibu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.