`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 13, 2022

40% daripada 2,205 premis di Johor tiada FC

 

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohammad Hamdan Wahid berkata premis terbabit yang mempunyai risiko tertentu perlu mendapatkan sijil FC mengikut Seksyen 27 Akta Perkhidmatan Bomba 1988. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Sebanyak 40% daripada 2,205 premis di Johor yang ditetapkan perlu mempunyai sijil perakuan bomba (FC) didapati belum mempunyai perakuan itu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid, berkata premis itu termasuk bangunan kerajaan, hotel, kilang dan pusat beli-belah.

Beliau berkata, premis terbabit yang mempunyai risiko tertentu perlu mendapatkan sijil FC mengikut Seksyen 27 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Daripada keseluruhan jumlah (bangunan) hanya 60% sahaja yang ada sijil FC, selebihnya (40%) masih dalam proses permohonan, belum memohon atau mungkin ada permohonan ditolak.

“Ini suatu yang membimbangkan kerana kita tidak mahu bangunan yang mempunyai risiko khas seperti ini tidak mempunyai FC,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) Zon Selatan.

Hamdan berkata, premis yang tidak mempunyai FC masih boleh beroperasi sekiranya mempunyai Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) tetapi perlu diperiksa setiap tahun oleh pihak bomba serta mematuhi peraturan ditetapkan sehingga sijil FC diperoleh.

“Pihak bomba kena periksa setiap tahun bagi memastikan bangunan itu mengikut spesifikasi seperti mana yang diluluskan semasa mereka dapat Sijil CCC,” katanya.

Beliau berkata, premis yang tidak mempunyai sijil FC adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang boleh didenda RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.