`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 7, 2022

6 bulan suami ditahan Sosma, isteri bingung menanti jawapan

 

Lebih 40 ahli keluarga tahanan Sosma hadir ke Penjara Kajang hari ini bagi mengetahui dakwaan dikenakan terhadap ahli keluarga mereka. (Gambar Twitter)

KAJANG: Tiga keluarga masih menanti untuk mengetahui punca ahli keluarga mereka ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sejak enam bulan lalu.

Abe Rameshwary berkata, suami dan empat sepupunya ditangkap polis pada 23 Jun lalu.

“Tetapi sampai sekarang, kami tak tahu mereka ditahan atas (kesalahan) apa?” kata wanita berusia 42 tahun itu kepada media di pekarangan pintu masuk Penjara Kajang hari ini.

Katanya, beliau dan 40 lagi ahli keluarga tahanan Sosma yang lain hadir ke Penjara Kajang bagi mengetahui dakwaan dikenakan terhadap ahli keluarga.

Abe Rameshwary.

“Kami di sini hari ini nak tahu sama ada kes akan ditangguhkan atau akan diberikan hari perbicaraan, dan atas tuduhan apa,” katanya.

Seorang lagi ahli keluarga tahanan Sosma, Tan Eng Huat, berkata abangnya ditahan sejak 23 Jun namun sehingga kini, beliau masih belum menerima sebarang penjelasan daripada polis dan Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, keluarganya hanya mengetahui perkara itu melalui media sosial selepas 28 hari abangnya ditahan.

“Polis tidak maklum ada (abang) naik mahkamah. Sampai sekarang kita tak dapat jawapan,” katanya.

Tan Eng Huat.

Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga tahanan Sosma, Malar, 36, mendesak kerajaan memansuhkan akta itu yang disifatkannya tidak adil.

Katanya, akta itu digubal untuk membendung keganasan, sedangkan suaminya bukan seorang pengganas.

“Saya merayu kepada kerajaan, tolong bebaskan semua ahli keluarga kami. Kalau mereka buat salah, dakwa mereka bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

Peguam bagi salah seorang tahanan Sosma, Shalvin Kanvinchelvan memaklumkan pihaknya telah menerima tarikh perbicaraan bagi kes anak guamnya iaitu pada 15 hingga 19 Julai, 19 hingga 23 Ogos dan 23 hingga 27 Sept 2024.

Menurutnya, anak guamnya akan didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan kegiatan jenayah terancang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.