`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 7, 2022

Jenayah seksual: PU Azman mengaku tak salah 4 lagi pertuduhan

 

Azman Syah Alias atau PU Azman didakwa di Mahkamah Klang hari ini. (Gambar Bernama)

KLANG: Penceramah selebriti Azman Syah Alias mengaku tidak bersalah terhadap empat lagi pertuduhan jenayah seksual terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja.

Pertuduhan itu dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Klang Syafeera Said dan satu di hadapan Majistret Amirul Asyraf Rasid.

Azman atau PU Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal dekat sebuah inap desa di Sungai Udang Klang terhadap seorang kanak-kanak berusia 16 tahun pada 20 Feb lalu.

Tertuduh kemudian didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi tersebut pada 29 Jun lalu ketika kanak-kanak terbabit berusia 17 tahun, menurut Utusan Malaysia.

Bagi pertuduhan ketiga, PU Azman juga dipanggil sebagai Cik Man turut didakwa menggalakkan seorang kanak-kanak lain berusia 17 tahun untuk berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp dekat sebuah rumah di Meru, Klang pada 16 Ogos.

Justeru, bagi kedua-dua kesalahan amang seksual, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat.

Bagi kesalahan komunikasi seksual pula, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 11(1)(b) akta sama yang boleh mengakibatkan penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, PU Azman dituduh melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan menyentuh kemaluan seorang remaja berusia 19 tahun pada 10 Jun lalu dekat sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, Klang.

Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

PU Azman kemudian dibenar ikat jamin sebanyak RM24,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga dan sama ada secara terus atau melalui ejen serta lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Adilah dan Mohamad Zahid Ahmad.

Bagi semua pertuduhan, Syafeera dan Amirul Asyraf menetapkan 12 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, PU Azman diwakili peguam sama dibenarkan diikat jamin sebanyak RM40,000 dan diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah atas lima pertuduhan dihadapinya mengikut Seksyen 14(a) akta sama di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Okt lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.