`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 22, 2022

Akta Kerja: Beri masa pada majikan buat perubahan, kata pakar ekonomi

 

Persatuan peruncitan mahu melanjutkan tempoh penangguhan penguatkuasaan pindaan undang-undang buruh, kerana mereka baru pulih daripada kesan wabak itu.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menyokong gesaan peruncit untuk melanjutkan tempoh penangguhan perubahan terhadap undang-undang buruh yang akan memberi manfaat kepada pekerja.

Bercakap kepada FMT, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak mengakui penstrukturan semula faedah pekerja sudah lama tertunggak, tetapi beliau berkata, majikan mesti diberi masa untuk membuat perubahan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

Barjoyai berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu berunding dengan semua pihak yang terjejas.

Beliau mengulas mengenai pindaan Akta Kerja yang bertujuan menjaga kebajikan pekerja dan membawa peraturan tempatan selaras dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Berjoyai Bardai.

Pindaan itu pada mulanya bertujuan untuk dilaksanakan pada 1 Sept tetapi ini ditangguhkan kepada 1 Jan.

Sebuah kumpulan yang mewakili persatuan peruncitan semalam menggesa supaya melanjutkan tempoh penangguhan dan berkata, mereka bimbang kesan buruk terhadap industri yang baru mula pulih akibat pandemik Covid-19.

Kumpulan itu berkata, peruncit mengalami kekurangan buruh yang membimbangkan, gangguan rantaian bekalan, inflasi tinggi dan kos kerja lebih masa yang tinggi.

Barjoyai berkata, kerajaan mampu menangguhkan pindaan kali kedua tetapi mesti berhubung dengan kedua-dua majikan dan pekerja untuk mendapatkan maklum balas tambahan bagi memastikan semua berpuas hati apabila perubahan kepada akta itu dikuatkuasakan.

Ditanya bagaimana pindaan itu akan menjejaskan prospek ekonomi Malaysia menjelang kemelesetan global yang dijangkakan tahun depan, beliau berkata: “Pindaan itu akan memberi manfaat kepada pekerja dan menjadikan mereka lebih gembira, yang secara tidak langsung boleh meningkatkan produktiviti mereka.

“Dengan faedah dan peningkatan pendapatan untuk pekerja, perbelanjaan mereka sebagai pengguna akan meningkat dan meningkatkan keluaran dalam negara kasar.

“Tetapi sudah tentu, jika pindaan ini berat sebelah dan hanya memberi manfaat kepada pekerja, majikan mungkin menderita dan terpaksa menutup perniagaan kerana mereka dijangka menanggung semua beban.”

Geoffrey Williams.

Barjoyai berkata, beliau percaya pindaan itu diperlukan kerana majikan, secara purata, berkongsi hanya kira-kira 37% daripada hasil nilai tambah mereka dengan pekerja mereka.

Seorang lagi pakar ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata melanjutkan tempoh penangguhan kepada pindaan itu tidak akan menyelesaikan apa-apa jika terus wujud pengurusan yang buruk dalam kalangan pemilik runcit.

Williams berkata, majikan mempunyai masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu tetapi berkeras untuk mengekalkan amalan lapuk.

Beliau berkata, pemilik perniagaan mesti bertindak balas secara positif atau menanggung akibatnya kerana tidak dapat mengupah lebih ramai pekerja. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.