`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 22, 2022

Nestapa rumah tenggelam dek banjir

 

Maka banjir datang lagi. Bencana ini sekali lagi membawakan kerosakan besar kepada harta benda. Buat sekian kalinya lagi, pendekatan penyelesaian bagi malapetaka ini ialah dengan memberikan gantirugi. Bukan dengan mencegah dan menguruskan bencana ini agar kesannya mengecil di masa mendatang. Ini ekoran kerajaan persekutuan menyatakan tekad bagi meluluskan peruntukan bantuan banjir berjumlah RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengisytiharkan dua buah negeri ini bakal memperoleh RM50 juta susulan banjir serius demi kebajikan rakyat.

Pun satu masalah nyata ialah pemberian sedia ada itu belum dikira memadai untuk menggantikan kerugian harta benda. Kerugian paling besar ialah kediaman mangsa banjir.

Enrico Quarantelli, seorang ahli sosiologi dari Universiti Delaware, yang banyak mengkaji kesan bencana terhadap masyarakat, dalam kertasnya “Catastrophes are Different from Disasters: Some Implications for Crisis Planning and Managing Drawn from Katrina” menjelaskan, isu paling nestapa buat mangsa bencana ialah masalah kediaman mereka. Atau dalam erti kata lain, urusan penempatan dan kediaman semula atau baharu, bagi mangsa banjir.

Menurut Quarantelli, mangsa akan menempuh empat tahap kediaman. Dalam hal ini beliau memfokus kepada pengalaman mangsa taufan Katrina di Amerika Syarikat. Empat tahap tersebut pertamanya, kediaman di pusat kecemasan iaitu sebaik sahaja mangsa berjaya diselamatkan dari malapetaka yang terjadi.

Kedua, pusat perlindungan sementara di mana bekalan makanan, bermalam, dan keperluan asas akan diberikan, biasanya oleh pihak berwajib. Perlindungan sementara ini mencakupi bantuan penginapan yang diberikan oleh sanak saudara, jiran tetangga, atau ahli komuniti.

Tahap ketiga ialah mangsa akan membina semula penempatan atau kediaman sama ada di tempat asal atau di lokasi baharu yang kurang mereka sukai dan tidak selesa, ini termasuklah struktur kediaman yang tidak lagi mereka kenali.

Seterusnya tahap keempat ialah kediaman tetap yang mana mereka mulai berusaha menerima hakikat kehidupan di lokasi baharu yang tidak mereka pilih dan putuskan sebelumnya.

Di sinilah getir yang akan dialami oleh ahli masyarakat yang memiliki pendapatan rendah lantaran mengalami kesulitan untuk membangunkan semula penempatan mereka. Biasanya mereka beroleh bantuan ketika tahap pertama dan kedua, akan tetapi terabai sepanjang proses tahap ketiga dan keempat di atas.

Siapakah yang akan mempedulikan mereka di tahap ketiga dan keempat itu?

Dalam kerangka hak asasi manusia, kerajaan yang memerintah wajib memberi bantuan penuh untuk golongan ini demi membangunkan semula kediaman mereka supaya masalah lain seperti warga tanpa kediaman (gelandangan), pelarian, dan jangkaan negatif sosial tidak berlaku.

Artikel 25 Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) menyatakan setiap manusia berhak dan diberi jaminan untuk kediaman yang standard;

“Everyone has the right to a standard of living adequate for the health and well-being of himself and of his family, including food, clothing, housing and medical care and necessary social services, and the right to security in the event of unemployment, sickness, disability, widowhood, old age or other lack of livelihood in circumstances beyond his control.”

Dalam hal ini penempatan sesudah bencana menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak berwajib.

Justeru, gagasan hak asasi manusia bukanlah semata-mata momokan kaum konservatif di negara ini yang kononnya ia kerangka Barat, dagangan puak liberal, dan bersifat individualistik. Bahkan, dari penjelasan di atas, masyarakat terbanyak akan mendapat manfaat apabila kerajaan mengamalkan hak asasi manusia dalam polisi.

Ketika banjir besar melanda Selangor pada 2021, antara kesan yang paling dirasai selepas berlakunya bencana adalah sosio-ekonomi di mana kehilangan aset merupakan bahagian impak yang paling besar serta boleh dinilaikan.

Terdapat aset yang sama sekali tidak akan dapat dikembalikan seperti mana kita membaca di laman sosial atau akhbar bagaimana meluasnya ahli masyarakat kehilangan kenderaan, harta benda, dan barangan saraan hidup. Kehilangan aset ini satu kejatuhan dalam kualiti hidup, atau kemelesetan serius dari segi pelaburan.

Meskipun terdapat aset gantian hasil derma atau dibeli kemudiannya, ia tidak dapat menggantikan kehilangan aset sebelum di mana ia akan dianggap sebagai kerugian. Hal ini menjadi lebih sengit untuk ahli masyarakat yang tidak mempunyai insuran, yang mana akibat daripada itu, kehidupan mereka sama sekali tidak ada jaminan dan proses membina semula apa yang telah hilang akan menjadi hambatan dan dipengaruhi oleh faktor umur, kesihatan mental, dan juga kebergantungan.

Sekali lagi peranan kerajaan diperlukan untuk membantu komuniti yang lumpuh akibat bencana. Kerajaan bukan sahaja perlu menetapkan saraan sementara agar ahli masyarakat mampu berdikari, kerajaan juga perlu mengambil alih tanggungjawab dengan menggantikan semula aset yang hilang. Secara mudahnya, seorang ahli masyarakat yang pendapatannya rendah memerlukan kenderaan ganti supaya dapat kembali berfungsi dan bekerja.

Tanpa bantuan ini, masyarakat akan mengalami kejatuhan nilai dan kualiti hidup seterusnya menyebabkan kemelaratan yang lebih meluas. Apabila ini berlaku kesetaraan ekonomi tidak akan dicapai dan jurang ekonomi akan lebih melebar sehingga mengakibatkan ketidakadilan semakin runcing.

Sebetulnya ketika kempen PRU15 tempoh hari, gabungan Pakatan Harapan ada memberikan satu tawaran menarik mengenai ganti rugi kesan bencana ini. Tawaran itu adalah untuk meningkatkan daya tahan negara berdepan bencana alam melalui persiapan ketahanan menyeluruh. Caranya ialah dengan menambah baik bantuan bagi mangsa bencana berdasarkan nilai kerugian sehingga maksimum RM50,000 untuk setiap rumah. Juga mengusahakan semacam satu perlindungan berbentuk insuran.

Oleh sebab kerajaan hari ini bukanlah PH secara solo dan dinamai ‘kerajaan perpaduan’, tidak dapat dipastikan apakah tawaran ini masih berjalan untuk rakyat atau tidak.

PH satu-satunya parti yang memperagakan tawaran bencana ini berbanding Perikatan Nasional mahupun Barisan Nasional tatkala kempen lepas.

Saya harap, tawaran ini masih berjalan dan dapat ditunaikan agar rakyat secara menyeluruh merasainya. Ia juga dapat menginsafkan sesetengah kalangan masyarakat khusus di Pantai Timur, supaya memilih parti yang lebih berfungsi tatkala PRN nanti dan bukan mengundi menurut akal TikTok mereka semata-mata. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.