Ada yang amat menarik dan menyenangkan berlaku pada satu majlis makan malam yang diadakan baru baru ini di sebuah hotel di Damansara Selangor – yakni beberapa hari menjelang Krismas.
Menurut laman berita Malaysiakini, majlis memperlihatkan lebih ramai orang Islam berbanding penganut Kristian yang datang menikmati hidangan serta alunan lagu perayaan.
“Ini mungkin satu-satunya acara agama Kristian yang dihadiri lebih ramai orang Islam daripada ada orang Kristian,” kata Jason Leong, pengasas Kumpulan Christians for Peace and Harmony Malaysia (CPHM) selaku penganjur.
Diberitakan kira-kira 150 tetamu hadir termasuk Majis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang mewakili 58 NGO, Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam (ACCIN), Pemuda PAS, Ahli Parlimen Halimah Ali, pelbagai majlis Islam dan jabatan agama negeri.
Turut hadir Hidayah Centre, Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa, Majlis Gereja Malaysia, Persatuan Buddha Muda Malaysia, dan Majlis Buddha Vajrayana Malaysia.
Kata Presiden CPHM, Lee Min Choon, walaupun mereka tidak berhimpun sejak tiga tahun lalu – perjalanan mereka sejak ia bermula lapan tahun lalu menyaksikan banyak langkah kecil diambil secara kolektif untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian dalam kalanyan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, “fabrik rapuh perpaduan sosial kita sentiasa diuji dan diancam insiden, ekstremisme, politik, salah faham, kekurangan komunikasi, atau kegagalan untuk memahami dan menghargai pandangan dan kepercayaan satu sama lain.”
Benar. Kita toleran dan “we are not at each other’s throats” tetapi saling mencurigai dan mensyaki. Ya, bukan semua. Sama ada ramai yang begitu tidak dapat dipastikan jumlahnya, apapun golongan itu wujud.
Majlis yang diadakan 19 Disember lalu berlatarbelakangkan pelbagai kenyataan yang memecahkan, atau dalam bahasa lembut, merenggangkan keharmonian khususysa semasa kempen PRU15 lalu.
Pada perenggan pertama penulisan ini saya menggunakan istilah “menarik” untuk menggambarkan majlis berkenaan. Antara sebabnya ialah majlis itu dihadiri wakil pihak yang kerap mengeluarkan kata-kata pedih yang bukan sahaja mengguris perasaan bahkan menakutkan golongan tertentu yang tidak sealiran. “Menarik” dalam konteks ini ialah menarik perhatian, bukan sesuatu yang disukai.
Saya tahu juga pada masa lampau, ada pihak yang menghadiri majlis bertujuan merapatkan hubungan seperti ini “buat perangai lama” sebaik sahaja selesai majlis. Maksudnya, dalam majlis semuanya harmoni belaka tetapi apabila keluar majlis mengulangi tindakan merosakkan keharmonian.
Apa pun tentu ramai di antara kita yang pernah atau sering dengar kawan-kawan, sahabat handai, saudara mara berkata “kita rakyat ok je”. Tidak ada sentimen anti-Cina, anti-India, anti-Melayu, tidak ada anti-Islam, anti-Kristian, Buddha, Hindu dan apa apa anti lagi tetapi “orang politik yang main sentimen bangsa dan agama”.
Bertitah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, beberapa hari lalu, tindakan tegas perlu diambil segera untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak yang meracuni fikiran serta membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama dan kaum.
Ertinya tidak boleh ada toleransi terhadap hasutan atau percubaan menghasut rakyat dan menimbulkan syak wasangka serta kebencian di antara agama dan kaum yang boleh mencetuskan perbalahan, perselisihan, mahupun pertikaian. Begitu mengikut fahaman saya. Baginda tidak menamakan mana-mana pihak.
Titah Sultan Perak disampaikan ketika merasmikan sidang DUN Perak tempoh hari dan mungkin ditujukan khas untuk kerajaan negeri. Namun saran baginda elok diturut kerajaan pusat.
Benar seperti kita tahu ada golongan politikus yang gemar meniup sentimen agama dan bangsa sebagai taktik mencari sokongan. Kita faham kerana taktik itu cara mudah dan jalan pintas meraih sokongan dan mengaut undi.
Lihat sahaja PRU15. Dakwaan kononnya Islam dan Melayu terancam menyaksikan parti yang membuat tuduhan menang besar. Akibatnya masyarakat terbahagi dua – “kamu dan aku” kerana diracuni politik toksik.
Persoalannya mengapa rakyat menelan bulat-bulat apa yang dilaung politikus? Mengapa membenarkan diri percaya taktik sedemikian?
Seperti idkatakan tadi sememangnya kita tidak “berperang” .Tetapi ada prejudis, sangsi, dan syak mensyaki.
Apa yang berlaku semasa kempen PRU tidak pernah dilihat sebelum ini. Tidak seburuk ini kalau ada pun. Yang pasti tidak boleh dibiar berlarutan.
Kawan lama saya, bekas wartawan The Star, A Subramaniam antara yang gusar akan apa yang sedang belaku. Lantas Subra mengingatkan saya akan Rukun Negara.
Rukun Negara – ideologi kebangsaan yang dibentuk oleh Majlis Gerakan Negara pada 31 Ogos 1970 yakni satu tahun selepas tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei yang menghancurkan perpaduan rakyat dan ketenteraman negara.
Matlamatnya menyatukan kepelbagaian. Menerusi Rukun Negara, Malaysia bertekad mendukung, antaranya, mencapai perpaduan erat seluruh rakyat, memelihara hidup demokratik, dan mencipta masyarakat adil dimana kemakmuran negara dinikmati secara adil dan saksama. Sila Google untuk butiran lanjut.
Maka terdirilah harapan Rukun Negara dengan lima prinsipnya. Tidak perlu saya catatkan kelima-limanya disini walapun kemungkinan besar kita sudah lupa apa prinsipnya.
Ia masih tertera di belakang buku latihan sekolah sehingga masa ini. Tidak tahu sama ada ia dihayati oleh pelajar, guru, dan ibu bapa atau sekadar hiasan kulit belakang buku latihan yang digunakan setiap hari.
Rukun Negara bukan sempurna namun sedikit sebanyak memulihkan rakyat berikutan rusuhan kaum pada 1969. Ia tidak sempurna tetapi sekurang-kurangnya menyediakan ideologi untuk menuju ke depan.
Eloklah kita mengkaji semula Rukun Negara sebagai panduan dan pegangan. Ia masih relevan. Mungkin kerajaan baharu boleh mencari kaedah baharu memanfaatkan Rukun Negara berdasarkan nilai yang diilhamkan penggubalnya 52 tahun yang lalu.
Kita sama-sama menghayatinya. Kita bermakna yang muda, yang tua, dan paling penting anak-anak sekolah kerana mereka akan mewarisi negara ini.
Warisilah sebagai rakyat Malaysia dengan ciri Malaysia yang diidamkan pejuang kemerdekaan negara. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.