`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 24, 2022

Apabila Hadi ‘mengqiyaskan’, lagi

 

Sememangnya Hadi Awang dikenali sebagai guru agama, tetapi beliau juga presiden PAS. Hatta beliau seorang ahli politik.

Maka apabila Hadi membuat kenyataan, ucapan, dan sebagainya yang memerlukan penjelasan lanjut, persoalan yang ditimbulkan bolehlah turut mengambil kira aspek politik (selain aspek agama). Sebab beliau orang politik.

Umpamanya pandangan beliau baru-baru ini berkaitan “dosa jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi pada pilihan raya”.

Hadi melontarkan pandangan sedemikian bersandar “aspek agama” yang pada hematnya “menghalalkan” kata-katanya itu.

Bagi Khairuddin Aman Razali, bekas setiausaha Majlis Syura PAS, apabila Hadi “mengqisahkan” perkara itu dengan tindakan lari daripada medan perang adalah “istinbat” (mengeluarkan hukum yang tersasar dan sangat tidak halus).

Itu saya kira menggunakan hujah agama untuk mempertikaikan kata-kata Hadi. Waulalhualam. Saya bukan arif tentang agama, lalu yang saya ketengahkan ialah pada aspek politik kerana diulangi Hadi seorang ahli politik (selain guru agama).

Pada 21 Dis lalu, menulis “surat terbuka kepada jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi” dengan panjang yang disiar Harakahdaily dan PAS.org, keduanya lidah rasmi parti, Hadi antara lain memberitahu beliau dihadiahkan oleh “satu kumpulan pelampau” sebuah kitab baharu yang dikarang dalam bahasa Arab bertujuan mengharamkan pilihan raya dan proses mengundi.

Menurut Hadi, alasan mereka yang mengarang kitab tersebut ialah demokrasi Barat bukan daripada Islam dan amalannya tidak didapati pada zaman Rasulullah.

“Hujah demikian adalah salah, menggambarkan mereka buta agama dan terpesong daripada sifat ajaran Islam yang sempurna,” kata Hadi.

Berdasarkan kata-kata itu, menurut saya, jelas Hadi menyokong sistem demokrasi dan pilihan raya yang diamalkan di negara ini.

Hadi juga berkata: “Kira-kira 98% orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh dikerah untuk mara mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air kita dengan menyokong DAP dan kumpulannya yang menjadi wadah perjuangannya, walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri.”

Tuduhan ini pernah beliau lemparkan Ogos lalu, sambil mendakwa orang Melayu tidak minat politik termasuk tidak minat mengundi pada pilihan raya umum. Secara am. Hakikatnya situasi sebaliknya yang terjadi. Sila rujuk artikel saya berjudul “Lagi cerita orang Melayu malas” siaran FMT 22 Ogos 2022.

Kata beliau lagi (kali ini menerusi surat terbukanya): “Malangnya orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60%, menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah, malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya.”

Maknanya beliau berkata orang Melayu tidak ramai keluar undi. Beliau bercakap mengenai PRU15 yang baru lalu atau pilihan raya terdahulu?

Jika Hadi merujuk PRU15, pelik kerana jika ramai orang Islam (Melayu) tidak mengundi, bagaimana PAS menang besar? Di kawasan utara tanah air juga menyapu bersih Terengganu dan Kelantan? Walaupun bukan semua tetapi pasti ramai orang Melayu mengundi PAS di negeri negeri tersebut. Jika tidak masakan Gelombang Hijau berlaku?

Daripada mana Hadi perolehi angka hanya sekitar 60% orang Islam keluar mengundi? Sekali lagi perlu dikatakan jika PRU15 lah yang beliau maksudkan, perangkaan yang dipapar saintis data Thevesh Theva lain ceritanya.

Kata Thevesh, yang dilapor Malaysiakini, di Terengganu, negeri kelahiran Hadi yang merupakan 95% penduduknya Melayu-Islam, mencatat 80.2% pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Malah di Marang, kawasan Parlimen “milik” Hadi, angka yang sama dicatat.

Negeri yang mencatat jumlah orang keluar mengundi paling rendah ialah Sarawak, negeri majoriti bukan Islam. Hanya 59.1% keluar mengundi. Daripada mana agaknya Hadi mendapat “intel” orang bukan Islam “dikerah keluar mengundi untuk mendapat kuasa di tanah air kita”?

Perlu dinyatakan Hadi memulakan suratnya itu dengan menegaskan “tulisan ini ditujukan kepada mereka yang tidak mengundi khususnya kerana melaksanakan haji dan umrah termasuk juga para peniaganya”.

Tidak dapat dipastikan jemaah haji mana yang beliau maksudkan kerana Hadi tidak menjelaskannya. Adakah beliau merujuk jemaah musim haji tahun ini? Tetapi bukan ke musim haji tahun ini yakni 2022 ialah pada Julai manakala PRU15 diadakan 19 November? Ertinya jemaah haji sudah pun kembali ke tanah air apabila PRU15 dijalankan.

Ketika PRU15 diadakan tidak seperti lazim, bukan semua negeri membubarkan DUN untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak. Cuma Perlis, Perak dan Pahang berbuat semikian. PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sudah diadakan sebelum itu pada 2020, 2021, dan Mac 2022.

Lantas Kedah, Kelantan, Terengganu (yang diterajui PAS) serta Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Selangor dijangka membubarkan DUN masing-masing pada suku pertama tahun depan. Ini memungkinkan PRN diadakan semasa musim haji 2023.

Umat Islam yang terpilih mengerjakan haji tahun depan dijangka mula berangkat ke Tanah Suci penghujung Mei 2023.

Adakah Hadi sudah mula berkempen dengan mengutus surat terbukanya kepada jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi dan juga pengendalinya. Bolehkah ini ini bermaksud kumpulan yang membawa jemaah ke Tanah Suci?

Adakah surat terbuka itu sebenarnya amaran supaya keluar mengundi? Adakah Hadi cukup yakin orang Melayu akan mengundi PAS maka perlu diperingkatkan (ditakutkan?) supaya keluar mengundi?

Menerusi surat itu Hadi ada memetik surat ulama hadis Abdullah al-Mubarak yang diutus kepada kepada sahabatnya, Fudhail ‘Iyadh. Antara kandungan surat itu berbunyi: “Wahai orang yang sedang beribadat di dua Tanah Haram (Mekah dan Madinah) ketahuilah engkau hanya bermain-main dalam ibadat itu” dan “Orang yang pipinya berlumuran air mata khusyuk beribadat. Ketahuilah bahawa leher kami berlumuran darah.”

Kata Hadi, pendekatan damai melalui demokrasi dan proses pilihan raya wajib diambil peluang oleh umat Islam. Namun kata beliau “jika tugas mengundi sebagai salah satu cara yang damai pun tidak ditunaikan kewajipannya bagi memenangkan dan mempertahankan Islam bukannya terpaksa berperang, maka akibatnya adalah lebih besar dan lebih parah.”

Bertanya saya adakah Islam sekarang begitu terancam sehingga memerlukan ia dipertahankan?

Bertanya Khairuddin: “Apakah ia bermaksud mereka yang tidak mengundi pada PRU lalu berdosa besar? Atau bermaksud mengundi parti tertentu barulah dikira mengundi untuk kuasa Islam?”

Bertanya pula kawan saya di Facebook: “Dosa jemaah haji tidak mengundi sama dosa YB tidak datang Parlimen?” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.