`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 24, 2022

Jakim sedia kaji semula fatwa ubat dari sumber babi untuk ibu mengandung

 

Buku garis panduan klinikal KKM meletakkan LMWH sebagai pilihan utama untuk langkah pencegahan bagi ibu mengandung yang berisiko. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia mengkaji semula fatwa penggunaan ubat pencair darah daripada sumber babi bagi mencegah penyakit darah beku khusus untuk ibu mengandung.

Jakim berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum perkara ini dibawa ke Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Jakim mengambil maklum berkenaan cadangan dan pandangan supaya hukum berkenaan penggunaan ubat pencair darah berunsurkan babi dalam kalangan ibu mengandung dikaji semula.

“Pihak Jakim tiada halangan dan bersedia untuk membawa semula hasil kajian mengenainya bagi mendapatkan pandangan hukum dari MKI,” menurut emel yang dihantar Ketua Unit Komunikasi Zakaria Othman kepada FMT.

FMT sebelum ini melaporkan saranan seorang pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) agar fatwa bersabit penggunaan ubat itu dikaji semula memandangkan Jabatan Perangkaan pada 2021 menyatakan penyakit darah beku pembunuh utama ibu-ibu mengandung, iaitu sebanyak 18.8%.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) Zizi Azlinda Mohd Yusof bertegas fatwa 2009 itu harus dikaji semula, bukan mahu menghalalkan ubat bersumberkan babi namun hanya mengharuskan penggunaan khusus untuk ibu-ibu mengandung yang berdepan risiko penyakit darah beku sahaja.

Menurut Zizi, terdapat tiga jenis pencair darah di pasaran iaitu bersumberkan babi (Porcine), lembu (Bovine) dan bahan kimia sintetik (tiada unsur binatang).

Namun, kajian klinikal di seluruh dunia mendapati pencair darah daripada sumber babi paling berkesan dan tidak membahayakan ibu serta bayi dalam kandungan.

Ubat pencair darah bersumberkan sel tisu babi dikategorikan sebagai Low Molecular Weight Heparin (LMWH) dan contoh di pasaran ketika ini adalah Clexane.

Malah katanya, buku garis panduan klinikal KKM meletakkan LMWH sebagai pilihan utama untuk langkah pencegahan bagi ibu mengandung yang berisiko.

“Ubat pencair darah dari sumber lembu (heparin) boleh rawat penyakit darah beku cuma kesan langsungnya yang tidak digemari oleh pakar perubatan adalah ia menyebabkan pendarahan teruk kepada ibu.

“Sementara ubat yang bebas sumber binatang contohnya Arixtra antara yang dibuktikan secara klinikal berisiko mencacatkan bayi dalam kandungan,” katanya kepada FMT.

Zizi merujuk kitab fiqah serta temubual dengan 21 pakar termasuk syariah (UIA, USM, UKM), pakar perubatan (Obstetrik & Ginekologi, Kardiovaskular, Hematologi dan Farmaseutikal), dan dua mufti (Terengganu dan Pulau Pinang), bagi menyiapkan kajian tesis PhDnya pada 2020.

“Doktor yang tak ada latar belakang syariah akan keliru bila sebenarnya waktu ‘darurah’? Nak ukur macam mana? Adakah bila sikit lagi nak mati atau pencegahan itu dikira ‘darurah’? Ibu pula (yang berisiko) takut nak ambil (ubat ini), jika abaikan ia akan berakhir dengan kematian.

“Kita dakwa kita adalah agama yang memudahkan dan menjaga nyawa dari segi maqasid. Jadi, mana pertimbangan bijak sebenarnya, lebih kontemporari, yang sesuai dengan (masalah) kita hari ini?” soalnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.