PETALING JAYA: Di selatan Kuala Lumpur wujud sebilangan institusi pendidikan dan pusat latihan dengan lokasi pembelajaran damai lagi sesuai yang membuka peluang untuk pelajar mahupun golongan pekerja mengejar impian mereka.
Antara daya penariknya, kepadatan penduduk yang lebih rendah di kawasan subbandar juga menjamin persekitaran lebih damai. Namun pada masa sama, mereka yang lebih cenderung mencari keseronokan pula tidak perlu mengembara jauh untuk sampai ke ibu kota.
Terletak dalam zon institusi dan penyelidikan utama Malaysia, De Centrum City (DCC) dengan keluasan 100 ekar merupakan pembangunan bercampur merangkumi kediaman bertingkat, universiti infrastruktur, pusat beli-belah, selain hotel dan kemudahan asrama pelajar.
Perunding pemasaran projek Art Toh Sdn Bhd, Arthur Toh berkata: “Lokasi strategik mesti turut merangkumi institusi serta syarikat terkemuka.”
Katanya, DCC bakal berkembang menjadi “bandar intelektual” apatah lagi dengan kehadiran golongan penyelidik, profesional serta pakar pelbagai bidang di hab pendidikan di KL South itu.
Ciri bijak, kreatif, inovatif dan berteraskan ilmu di DCC juga memacu pertumbuhan ekonomi mampan, seterusnya mengubah sumber tak ketara yang ada menjadi kekayaan jangka panjang yang mampan bagi mereka yang menghuni dan mencari rezeki di situ.
Di sekitar DCC wujud kira-kira 30 institut pendidikan tinggi swasta dan awam, pusat latihan, malah selain prasekolah serta sekolah antarabangsa.
Institut Penilaian Negara (INSPEN) di Sepang yang juga lokasi Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian kewangan terletak di sini, selain Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) yang disifatkan Toh sebagai “niche” dengan 3,000 hingga 4,000 pelajar sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Anak syarikat milik penuh Protasco Bhd yang juga universiti infrastruktur pertama Malaysia ini mengkhususkan dalam bidang kejuruteraan dan seni bina, selain pelbagai program berkaitan perniagaan.
Menurut IUKL, 50% pelajarnya ketika era prapandemik turut merangkumi pelajar asing dari 45 negara.
Satu lagi universiti terkemuka berhampiran DCC ialah Universiti Tenaga Nasional (Uniten), yang menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan, sains komputer serta teknologi maklumat (IT), selain turut menawarkan pelbagai kemudahan sukan.
Pengarah Urusan CBRE-WTW Foo Gee Jen memberitahu FMT, sejarah Bangi sebagai hab pendidikan bermula ketika Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dibuka di situ pada Oktober 1977.
Universiti Putra Malaysia (UPM), sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang bersebelahan dengan DCC, turut memainkan peranan penting dalam menginovasi pendidikan demi masa depan lebih baik, dan membuka peluang untuk DCC menjadi bandar dengan persekitaran sesuai didiami lagi merangsang intelek.
“Lebih banyak penghijrahan ke lokasi ini yang membawa kepada pembangunannya sebagai hab pendidikan dengan infrastruktur yang diperbaiki,” katanya.
Menurutnya, ini membawa kepada pertumbuhan pesat pusat latihan serta IT di lokasi sekitar, termasuk Maybank Academy, serta institusi seumpamanya milik RHB Bank dan Public Bank.
Pusat penyelidikan pendidikan, seperti POS Centre of Development dan Petronas Leadership Centre yang baru siap dibina untuk sektor minyak dan gas, pasti turut menggalakkan lebih banyak pengalaman pembelajaran di masa depan menerusi ruang inovatif ditawarkan.
Tidak ketinggalan juga Petronas Leadership Centre yang serba moden dibina dengan kos lebih RM300 juta – antara beberapa bangunan di Malaysia yang mencapai piawaian berprestij LEED Platinum (Leadership in Energy and Environmental Design).
DCC turut disokong pelbagai perkhidmatan sampingan lain, termasuk utiliti, premis makanan dan minuman, serta kemudahan rekreasi yang menyediakan ruang untuk pelajar, ahli akademik, ahli perniagaan dan penduduk bersantai atau menghabiskan masa secara berkualiti. Antara kemudahan tersebut termasuk Kelab Golf 9 lubang ILSAS, dan Kelab Golf 18 lubang UniPutra.
Kewujudan bank tanah untuk dibangunkan di KL South juga bererti harga hartanah yang lebih mampu milik untuk pembeli, berbanding lokasi lebih premium di pusat bandar.
Selain itu, Foo berkata beliau turut percaya pembangunan Nilai, Sendayan dan Labu di Negeri Sembilan North iaitu terletak di selatan KL, bakal mewujudkan perhubungan bersinergi selain peluang pelaburan dan pekerjaan. Orang ramai juga akan meninjau kawasan berhampiran untuk membeli kediaman sama ada bagi tujuan menghuni atau melabur.
Infrastruktur lain yang menyokong pertumbuhan DCC sebagai bandar intelektual adalah akses mudah menerusi lebuh raya sedia ada, iaitu Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan, Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang, dan Lebuh Raya Sungei Besi.
Sementara itu, fasa pertama laluan MRT Putrajaya yang baru dilaksanakan, membentuk sebahagian daripada Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang. Buat masa ini ia merangkumi sembilan stesen baharu dengan tiga yang sebelum ini membentuk laluan Kajang.
Kereta api automatik tanpa pemandu serba moden dengan kelajuan maksimum 100km sejam ini bakal membentuk asas keterhubungan pintar DCC, khususnya apabila fasa kedua disiapkan pada awal 2023 untuk meliputi stesen di UPM, Serdang, Cyberjaya dan Putrajaya. Tidak kurang juga spekulasi bahawa nilai tanah dan hartanah bakal melonjak di beberapa kawasan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.