`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, December 28, 2022

Kini saya seorang diri, tiada lagi bahagia, luah waris tragedi tanah runtuh

 

Tong Chee Kong menunjukkan gambar isteri dan anak lelakinya yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang kehilangan anak tunggal dan isteri dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali berkata kejadian itu bukan sahaja menyebabkan dia hidup seorang diri tetapi turut meragut kebahagian dalam dirinya.

Tong Chee Kong yang kehilangan isterinya Lai Lee Koon, 44, dan anak lelakinya Tong Kai En, 9, mengakui beliau kini perlu kuat untuk menempuh kehidupan seorang diri.

“Dulu saya bahagia bersama anak dan isteri tetapi kini semua tinggal kenangan. Saya perlu kuat untuk hidup seorang diri.

“Biasa tiga orang dengan anak sekali di rumah ini sangat bahagia… tetapi sekarang tinggal saya seorang,” luahnya ketika ditemui di kediamannya di Taman Dato Senu, Sentul di sini hari ini.

Tong ditemui pemberita ketika menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali yang turut menyalurkan bantuan daripada kerajaan berjumlah RM20,000.

Mengimbau kembali tragedi itu Tong berkata, beliau tidak mengikuti perkhemahan bersama isteri dan anaknya kerana tidak mendapat cuti dam perlu bekerja ketika itu.

Tong yang bekerja sebagai penjual ubat tradisional berkata dia dan isterinya sangat meminati aktiviti perkhemahan dan sebelum tragedi itu mereka ada berkhemah di Kuala Selangor.

“Itu kali terakhir kami pergi bercuti bersama-sama,” katanya.

Katanya, mayat isteri dan anaknya dijumpai pada hari pertama kejadian dan beliau membuat pengecaman ahli keluarganya itu di Hospital Sungai Buloh.

Tragedi kira-kira 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Siti Esah Hassan (depan kiri) menerima bantuan yang diserahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Armizan Mohd Ali.

Dapat rasa anak panggil nama sebelum meninggal dunia

Sementara itu, Siti Esah Hassan yang kehilangan anak perempuannya, Nurul Azwani Kamaruzaman dalam tragedi itu berkata, beliau dapat merasakan anaknya ada memanggil namanya sebelum meninggal dunia.

Siti Esah berkata, Nurul Azwani sangat rapat dengannya dan sanggup lewat berkahwin semata-mata untuk menjaganya.

“Saya dapat rasa Nurul Azwani memanggil nama saya semasa tanah runtuh itu berlaku. Walaupun tidak ada di tempat kejadian tetapi saya boleh rasa,” katanya yang hiba.

Siti Esah juga sukar menerima kehilangan anak kesayangannya itu masih tidak boleh melihat pakaian dan bilik tidur Nurul Azwani.

Katanya, Nurul Azwani bekerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dan mengikuti aktiviti perkhemahan guru sekolah itu di Father’s Organic Farm bagi menguruskan persiapan makanan.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.