`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, December 21, 2022

Mayat ke-26 ditemui selepas anggota bomba laung azan

 

Mayat ke-26 ditemui beberapa minit selepas pegawai bomba melaungkan azan di lokasi tanah runtuh di Batang Kali hari ini. (Gambar Angkatan Pertahanan Awam)

PETALING JAYA: Melaungkan azan antara inisiatif diambil pasukan bomba dan penyelamat untuk mencari baki tujuh mangsa hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali.

Pegawai bomba, Mohd Iqhmal Kamaruddin, 29, berkata ini kali pertama beliau diberi peluang melaungkan azan di lokasi bencana dalam usaha mencari orang hilang.

“Sebenarnya, ini hasil perbincangan dengan dua pegawai kanan yang berada di pos kawalan hadapan (PKH).

“Mereka merasakan pihak bomba belum pernah laungkan azan di lokasi bencana, jadi mereka rasa mungkin ini salah satu cara yang boleh dilakukan.

“Sebab kita tahu azan ini bukan saja untuk panggil orang bersolat, tetapi ia juga membantu kita mencari orang hilang atau sesat,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau yang bertugas di Cawangan Pendakwaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, beberapa minit selepas beliau melaungkan azan, mayat seorang lelaki dewasa yang merupakan mangsa ke-26 ditemui berpelukan dengan anjing peliharaannya pagi tadi.

“Lepas azan bukanlah terus jumpa, ia beberapa minit kemudian, namun syukurlah kita dapat petanda positif kedudukan mayat berkenaan.

“Semalam memang sepatutnya ada ura-ura jumpa dua mayat, tetapi sebab keadaan yang terlampau gelap sangat serta bahaya, jadi terpaksa sambung (operasi mencari dan menyelamat) hari ini.”

Mayat ke-26 itu dijumpai pada 11.16 pagi tadi. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan untuk mengesan tujuh lagi mangsa hilang.

Seramai 61 orang selamat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada 2.42 pagi Jumaat lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.