Malam tadi kita menyaksikan Argentina berjaya merangkul Piala Dunia 2022, kejuaraan bola sepak paling agung di muka bumi. Kejohanan yang memberi pengiktirafan betapa hebatnya sesebuah negara tersebut dalam sukan bola sepak jika berjaya memenangi pialanya. Bermakna menjadi juara bukan setakat membawa pulang piala sahaja tetapi berjaya menempa nama sebagai negara paling gagah melalui permainan bola sepak. Seperti menang peperangan. Kita sedia maklum, bola sepak permainan paling menarik dan paling diminati ramai penduduk dunia.
Di Malaysia, Piala Dunia turut diikuti seluruh rakyat meskipun di antaranya ada yang bukan kaki bola. Tidak minat bola sepak tidak semestinya tidak minat Piala Dunia. Acara empat tahun sekali ini ibarat perayaan yang mesti turut sama diraikan. Mungkin mereka selama ini tidak mengikuti kejohanan bola sepak lain sama ada Piala Malaysia ataupun kejohanan kelab-kelab bola sepak Inggeris atau Eropah, tetapi mereka tidak mahu ketinggalan untuk turut sama memeriahkan Piala Dunia. Masing-masing mengikutinya dengan berbagai sebab. Ada yang suka-suka tumpang seronok sementara yang lain ada juga menjadikannya peluang cari duit dengan berjudi. Macam-macam!
Saya sendiri bukanlah kaki bola tetapi akan turut mengikuti kejohanan Piala Dunia apabila ia diadakan. Biasanya saya akan lebih serius ketika pertandingan sudah masuk peringkat kelayakan ke separuh akhir. Namun begitu, jika mata saya mengantuk tidaklah saya menunggu siarannya sampai tengah malam atau awal pagi sebab saya hanya menganggapnya sebagai hiburan, bukan sepenting keputusan pilihan raya umum. Sedangkan keputusan pilihan raya umum pun saya hanya tunggu sementara larat, inikan pula bola sepak. Terlepas, tonton sahajalah ulangan. Tak perlu susah-susah bersengkang mata.
Sukan bola sepak cukup rapat dengan kita khususnya orang-orang Melayu. Ini pernah dijelaskan oleh Prof Khoo Kay Kim dalam forum Mempertahankan Maruah Melayu pada 2015, “orang-orang Melayu memang cukup gilakan bola sepak”. Kenyataan tersebut mengingatkan saya ketika Piala Dunia di Sepanyol pada 1982 atau dinamakan Espana 82. Ketika itu saya berumur sembilan tahun tetapi turut sama terkena bahang kejuaraan ini. Jika tidak silap saya ketika itu ada produk makanan ringan (kita selalu sebut ‘jajan’) kesukaan kanak-kanak mengeluarkan buku khas berharga 50 sen seperti album koleksi setem tetapi buku ini buku koleksi pelekat bendera-bendera negara di dalam dunia. Setiap kali kita beli sebungkus jajan ini yang berharga 20 sen, di dalamnya ada hadiah sekeping ‘sticker’ kecil bendera negara yang akan kita tampal di ruang yang disediakan di dalam buku tersebut. Jika buku tersebut sudah berjaya dipenuhkan kita boleh menebusnya di kedai runcit berdekatan untuk mendapat hadiah.
Saya sudah lupa apa hadiahnya dan jika tidak silap saya, semua kawan saya gagal memenuhkan buku tersebut tetapi yang pentingnya kesungguhan kami ketika itu. Oleh kerana syarikat jajan itu membuat ‘program’ kumpul bendera ini sama waktu kempen Piala Dunia, ia turut membantu menyemarakkan lagi demam bola sepak kami. Kami gigih mengumpul duit saku untuk membeli jajan tersebut semata-mata untuk mendapatkan pelekat. Kami saling menyaingi sesama kami. Kami berlumba buku siapa yang penuh dahulu. Bagaimanapun jika antara kami sudah mempunyai lebih daripada satu bendera sesebuah negara, kami akan menukar sesama kawan. Dari situ kami belajar mengenal bendera-bendera negara hebat bola sepak seperti Brazil, Argentina, Jerman, Itali, England, Cameroon, Perancis, dan lain-lain. Kami juga menghafal nama-nama bintang bola sepak hebat seperti Zico dari Brazil, Paolo Rossi dari Itali, Maradona dari Argentina. Sumber rujukan waktu itu hanyalah ulasan di suratkhabar sahaja manakala stesen televisyen hanya ada dua rangkaian sahaja iaitu saluran kerajaan, Radio TV Malaysia (RTM). Belum ada TV3 dan siaran lain.
Demam Piala Dunia membuat kami kanak-kanak mula rancak bermain bola sepak di padang. Kami berangan menjadi seperti bintang-bintang hebat yang disebutkan tadi. Kemudian di daerah kami ada kejohanan bola sepak peringkat daerah. Seluruh kampung atau tanah rancangan, kelab bola sepak sama ada dari kilang ataupun jabatan kerajaan seperti polis dan askar turut menyertainya. Ini menambahkan lagi kehangatan demam bola sepak yang memang sudah panas. Setiap petang kami sudah terpacak di padang bola menyaksikan perlawanan.
Sehingga sampai saatnya saya pun dewasa, mula kurang serius untuk ambil tahu tentang bola sepak. Sungguhpun begitu sering juga saya duduk bersama kawan-kawan kaki bola dan bersembang tentang nasib pasukan bola sepak kita di mata dunia. Saya rasa kita semua selalu membincangkannya yakni tentang apalah yang tak kena dengan kita sampai hari ini masih tak maju-maju walhal bola sepak cukup diminati ramai dan tidak sedikit wang dibelanjakan untuk pembangunannya. Sudah pasti kita akan membangkitkan masalahnya, bermula dari peringkat pemilihan di sekolah, sampailah ke peringkat daerah, negeri, kelab seterusnya ke peringkat kebangsaan memang ‘itulah masalahnya’.
Saya pun tidak bercadang untuk mengulang masalah, permainan politik, halangan dalam tulisan ini tetapi perkara ini sering bermain di fikiran kita dan acapkali kita bualkan. Apa masalah kita sehingga sekarang kita masih di takuk lama sedangkan ada negara yang pernah kita belasah sudah layak masuk Piala Dunia? Tidak adakah penyelesaiannya?
Sekali lagi ucapan Khoo bermain di dalam kepala saya. “British mewujudkan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) pada 1922. Pada masa itu mereka miliki padang paling luas di Semenanjung tanahair. Ia digunakan untuk anak-anak Melayu bermain bola sepak.”
Menurut beliau, sebelum British datang ke Tanah Melayu, mereka sudah menguasai India dan banyak kekacauan timbul di sana. Pihak British tidak mahu orang Melayu menjadi seperti masyarakat di India lalu mereka membuat persiapan untuk memastikan struktur orang Melayu tidak berubah dengan tidak mengesampingkan arus pemodenan. Menurut beliau lagi, British juga menggalakkan orang Melayu mengamalkan budaya mereka yang lemah-lembut. Atas sebab itu mereka memperkenalkan sukan bola sepak kepada orang Melayu. Khoo menyatakan pada 1909 sudah ditubuhkan Malayan Football Association di Singapura yang hanya terbuka kepada kelab bola sepak Melayu dan pada masa itu sudah lebih lima puluh kelab bola sepak Melayu ditubuhkan, dan dalam masa dua tahun persatuan itu sudah melahirkan ramai pemain bola sepak Melayu. Habis, mengapa hari ini ia masih tidak maju?
Permasalahan kita ialah wujud keadaan tidak selari di antara minat rakyat yang cukup besar terhadap sukan bola sepak ini dengan program pembangunannya. Penyokong bola sepak kita cukup setia mengikuti kelab-kelab bola sepak Liga Inggeris, cukup hebat menyokong negara-negara gergasi bola sepak tetapi tidak berkesempatan untuk berbangga dengan pasukan bola sepak sendiri di mata dunia. Kita memang mahu jadi seperti Brazil, Jerman, dan Argentina juga tetapi kita masih belum sampai untuk berdiri sama gagah dengan Korea Selatan atau Jepun. Seronok-seronok kita menyokong, kita hendak jugalah menyokong pasukan kita di Piala Dunia. Akan tercapaikah? Bila?
Tidak adakah ‘pihak’ yang menyebabkan ia tak maju-maju ini berasa malu dan dengan penuh tanggungjawab berundur kalaupun tidak berusaha untuk memperbaikinya? Memang orang kita gila bola malah ia sudah jadi sebahagian daripada acara hidup tetapi kita mahu pasukan bola sepak kita naik bersaing di mata dunia. Tolonglah maju! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.