Kawan lama saya, wartawan veteran Zin Mahmud kerap membuat hantaran menarik di Facebook. Terbaharu begini: “Bila Maghribi menang, Maghribi wakil Islam. Bila Maghribi kalah, Islam bukan bola sepak.”
Ini tentu berkaitan Piala Dunia 2022 di Qatar yang baharu selesai. Saya percaya mungkin Zin mendengar ada orang Melayu-Islam Malaysia berkata demikian.
Memang ramai orang Melayu-Islam di Malaysia yang tiba-tiba menyokong gila-gila Maghribi apabila pasukan bola sepak negara Afrika Utara itu mempamerkan gaya dan corak permainan cemerlang pada Piala Dunia 2022.
Tidak dinafikan faktor Islam memainkan peranan mencetus sokongan orang Melayu-Islam. Iya lah – kan Maghribi secara rasmi sebuah negara Islam? Apabila negara Islam bermain dengan baik dan mara satu tapak ke satu tapak sehingga sampai ke perlawanan separuh akhir, orang Melayu-Islam Malaysia tumpang gembira, tumpang bangga, lantas memberi sokongan tidak berbelah bahagi.
Sokong dan jatuh cinta kerana Maghribi bermain cantik atau Maghribi mengatasi semua rintangan – beat all the odds – walaupun tidak pernah diyakini sebelum ini? Atau seperti yang mungkin Zin dengar, orang kata Maghribi ‘wakil Islam’?
Maghribi bagaimanapun tidak dapat mengatasi halangan separuh akhir lalu terpaksa merebut tempat ketiga. Namun tidak berjaya. Maka timbul kata-kata “Islam bukan bola sepak” yang dicatat Zin.
Jika berkata demikian memang ada benarnya pandangan itu. Memang Islam bukan bola sepak. Cuma yang pelik Islam dikaitkan pula dengan bola sepak waktu Maghribi menang.
Apa pun Maghribi kini menduduki tempat keempat teratas senarai bola sepak dunia. Ini kejayaan hebat – sesuatu yang tidak pernah dicapai negara benua Afrika, Asia, mahupun Oceania.
Pasti banyak yang boleh dipelajari daripada pencapaian Maghribi. Apa pengajarannya? Selain kerja keras, komitmen, disiplin, solidariti. Ya, ditambah semangat juang dan tekad tidak mudah mengaku kalah. Juga keberanian. Apa lagi?
Nasionalisme? Hanya tiga pemain skuad kebangsaan lahir di Maghribi. Majoritinya dilahirkan di luar Maghribi – iaitu di negara Eropah. Sepanyol dan Perancis antaranya. Penjaga gol Yassine Bounou atau Bono lahir di Kanada. Namun mereka memilih mewakili negara kelahiran ibu bapa mereka.
Ada lagi pengajaran? Tentu ada. Keyakinan yang mereka beri kepada golongan “underdogs”. Golongan yang orang anggap tidak ada harapan menang, boleh menang. Ini terbukti sudah. Yakin untuk “fight against all odds”. Itu mesejnya daripada pasukan bola sepak untuk semua. Bukan untuk pasukan bola sepak lain sahaja. Ia mencakupi setiap bidang dan setiap aspek. Pendidikan, perniagaan, segala macam.
Kata Soraya Salam, pengurus Al Jazeera Online (Bahasa Inggeris) semasa menonton perlawanan Maghribi–Perancis, beliau terdengar sebahagian penyokong Maghribi di stadium melaungkan syahadah. “Bagi beliau ini membangkitkan semangat dan kebanggaan keislaman. Adakah ini membawa erti pengajarannya ialah menaruh kepercayaan penuh terhadap agama?
Seperkara lagi yang amat menarik pada Piala Dunia ini ialah kasih sayang antara anak dan ibu yang diperlihatkan setiap kali Maghribi menang. Kata Soraya, ada orang Islam yang berseloroh mengatakan pemain Maghribi menang berkat doa ibu pemain.
Sama ada gurau atau apa pun, hakikatnya kasih dan doa ibu bukan perkara kecil. Itu peringatan yang ditonjolkan pasukan Maghribi.
Achraf Hakimi, bek kanan Maghribi yang bermain untuk kelab PSG Perancis (bersama Lionel Messi dan Kylian Mbappe) suami kepada pelakon, Hiba Abouk, yang dikatakan antara wanita tercantik dunia. Namun selepas setiap perlawanan orang pertama yang Achraf cari ialah ibunya – yang dahinya beliau kucupi.
Begitu juga pemain lain. Mereka mencium dahi dan pipi ibu bapa masing-masing, berpeluk-peluk, dan menari di tengah stadium meraikan kejayaan.
Kata seorang pengulas sukan Jerman: Kita tidak lagi dapat lihat ikatan intim keluarga dalam masyarakat Barat. Konsep kekeluargaan semakin pudar dan kita hanya nampak pemain kita mencium model dan teman wanita manakala ibu bapa ditempatkan di rumah penjagaan.
Sokongan moral keluarga memainkan peranan besar kejayaan Maghribi di Piala Dunia. Kita mesti belajar etika dan nilai keluarga daripada Maghribi dan harap satu hari pemain kita juga akan mencium dahi ibu mereka dan juga ayah mereka.
Itu pada hemat saya pengajaran cukup besar. Ya itu, bagi pengulas Jerman, sesuatu yang mesti dipelajari masyarakat Barat. Izinkan saya menambah: pengajaran sama mesti diteladani masyarakat Timur, lebih tepat pengajaran untuk masyarakat kita. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.