`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 29, 2022

Penamatan pegawai kontrak dah dimaklum awal, kata LHDN

 

LHDN memaklumkan pekerja terjejas sudah dibantu melalui MYFutureJobs dilaksanakan Perkeso yang menyaksikan seramai 59 orang pegawai kontrak berjaya mendapat pekerjaan lain.

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata pihaknya sudah memaklumkan lebih awal kepada 42 pegawai kontrak bulanan dan 998 pegawai kontrak harian yang akan diberhentikan 1 Jan depan bagi membolehkan mereka mencari pekerjaan baharu.

Dalam kenyataan, LHDN berkata pemakluman itu dibuat sejak awal tahun ini.

“Secara dasarnya, LHDN menggajikan pegawai-pegawai kontrak ini bagi tujuan pelaksanaan tugasan atau fungsi yang perlu diselesaikan dalam suatu tempoh yang spesifik, iaitu berasaskan projek,” katanya.

Katanya, tindakan pemberhentian itu dibuat kerana LHDN melalui proses transformasi iaitu tugas dan fungsi mereka telah melalui proses automasi.

“Selari dengan usaha digitalisasi ini, LHDN telah memperkemaskan struktur organisasinya yang mana turut melibatkan penstrukturan sumber manusia. Pelaksanaan ini turut melibatkan isu mengkaji semula keperluan untuk menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian di LHDN,” katanya.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu pengurusan LHDN tidak membuang 958 pekerja yang didakwa akan diberhentikan menjelang 1 Jan 2023.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata pihaknya terkejut dengan tindakan pengurusan LHDN yang didakwa tidak memikirkan nasib pekerja bawahan malah tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan mereka yang terlibat.

Sementara itu, LHDN berkata pihaknya mengambil berat terhadap situasi dialami pegawai kontrak dengan mendapatkan pekerjaan melalui penganjuran program bersama dengan syarikat ejen cukai.

Selain itu, LHDN turut membantu mereka melalui MYFutureJobs dilaksanakan Perkeso yang menyaksikan dalam tahun 2022, seramai 59 pegawai kontrak berjaya mendapat pekerjaan lain.

“Justeru, tindakan LHDN tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak ini tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi bertunjangkan kepada hasrat meningkatkan kecekapan operasi agensi ini selain memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum bagi mengelakkan sebarang pembaziran,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.