PASIR MAS: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk negeri diketuai kerajaan pembangkang.
Beliau berkata, langkah itu diterjemah menerusi lawatannya ke Kelantan, negeri pertama dikunjunginya sejak berkhidmat sebagai perdana menteri.
“Saya sudah beritahu sebelum ini, tugas saya sebagai perdana menteri adalah berusaha mentadbir dan mengurus negara dengan sebaik mungkin.
“Soal pilihan raya rakyat yang memilih. Tanggungjawab saya selepas diberi amanah adalah mengurus dengan baik tanpa mengira negeri dan tumpuan saya soal banjir adalah di Kelantan memandangkan negeri ini banjir.
“Kalau bercakap soal pelabuhan mungkin sesuai di Johor, kita ikut keutamaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau sedia menerima kunjungan daripada Ahmad bagi membincangkan isu pembangunan negeri ini.
“Saya beri jaminan bukan sahaja hari ini, tetapi pada masa depan sekiranya ada keperluan saya sedia menerima beliau sama ada di pejabat untuk berbincang hala tuju untuk kepentingan rakyat dan pembangunan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.