`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 13, 2022

Polis sahkan tahan pemandu treler kemalangan tular di Gerik

 

Tangkap layar video tular kemalangan yang melibatkan pemandu treler dan beberapa kenderaan dalam kejadian di Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli).

PETALING JAYA: Polis telah menahan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan yang membabitkan beberapa kenderaan di KM69, Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli), seperti yang tular di media sosial kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Zulkifli Mahmood, kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi, 29 Okt lepas dan lelaki berusia 47 tahun itu telah ditahan pada hari sama melalui sekatan jalan raya Batu Melintang di Jeli, Kelantan.

“Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Bernama.

Beliau berkata kemalangan berpunca daripada muatan siling putih yang jatuh dari treler ketika ia melalui selekoh dari arah Gerik ke Jeli, sebelum menimpa sebuah kenderaan jenis Subaru Forester dan tiga kenderaan lain.

Menurutnya, pemandu Subaru Forester yang berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan, namun isterinya yang berusia 31 tahun cedera parah dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan.

Manakala mangsa lain pula dilaporkan mengalami cedera ringan.

Kelmarin, klip video berdurasi 16 saat itu tular menerusi akaun Twitter @isusemasaviral yang menunjukkan kejadian itu selain perkongsian mengenai keadaan isteri mangsa yang hamil anak pertama. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.