Dia membetulkan semutar yang melilit kepalanya. Mulutnya terkumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Sekejap-sekejap dia memandang ke langit memerhatikan cuaca. Seketika pula dia menunduk memandang tanah. Untuk apa, saya tak pasti.
Orang yang lalu-lalang di kaki lima jalan tertarik dengan tingkah-lakunya. Ada yang berhenti dan menunggu. Yang sudah biasa berjalan di situ seperti saya memang sudah kenal dengan wajah dia. Saya yang sudah selesai seharian bekerja duduk mengambil tempat di suatu sudut.
Sementara hari belum gelap, saya akan berehat sambil cuci mata di sini untuk menonton persembahan seniman jalanan dan juga persembahan lelaki ini. Dia penjual ubat tepi jalan. Memang setiap kali selepas habis bekerja saya di sini dan ternanti-nanti untuk menonton aksi dia.
Dia sedar segala aksi yang dibuatnya tadi itu diperhatikan. Itu hanyalah lakonan dia untuk menarik perhatian orang ramai. Itu gimik. Mendongak, menunduk, membetulkan bengkung yang diikat di pinggang semuanya itu lakonan untuk membuat orang kagum.
Setelah memastikan dirinya benar-benar bersedia dia pun membentangkan sehelai tikar kecil di atas jalan. Kemudian dia membuka begnya dan menyusun botol-botol berisi ubat yang didakwanya resipi turun-temurun warisannya.
“Hey! Mari semua adik abang, kakak-kakak, pak cik dan mak cik. Ini ada berita baik untuk semua!”
Itu mukadimah dia. Sambil bercakap dia menepuk tangan dan bergerak seolah sedang melakukan langkah sembah silat. Orang yang lalu-lalang berhenti dan semakin ramai berkerumun.
“Kalau abang ada gatal-gatal di kulit sampai nak sembahyang pun tergaru-garu macam beruk kena belacan atau adik kakak ada jerawat batu sebesar penumbuk jangan risau! Ubat ini boleh menyelesaikannya!”
Terdengar suara penonton ketawa. Memang saya suka melihat dia berjualan kerana dia kelakar. Kata-katanya lucu berserta dengan aksi yang mencuit hati. Siap dengan mimik muka sekali.
“Hanya sepuluh ringgit sahaja sebotol. Abang-abang yang ada lenguh sendi, sengal lutut, sakit pinggang mari beli sebotol. Dijamin baik, bang. Jangan ragu janganlah bimbang, urut dagu jangan lama bang, ayuh!”
Saya dan orang ramai terhibur. Dalam ketawa mendengar celoteh lucunya terfikir saya bagaimana sebotol ubatnya itu boleh mengubat berbagai jenis penyakit. Ajaib betul ramuannya. Dia ada seribu satu formula dengan hanya sebotol ubat. Dia seperti menteri. Setiap masalah rakyat dia ada formula untuk menyelesaikannya. Harga ayam mahal, dia tahu nak atasi. Kekurangan telur ayam di pasaran dia cekap dengan ideanya. Harga petrol, harga kereta semua dia tahu bagaimana hendak dimurahkan.
“Adik, cuba teka berapa umur abang?” Saya terkejut, sedang terngelamun melayan tiba-tiba saya yang ditanya olehnya. Saya hanya ketawa menggelengkan kepala. Saya tidak dapat meneka usianya.
“Apalah kau ni, dik. Pemalu nak jawab. Macam mana nak mengorat kalau pemalu?” Usik dia. Saya semakin malu. Beberapa orang sekeliling ketawa.
“Saya ni tuan-puan sudah nak masuk enam puluh tahun. Percaya tak?” Tanya dia kepada orang yang menonton. “Kenapa tak percaya? Sebab nampak macam empat puluh, ya?” Penonton terangguk-angguk.
“Apa rahsianya?” soalnya. Suaranya makin dikuatkan. “Ubat inilah!” Dia mengangkat sebotol ubatnya. “Isteri saya tiga orang, abang. Semuanya bahagia dan gembira. Sebab apa? Sebab saya kuat seperti lelaki sejati!” Katanya sambil tersengih. Dia mengangkat lengannya dan menepuk siku sebagai isyarat menjelaskan yang tenaga lelakinya kuat.
“Kalau nak kuat macam saya, cuba ubat ramuan turun-temurun yang saya buat ini,” katanya dengan senyum lebar.
Saya sudah mengagak. Apa sahaja kelebihan ubat buatan ini akhirnya mesti menjurus ke arah kekuatan seks lelaki. Saya melihat lelaki tidak jauh dari saya mula membelek dompet. Mungkin dia berasa perlu akan ubat tersebut untuk membantu mengembalikan keyakinannya. Ternyata taktik paling hebat untuk melariskan jualan adalah mengaitkannya dengan seks atau libido.
“Tengok!” Dia tiba-tiba meniarap di atas permukaan jalan dan melakukan tekan-tubi sebanyak dua puluh kali. Kemudian dia bangun, “lihat ada tak saya mengah? Tak!” Dia yang bertubuh gempal memang tak nampak pun semput. “Bukan macam abang-abang, baru kayuh dua minit dah terjelir lidah macam anjing kena baling, pakai ubat saya ni gerenti okay!” Kami semua ketawa.
Sedang penjual ubat terus berceloteh dengan cerita lucunya yang sesekali diselitkan unsur lucah, datang seorang lelaki mendekati. Lelaki itu berbual dengan si penjual ubat walaupun tidak kuat tetapi boleh didengar oleh kami yang menonton. Lelaki yang datang itu mahu membeli sebotol lagi selepas mencubanya sebelum ini. Dia memuji kemujaraban ubat ramuan si penjual tersebut. Selepas membayar dia berlalu dan hilang di celah orang ramai.
“Ha! Ha! Ha! Itu pelanggan saya. Dah dua kali dia beli. Berkesan katanya,” ujar si penjual.
Ketika itu jugalah beberapa orang mula menghampiri si penjual untuk membeli termasuklah ‘abang’ yang duduk tidak jauh dari saya tadi. Saya tidak pasti apakah lelaki tadi itu memang benar-benar pelanggan atau rakan kongsi si penjual ubat yang berlakon untuk menyedapkan lagi kempen si penjual ubat itu. Ternyata kehadiran dia tadi menambah keyakinan orang lain untuk mencuba.
Saya kagum dengan gaya penjual ubat itu. Cara dia berkempen ubatnya, penampilannya yang menarik, pidatonya yang lucu, cara dia membesar-besarkan produknya memang saling tak tumpah seperti lagak seorang ahli politik. Tahap keyakinan dia tinggi. Masakan tidak, bukan mudah hendak menarik perhatian orang dan mempengaruhi mereka untuk mengeluarkan wang dari poket.
Tetapi dia mampu. Dia seperti pakar dalam segala hal. Bila ada pelanggan mengadu lemah badan dia sarankan kurangkan makan ayam pekan. Ayam kampung tak apa. Macam-macam petua atau formula diberi. Hebat!
Tiba-tiba si penjual ubat yang sedang melayan pelanggan ini bingkas bangun, memasukkan semula botol-botol ubatnya di dalam beg dan melipat tikar kecil yang terhampar di atas jalan tadi. Sepantas kilat dia siap mengemas dan duduk seperti tiada apa yang berlaku. Nun tidak jauh dari situ kelihatan beberapa penjaja tanpa lesen bertempiaran lari kerana pegawai penguatkuasa datang buat serbuan. Sepanjang kaki lima jalan yang tadinya ramai penjaja tiba-tiba ghaib melarikan diri.
Abang penjual ubat hanya duduk bertenang. Dia menunggu keadaan kembali tenang untuk dia meneruskan jualan ubatnya semula. Saya pasti akan datang lagi keesokan harinya menonton dia.
Saya kagum dan terpesona dengan dia, abang penjual ubat yang handal berlakon, membaca situasi, petah berkempen, cekap berhelah. Dia sentiasa ada formula. Paling hebat dia mempunyai tahap keyakinan yang cukup tinggi untuk meyakinkan orang lain! Cuba beri dia baju kot, tali leher…oh! Tak perlu tali leher pun tak mengapa. Bawa dia masuk Dewan Rakyat dan bercakap. Mesti semua terpesona.
Tambahkan sedikit perkataan Inggeris, “actually”, “by right”, “which is” pasti memukau. Apa kurangnya dia? Dia tak jauh bezanya dengan pak menteri! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.