`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 13, 2022

Prasarana cadang tambah 300 bas Rapid KL pada 2024

 

Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata terdapat 1,540 bas Rapid KL pada masa ini namun hanya 1,183 beroperasi setiap hari.

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) berhasrat menambah lebih 300 bas, termasuk 100 bas elektrik melibatkan peruntukan bernilai RM180 juta pada 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata fasa pertama penambahan bilangan bas itu hanya membabitkan perkhidmatan Rapid KL susulan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di ibu negara.

“Kita akan mula membuka tender pada suku pertama 2023 dan peruntukan yang disediakan juga meliputi kerja menaik taraf infrastruktur dan kabel elektrik di depoh stesen bagi proses pengecasan,” katanya.

“Pada masa ini, terdapat 1,540 buah bas Rapid KL, namun hanya 1,183 beroperasi setiap hari. Bilangan bas itu masih sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan negara mempunyai pengangkutan awam yang efisien seperti Singapura.”

Azharuddin berkata, sebagai pembaharuan, pihaknya akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik yang terdiri daripada 45 bas mini, dengan panjang antara 7m hingga 8m, dan 55 bas bersaiz besar berukuran 10 hingga 12m.

“Kita lihat perkhidmatan bas mini lebih efisien kerana lebih mudah untuk bergerak melalui kawasan sibuk dan jalan sempit seperti kawasan perumahan, selain mempunyai kekerapan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Rapid KL pernah melakukan percubaan menggunakan bas elektrik bagi koridor Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, dalam operasi perkhidmatan basnya di dua laluan bas terpilih selama tiga bulan bermula April sehingga 13 Jun lepas.

Dua laluan percubaan yang terlibat termasuk, Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni, menggunakan kaedah pengecasan semalaman.

“Jadi, melalui hasil percubaan ini, kita yakin dapat menggerakkan 100 bas elektrik ini, selari dengan pertambahan sistem rel pada masa akan datang sekali gus menawarkan perkhidmatan yang optimum kepada pengguna pengangkutan awam,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.