`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 13, 2022

Ubah wang haram hasil jual bayi, bekas guru tuisyen mengaku tak salah

 

Tertuduh Jamaliah Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram hasil daripada kegiatan penjualan bayi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas tuduhan pengubahan wang haram hasil daripada kegiatan penjualan bayi pada Disember tahun lalu.

Tertuduh Jamaliah Ahmad, 62, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.\

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM12,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang kira-kira 7 malam pada 15 Dis tahun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021, menurut Berita Harian.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Md Yusof Md Idris.

Berdasarkan fakta kes, dia didakwa menerima seorang bayi perempuan daripada seorang wanita warga Indonesia untuk dijadikan anak angkat pada Disember tahun lalu.

Tertuduh kemudian telah mengiklankan dalam laman Facebook dikenali sebagai “Group Pencarian Anak Angkat” yang biasanya disertai pasangan ingin mengambil anak angkat.

Berikutan itu, pada 15 Dis 2021 bertempat di lobi sebuah hotel suspek dikatakan telah diberi wang tunai sebanyak RM12,000 oleh suami isteri yang datang dari Terengganu yang mahu mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

Pada prosiding itu, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan tiga syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tertuduh tidak dibenarkan berjumpa atau mengganggu mana-mana saksi sepanjang kes berlangsung.

Mahkamah menetapkan 13 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.