PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mungkin mencatu cuti anggotanya di seluruh negara bagi memastikan tahap kesiapsiagaan, khasnya menghadapi banjir ketika ini di tahap optimum.
Ketua Pengarahnya, Hamdan Wahid berkata, catuan cuti itu khusus kepada pegawai dalam tugas operasi melibatkan di 333 balai bomba.
“Catuan cuti ini khusus untuk pegawai di dalam tugas operasi di seluruh negara, namun kita juga dibantu oleh ‘team’ yang kita wujudkan seperti Red (rapid deployment team) di 11 kawasan tertentu di Semenanjung.
“Ini termasuk membantu balai yang mungkin tidak cukup dari segi keanggotaan dan aset. Jika mereka ini memerlukan bantuan lebih besar, negeri tidak akan membantu…dan jika anggota tidak cukup, anggota yang bertugas di pejabat juga akan kita atur gerak.
“Bagi yang off (cuti), kita akan masukkan juga. Selain itu, dari segi syif, kita buat pertukaran syif daripada 12 jam kepada 24 jam supaya lebih ramai (anggota),” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, JBPM akan meneruskan pemantauan, di darat dan udara, menggunakan helikopter dan dron bagi menghantar laporan ke ibu pejabat di Putrajaya.
Tetapi, katanya, keadaan banjir di seluruh negara masih terkawal ketika ini.
“Tapi, sekiranya keadaan banjir di (sesebuah) kawasan, kita akan bekukan cuti di kawasan/negeri berkenaan.”
JBPM turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) untuk mendapatkan maklumat dan ramalan cuaca, selain paras air sungai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan akan menggerakkan langkah proaktif dalam pengurusan bencana banjir, termasuk mengaktifkan pusat pemindahan sementara (PPS) lebih awal.
Katanya, dengan kerjasama MetMalaysia, beberapa kawasan yang jumlah taburan hujan tinggi dan dijangka berlaku banjir akan diberi tumpuan bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau kehilangan dokumen penting.
Beliau berkata, MetMalaysia meramalkan timur Semenanjung yang meliputi Kelantan dan Terengganu, pantai timur Sabah serta pantai barat Sarawak bakal mengalami taburan hujan tinggi bermula 17 Dis ini. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.