`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 5, 2022

Tak bayar gaji RM10,000, bekas majikan cedera dipukul rantai besi

 

Tangkap layar daripada rakaman video menunjukkan pergaduhan antara dua kumpulan lelaki yang tular di media sosial sejak malam tadi.

KOTA KINABALU: Seorang pengusaha kilang makanan laut cedera diserang bekas pekerjanya yang mendakwa tidak dibayar gaji sebanyak RM10,000 dalam kejadian di depan kilang itu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 52 tahun itu bersama seorang rakannya yang berusia 42 tahun masing-masing cedera di telinga dan belakang kepala akibat diserang empat lelaki, termasuk bekas pekerja kilang terbabit.

Kedua-dua mangsa dikatakan ditumbuk dan ditendang, selain dipukul menggunakan rantai besi pada 1 Dis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Zaidi Abdullah berkata, sebuah Perodua Bezza menghalang laluan keluar di pintu pagar kilang itu, ketika mangsa bersama rakannya hendak keluar makan Khamis lalu.

Katanya, mangsa meminta pemandu itu mengalihkan Perodua Bezzanya, tetapi pemandu terbabit enggan sebelum mangsa melemparkan alat pemadam api ke arah kereta itu hingga menyebabkan cermin tingkap bahagian penumpang pecah.

“Selepas itu, muncul seorang lelaki yang mangsa kenali, iaitu bekas pekerja rakannya itu, lalu memukul mangsa kedua kerana dikatakan gagal menjelaskan gajinya.

“Tiga rakan lelaki itu, termasuk seorang yang bersenjatakan rantai besi dan seorang lagi mengeluarkan parang, menyerang kedua-dua mangsa.

“Pergaduhan itu berjaya dileraikan dan akibat serangan itu, mangsa pertama cedera di kepala, manakala mangsa kedua cedera di telinga kiri dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Tuaran,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, polis menahan dua suspek berusia 53 dan 57 tahun semalam serta giat mengesan dua lagi suspek.

Katanya, polis merampas senjata digunakan suspek dan Perodua Bezza itu, dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.

Beliau berkata, pergaduhan antara lelaki dan bekas pekerja itu tiada kaitan dengan gengsterisme. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.