BATANG KALI: Bomba menemui empat petunjuk baharu yang berkemungkinan ada mayat tertimbus di lokasi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata penggunaan radar tembus bumi (GPR) sangat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam mengecilkan skop lokasi pencarian di semua sektor.
“GPR berjaya mengesan objek disyaki tubuh manusia di bawah tanah, dan setakat ini membantu kenal pasti 14 titik.
“Bagaimanapun, apabila penggalian dibuat pasukan tidak menemui sebarang badan mangsa. GPR tersebut mungkin telah kesan objek-objek lain di point tersebut. Namun, penggunaan GPR sangat membantu operasi SAR, dengan mengecilkan kawasan pencarian dalam sektor ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Hulu Selangor, Suffian Abdullah, berkata tujuh kenderaan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di sini, pada Jumaat lepas telah direkod nombor plat pendaftaran bagi mengenal pasti pemiliknya.
Beliau berkata polis akan meneliti nombor plat berkenaan untuk melihat jika ia berkait dengan sembilan mangsa yang masih hilang.
“Saya akan semak dengan pemilik dan saudara mereka yang mempunyai kaitan dengan kereta-kereta yang terlibat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Beliau berkata usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus pada hari ini menemui jalan buntu dan usaha mengesan mereka akan berterusan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.