PETALING JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) menutup permukaan terdedah dengan kanvas tarpaulin untuk mengelakkan runtuhan susulan di lokasi tragedi tanah runtuh di Jalan Genting Highlands-Batang Kali.
Agensi itu memaklumkan kerja pencegahan jangka pendek turut membabitkan pengalihan air saliran permukaan dan longkang sedia untuk mengelakkan air larian masuk ke kawasan runtuhan selain pemasangan “tilt sensor” bagi mengesan pergerakan tanah.
Menurutnya, langkah berkenaan diambil susulan pemeriksaan awal pasukan Forensik dan Kejuruteraan Cerun JKR mendapati ada aliran air bawah tanah yang aktif dikesan di lokasi cerun runtuh terutamanya dalam kawasan perkhemahan.
“Penemuan awal mendapati berlaku dua kegagalan cerun di lokasi sama dengan sela masa 20 minit hingga 30 minit antara kedua-duanya.
“Kegagalan cerun yang pertama berkemungkinan besar berlaku di kawasan perkhemahan yang mengakibatkan kawasan di kaki (toe) cerun jalan raya menjadi lemah dan berlakunya runtuhan susulan (kedua) yang lebih besar,” katanya lapor Bernama.
JKR turut memaklumkan siasatan terperinci dijangka dilaksanakan di tapak berkenaan sejurus operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.
Setakat petang semalam, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.
Operasi mencari dan menyelamat sembilan mangsa yang belum ditemukan diteruskan hari ini bermula pada 9 pagi selepas ditamatkan pada 9 malam semalam. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.