`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 5, 2023

Agensi kerajaan harus kerjasama kawal drama, filem persenda Islam, kata penceramah bebas

 

Penceramah bebas Asma’ Harun memuji tindakan pantas Jakim yang mengesahkan filem ‘Mentega Terbang’ bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di negara ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Agensi-agensi kerajaan harus bekerjasama dalam mengawal drama atau filem seperti “Mentega Terbang” yang menyentuh sensitiviti umat Islam, tegas penceramah bebas Asma’ Harun.

Beliau memuji tindakan pantas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengesahkan filem itu bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di negara ini.

“Selepas ini, Jakim akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam catatan di Facebook.

“Kerjasama semua agensi kerajaan yang berkaitan amat penting dalam menangani isu sebegini. Kita tidak mahu platform dalam talian yang berada di luar kawalan Lembaga Penapisan Filem (LPF) menjadi satu tempat untuk karya-karya yang bertentangan dengan Islam sebegini mula berkembang

Selain LPF, SKMM yang dihubungi FMT turut mengesahkan pihaknya tidak punya kuasa menapis mana-mana drama atau filem di platform Internet, namun sudah menghubungi platform penstriman Viu untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Filem berdurasi 1 jam dan 44 minit itu sudah diturunkan daripada Viu pada 27 Feb lepas, menurut SKMM.

Asma’ berkata, selepas menonton filem arahan Khairi Anwar Jailani itu, beliau bersetuju beberapa dialognya secara jelas mempersenda dan meremehkan umat Islam, bahkan membawa mesej pluralisme agama.

“Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka bahkan menggalakkan kita supaya berfikir dengan akal yang sihat, akan tetapi sedar atau tidak inilah antara bentuk normalisasi ideologi pluralisme agama yang mula meracuni pemikiran orang Islam,” tegasnya.

Pluralisme agama merujuk kepada fahaman yang menyamakan semua agama, dalam erti kebenaran ada dalam semua agama, dan jaminan (syurga) boleh dicapai menerusi mana-mana agama.

Asma’ juga mengajak umat Islam untuk menyokong penggiat seni, Zabidi Mohamed yang mendapat surat tuntutan permohonan maaf daripada pasukan produksi filem kontroversi itu, atas ulasannya yang dimuat naik ke Facebooknya pada 25 Feb, 2 dan 3 Mac lepas.

Zabidi dituntut memadam catatannya di Facebook, berjanji tidak akan menerbitkan semula komennya dalam sebarang cara atau bentuk, serta membayar ganti rugi kerana didakwa mencemarkan reputasi mereka.

Terdahulu, tular sedutan babak tertentu dalam filem berkenaan yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging khinzir daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapa wanita itu membenarkannya keluar daripada Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak itu mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.