`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 24, 2023

Apa ada pada nama?

 

Mungkin pihak pembangkang tidak memainkan peranan dengan betul dan berkesan sehingga Sultan Johor terpaksa menitahkan gelaran “pembangkang” ditukar kepada “pengimbang”. Atau mungkin baginda terpanggil untuk membuat perubahan itu sebelum ada Ahli Dewan Undangan Negeri di pihak bukan kerajaan di Johor tidak berperanan betul?

Imbau kembali titah Sultan Johor pada perasmian penggal persidangan kedua DUN Johor ke-15 tempoh hari. Baginda menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar “pengimbang” berikutan peranan mereka disifatkan sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan. Menurut Sultan Johor, gelaran “pembangkang” yang diberikan kepada ahli DUN di pihak bukan kerajaan kurang sesuai kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata. Katanya, mereka turut bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

Dalam sistem parlimen di seluruh dunia termasuk sistem Westminster yang dicontohi Malaysia, pihak bukan kerajaan sememangnya digelar “pembangkang” atau “opposition” lantas “pembangkang” di Malaysia seperti di negara lain istilah yang digunakan untuk menggambarkan parti politik yang diwakili di dalam Parlimen, yang tidak membentuk kerajaan sama ada bersendirian atau pun gabungan.

Sememangnya pembangkang wajib memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan setiap dasar negara diusahakan sebaik mungkin oleh pemerintah yakni kerajaan demi kebaikan rakyat dan negara. Ertinya apa yang dihasratkan Sultan Johor sememangnya termaktub dalam tanggungjawab dan peranan golongan bukan kerajaan meskipun bergelar “pembangkang”.

Gelaran itu diguna sejak berzaman di setiap negara di dunia ini yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Rata-rata mereka tahu apa yang perlu, mesti serta wajib mereka lakukan sebagai pembangkang. ‘Mereka’ termasuk pembangkang di negara ini. Mereka tahu mengenai peranan memantau serta melakukan periksa dan imbang. Mereka bukan bodoh cuma akhir-akhir ini agak ramai ahli pembangkang yang kerjanya hanya membangkang dan menghentam kerajaan meskipun kadang kala tersasar. Ini mereka lakukan atas dakwaan menunaikan tanggungjawab semak dan imbang, malah kerap juga serangan yang dilancar itu sebenarnya tidak diperlu sama sekali. Seolah-olah kerja mereka hanya mencari salah kerajaan dan serang walaupun ada ketikanya “is uncalled for”. Bak kata Inggeris, “oppose just for the sake of opposing”.

Itu yang Sultan Johor tidak mahu apabila mengingatkan seperti disebut tadi “peranan mereka bukan hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata” meskipun yang saya paparkan dalam artikel ini ialah secara am dan bukan dalam konteks Johor secara khusus. Pun begitu izinkan saya memetik kata-kata Speaker DUN Johor Puad Zarkashi untuk meletakkan isu ini dalam perspektif. Kata Puad, “istilah pengimbang lebih murni, lebih tepat, lebih komprehensif, dan lebih futuristik untuk mewujudkan DUN lebih berwibawa.”

Penganalisis politik Sivamurugan Pandian bersetuju dengan penggunaan istilah “pengimbang”, malah beliau menyarankan DUN lain dan juga Parlimen turut menamakan pembangkang sebagai pengimbang. Ini katanya untuk membuat peranan pembangkang lebih positif supaya mereka memainkan peranan “check and balance” lebih berkesan. “Bukan sekadar membangkang dan membantah apa juga langkah pihak yang memerintah,” kata Siva. Beliau mengimbangi kenyataannya dengan berkata kerajaan juga mesti seimbang dan meraikan perbezaan pendapat agar menangani isu sebenar iaitu isu membabitkan rakyat bukan isu politik.

Benar. Bagaimanapun kerap isu politik ditimbulkan atas nama ‘rakyat’. Lebih menyedihkan dan membimbangkan apabila sesuatu perkara yang ditimbulkan untuk keuntungan politik diuar-uarkan sebagai ‘untuk menyelamatkan rakyat’. Cara mudah dan lazim ialah mengeksploitasi soal Islam dan membakar sentimen agama dan perkauman. Objektifnya kita semua tahu. Tidak perlu diperjelas mahupun diperinci.

Oleh itu, selagi ada anggota Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang bukan kerajaan terus menerus melakukan apa yang mereka tidak sepatutnya dilakukan, hasrat melihat golongan yang peka dan cekap menjalankan tugas semak dan imbang tidak kesampaian walau apa pun gelaran yang diberikan.

Gelarlah mereka “pengimbang” tetapi jika mereka tidak benar-benar ikhlas menyemak, memeriksa, serta mengimbangi dan terus berperangai seperti biasa, gelaran akan hanya tinggal gelaran.

Lalu persoalannya: bagaimana memastikan si pengimbang benar-benar mengimbangi? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.