`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 14, 2023

Apa presiden nak dia dapat?

 

Apabila Shahrizat Jalil gagal merampas jawatan ketua Wanita Umno daripada Noraini Ahmad tempoh hari, seorang anggota kumpulan sembang WhatsApp menghantar komen berikut: “Zahid in control. Don’t play-play with president.”

Apa yang saya faham daripada komen itu ialah si penghantar beranggapan dengan menangnya Noraini, Presiden Ahmad Zahid Hamidi dapat apa yang dihajati – lantas menguasai penuh parti. Lalu jangan “main-main dengan presiden”.

Pada hemat saya, berdasarkan itu individu yang membuat catatan berkenaan berpendapat Shahrizat datang mencabar ‘orang Zahid’ untuk membuat perubahan tetapi gagal.

Namun kata seorang bekas aktivis Umno, ada penulis politik pernah meluahkan pandangan bahawa Shahrizat lah yang sebenarnya ‘orang Zahid’. Malah Shahrizat dikatakan makan malam bersama presiden Umno beberapa hari sebelum mengumumkan hasrat mencabar Noraini.

Jika benar apa yang dizahirkan si penulis politik itu, maka Zahid tidak dapat apa yang dihajati kerana orangnya kalah? Waullahualam.

Yang nyata suatu yang sememangnya Zahid mahu dan membuatnya bangga dan gembira ialah agar anaknya Nuruhidayah dipilih sebagai ketua Wanita Umno Bagan Datuk. Hajat itu tidak kesampaian. Anaknya tewas pada pemilihan jawatan itu Ahad lalu. Memeranjatkan kerana Bahagian Umno Bagan Datuk dipimpin Zahid untuk sekian lama dan beliau Ahli Parlimen kawasan berkenaan sejak 1995.

Nurulhidayah bagaimanapun mendakwa wujud pelanggaran etika dalam pemilihan jawatan yang beliau tandingi dan sudah membawa dakwaannya kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno.

Pun begitu hakikatnya buat waktu ini Nuruhidayah tewas. Lantas Zahid tidak dapat apa yang diidamkan. Adakah beliau sudah hilang kuasa atau tidak dihormati di Umno bahagiannya sendiri?

Akan tetapi Nurulhidayah berjaya mendapat tempat dalam barisan exco Wanita. Ketika artikel ini ditulis beliau memperolehi 132 undi, berada di kedudukan kedua dalam kalangan 61 calon yang bertanding. Keputusan rasmi belum diumum pada waktu ini.

Bolehkah diertikan beliau ditolak di bahagian ayahnya tetapi diterima di peringkat kebangsaan? Yang nyata apa yang Zahid tidak dapat di bahagiannya beliau dapat di peringkat pusat.

Bagaimana pula keadaannya dalam Pemuda Umno? Jawatan ketua Pemuda dimenangi Muhamad Akmal Salleh, Adun Merlimau Melaka. Beliau menang besar ketika menewaskan tiga lagi calon termasuk Mohd Shahar Abdullah, bekas timbalan menteri kewangan, dan Armand Azha Abu Hanifah, ahli Majlis Tertinggi Umno. Keduanya ‘orang lama’ berbanding Akmal. Adakah ‘orang lama’ boleh dikaitkan dengan ‘orang presiden’?

Namun kata Akmal kemenangannya dengan majoriti besar secara tidak langsung menafikan dakwaan wujud beberapa kem dalam parti.

“Jika ada kem, sudah tentu pecahan undi (yang besar) berlaku, tetapi ini tidak berlaku dan yang ada hanyalah kem Umno,” katanya.

Mengambil kira kenyataan itu tidak boleh atau tidak perlulah ditanya sama ada Zahid dapat apa yang beliau hajati atau tidak. Kerana tidak ada kem si polan dan si anu. Kerana yang ada “hanya kem Umno” seperti dikata si ketua Pemuda.

Namun mungkin (atau pasti?) beliau bercakap pada aspek pergerakan Pemuda Umno. Bagaimana pula Umno keseluruhannya? Wujudkah kem presiden dan sebagainya?

Bolehkah diintepretasi ‘kem Umno’ bermaksud ‘kem presiden’? Kerana suara presiden suara Umno. Begitu? Dewasa ini bolehlah diyakini tidak ada kem anti-presiden kerana semua seteru Zahid sudah sama ada dinyah atau ditempangkan. Setuju?

Tetapi wujudkah dalam Umno golongan yang mahu perubahan? Yang mahu parti direformasikan walaupun dipimpin orang lama (baca Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan)? Bak kata Akmal, hasrat perwakilan di peringkat bahagian dan cawangan ialah satu suara yang padu kerana ia penting “demi melihat Umno bergerak ke hadapan sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti.”

Sebenarnya ramai penganalisis dan pemerhati politik malah orang Ummo yang berpendapat Umno mesti membuat ‘sumbangan’ besar kepada kerajaan perpaduan dengan membantu mendapatkan sokongan orang Melayu. Dalam lain perkataan mereka mahu Umno menjadi ‘parti Melayu’ dalam rangka kerjasama dengan Pakatan Harapan. Ini menurut mereka hanya boleh dilaksakankan jika Umno kembali kuat. Ringkasnya Umno tidak boleh sekadar ‘tumpang tui’ diam-diam dalam kerajaan.

Realitinya, persoalan sama ada Umno pimpinan Zahid boleh bergerak ke arah perubahan terus diapungkan. Bagi saya persoalan atau kesangsian sedemikan tidak akan ditimbulkan jika pertandingan “top two” dalam Umno dilangsungkan.

Ramai yang percaya Zahid khususnya tidak akan menghadapi masalah mengekalkan jawatan presiden. Cuma yang ingin dilihat umum ialah bukti terhadap apa yang sememangnya dijangka.

Namun kenyataannya, Umno (atau sebahagian dalam Umno) memilih untuk tidak diadakan pertandingan jawatan presiden dan timbalannya. Itu cerita lama meskipun isunya masih panas dan ada ahli parti yang membawanya ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Sesuatu yang boleh menyukarkan Umno.

Jika itu cerita lama, cerita baharu ialah Zahid menyatakan beliau sedia menerima “siapa sahaja pemimpin yang dipilih perwakilan dalam pemilihan Umno (kali ini)”.

Oleh itu, soal siapa dan apa yang Zahid hajati tidak perlu ditanya lagi? Adakah persoalan siapa beliau mahu bukan persoalan?

Pemilihan Pemuda, Wanita, dan Puteri Umno sudah selesai. Terpulanglah untuk diterjemah orang siapa yang menang atau memang sudah tidak ada “orang dia orang kita” dalam Umno. Kata seorang penyokong kuat Zahid sebelum pemilihan ketiga sayap Umno itu diadakan baru-baru ini: “Ada kita menang, ada kita kalah itulah politik, itulah kehidupan”.

Sabtu ini 18 Mac 2023, pemilihan semua jawatan Umno akan diadakan – daripada naib presiden hinggalah AJK bahagian. Adakah apa yang dikata orang kuat Zahid yang disebut tadi boleh diulangi? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.