`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 26, 2023

Bila perkataan Inggeris dieja Melayu

 


Kawan lama saya, wartawan veteran Zin Mahmud, merungut di Facebook tempoh hari: “Aku pelik dia orang tulis ‘kazen’, ‘kazen’. Apa tu, bahasa Jepun ka? Rupanya ‘cousin’. Tulislah sepupu. Berbulu mata aku.” Saya rasa beliau “was being sarcastic”. Pastinya beliau tahu apa erti perkataan yang ‘disalah eja’.

Namun saya setuju sedikit sebanyak. Saya pun berbulu mata. Lama tak dengar peribahasa tu. Anak muda zaman “now” tahu ke maknanya? Zaman saya muda dulu ia selalu digunakan untuk menyimpulkan rasa “benci, meluat, menyampah” terhadap sesuatu.

Cuma saya dan kawan-kawan menggugurkan perkataan “mata”. Lantas kami kata “berbulu aku” apabila berdepan sesuatu yang tidak kami senangi. Disambut pula oleh kawan yang menyakat dengan bertanya: “Lebat ke?”. Kelakar ke? Itu cerita dulu-dulu.

Berbalik rungutan Zin. Catatannya menarik reaksi “followers” Facebooknya. Seorang yang sama-sama berbulu mata mengadu selain “cousin” dieja “kazen”, ia disebut “kezen”. Menyirap dibuatnya kata si pembuat komen. Kata seorang lagi “follower”: “Kerosakkan bangsa Melayu seiring dengan kerosakan bahasa yang dituturkan.” Wartawan veteran terkenal A Kadir Jasin turut memberi komen berbunyi: “Melayu sedang racuni dan sundalkan bahasa sendiri. Tidak ada lagi erti kepada ungkapan, tiada kata secantik bahasa.”

Sebenarnya banyak perkataan Inggeris yang dieja “cara” Melayu. Umpamanya “of course” dieja “opkos”, “pregnant” jadi “peknen”, “check it out” pula “cekidot”, “welcome” jadi “welkam”, “thank you” jadi “tenkiu”, “husband” pula “hasben”, “besday” untuk “birthday”, “call” dieja “kol”, “internet” ialah “tenet”, dan “bye” jadi “bai”. Ada lagi tapi cukuplah setakat itu.

Ini bahasa orang muda kata seorang yang memberi komen. Benar, dan saya tambah, mereka yang melakukan ejaan itu bukan tidak tahu berbahasa Inggeris. Setidak-tidaknya mereka tahu bahawa apa yang mereka ketengahkan bukan ejaan betul. Cuma mereka tetap lakukan “just for the fun of it”. Suka-suka, berlawak, berjenaka, kelakar.

Seorang yang juga kawan lama saya gemar menggunakan ejaan seperti itu. “Cekidot” antara perkataan “favourite” beliau. Beliau sama usia dengan saya. Makna orang tua lah tu.

Bercakap mengenai orang tua, golongan “senior” masa saya kanak-kanak dulu kerap guna Inggeris yang dimelayukan apabila bercakap. Contoh, bila merujuk “town board” mereka tidak akan kata majlis bandaran. Yang disebut “tombod”. Begitu juga “flats” disebut “plet”, bukan rumah pangsa. “Form” bukan borang, sebaliknya “pom”. “Nurse” jadi “nas”, bukan jururawat.

Mereka bukan membuat lawak. Bukan juga mempersenda bahasa Inggeris. Tentulah bukan tidak sayangkan bahasa Melayu. Tetapi berkata demikian mungkin kerana sudah terbiasa dengan bahasa Inggeris yang mereka tidak mahir gunakan. Maklumlah mereka generasi pra-Merdeka. Zaman penjajah. Mungkin ada sebab lain. Waullahualam.

Itu tidak membuat saya “berbulu”. Namun yang buat saya demikian ialah ada beberapa menteri zaman dahulu yang berkata “mereka-mereka” ketika merujuk kepada kumpulan. Pada hal istilah “ mereka” sememangnya merujuk kumpulan. Ada yang menyebut “pada pendapatan saya”. Yang mereka ingin atau patut katakan ialah “pada pendapat saya”.

Sememangnya saya pelik ada orang politik yang menjadi menteri zaman lalu gemar menggunakan perkataan Inggeris walau pun perkataan yang digunakan ada dalam bahasa Melayu. Seperti “credibility”. ”Kewibawaan” tidak digunakan. “Piawaian” diketepikan dan “standard” digunakan. Mungkin perkataan dalam bahasa Melayu mengakibat terbelitnya lidah? Atau mungkin perkataan lebih “stylish”. Saya sendiri guna “ stylish” bukan “bergaya”. Atau mungkin jika guna istilah Inggeris maknanya lebih tepat? Mungkin itu sebabnya orang sekarang guna “influencer” bukan “pempengaruh” meski pun sedang bercakap Melayu?

“Treasury” menjadi pilihan kakitangan kerajaan seketika dahulu. Bukannya “perbendaharaan.” Pada lewat 1990-an kerajaaan menggugurkan istilah “Belanjawan”, digantikan dengan “Bajet”. Hanya kebelakangan ini “Belanjawan” timbul semula. Seorang yang membuat komen pada Facebook Zin berkata “tapi ada pemimpin cuba naik taraf bahasa Melayu dikutuk berhabis-habisan.” Adakah beliau merujuk Anwar Ibrahim?

Apa pun kita tahu Anwar menggunakan pelbagai perkataan dan istilah Melayu (yang saya sendiri tidak pernah tahu dan dengar) semasa bertutur mahupun semasa menyampaikan ucapan dengan menggunakan sebutan baku. Ini beliau lakukan untuk sekian lama dahulu dan diteruskan sekarang sejak menjadi perdana menteri. Perkataan yang beliau gunakan pada 1990-an yang masih lekat di minda saya ialah “bergentayangan” yang bermaksud berjalan ke sana sini atau berkeliaran. Tidak tahu mengapa saya suka perkataan ini. Mungkin kerana nada atau bunyinya.

Ada yang mengkritik. Kata mereka banyak perkataan yang Anwar gunakan asal atau diciplak daripada bahasa Indonesia. Ada yang kata terlalu “bombastic” sehingga orang tidak faham. Buat apa guna ‘perkataan besar’ jika mesej yang mahu disampaikan kepada khalayak tidak sampai ke sasaran, tanya mereka.

Ada pula berkata jika tidak dimulakan daripada sekarang sampai bila kita mahu gunakan ‘bahasa betul’? Orang yang mulanya tidak faham kata mereka akan faham juga apabila sering disajikan dengan ‘bahasa betul’.

Pun begitu bahasa Melayu akan terus dicemar, jika itu istilah yang boleh digunakan. Contoh, anak muda (dan juga golongan tidak berapa muda) akan terus salah eja perkataan Inggeris untuk dimelayukan. Bermacam loghat akan dibawa masuk ke dalam bahasa Melayu, kerana suka-suka dan kelakar mungkin.

Tetapi saya yakin kita tahu ada masa untuk kelakar, dan ada masa untuk serius. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.