Baru-baru ini saya membaca mengenai Ewe Jin Low, arkitek kelahiran Malaysia yang telah merekabentuk banyak bangunan di England, seluruh Asia Tenggara dan Australia selama 30 tahun kebelakangan. Beliau juga dikenali kerana membina lebih 30 buah reka bentuk bangunan dengan menggunakan bahan buluh. Hal ini amat menarik minat saya, kerana rantau kita memang dikenali dengan buluh. Bahkan, buluh memiliki signifikan tersendiri dalam kehidupan.
Dalam kalangan masyarakat di Asia Tenggara, buluh tidak ditanggapi sebagai pokok, tetapi sebetulnya ‘rumput’. Tidaklah menghairankan, rebung misalnya dijadikan makanan; atau lauk, dari Myanmar sehinggalah ke Kepulauan Borneo.
Buluh mempunyai banyak kegunaan yang luar biasa di rantau kita. Sebagai misalan, di Vietnam ia menjadi lambang perlawanan terhadap penjajah Perancis. Bukan itu saja, buluh dalam peribahasa Vietnam menandakan mulanya perlawanan generasi muda; “Tre gia, mang moc” iaitu buluh saat makin tua, tanda rebung akan menjelma. Ia semacam menjadi petunjuk agar generasi lama memberi laluan kepada yang baharu.
Bercakap tentang perlawanan, penggunaan buluh dalam kalangan orang Melayu untuk peperangan sudah menjadi satu kebiasaan. Sama ada buluh itu dijadikan sumpit yang diisi racun oleh Orang Asli tatkala perburuan, atau diasah menjadi runcing untuk menjadi senjata. Buluh juga dijadikan kubu pertahanan. Salah satu strategi peperangan orang Minang, memang menggunakan buluh. Ketika Perang Naning (1831-1832), antara orang Melayu di situ dengan Inggeris, buluh adalah senjata asas.
Buluh turut menjadi permainan lawan-lawan kanak-kanak lelaki. Satu masa dahulu bedil buluh pelenting (sejenis buluh yang kecil lebih kurang sebesar ibu jari kaki kanak-kanak) akan dipotong untuk dijadikan bedil seraya dibuat mainan perang-perang. Buluh ini selalu dijadikan pagar untuk kawasan rumah. Ia boleh dicam dengan ruas yang panjang, iaitu lebih kurang satu kaki atau lebih.
Akan tetapi buluh bukan semata untuk mencedera atau membunuh. Ia juga bahagian dari kebahagiaan hidup masyarakat. Selain menjadi senjata, buluh dijadikan instrumen muzik. Di Filipina, buluh satu aspek penting dalam tarian tinikling sejak era penjajahan Sepanyol. Tarian ini biasanya diiringi muzik rondalla. Dua buluh yang dilagakan hujung dan hujung sementara penari lelaki dan perempuan melompat agar tidak tersentuh buluh tersebut.
Tarian sedemikian juga ada di seluruh Asia Tenggara seperti tari magunatip oleh orang Murut, robam kom araek di Kemboja dan gaba-gaba oleh orang Ambon di Indonesia. Tentu sahaja buluh turut menjadi seruling yang menjadi tiupan semua bangsa, dan di Vietnam dicipta sebagai xylophone. Di negara kita, buluh yang sesuai untuk dijadikan alatan muzik ialah dari buluh perindu.
Satu lagi bahagian kebahagiaan dari buluh tentunya melibatkan aspek pemakanan. Buluh juga dikenali sebagai satu bahagian penting dalam gastronomi bangsa seluruh Asia Tenggara. Yang tentu sahaja lekas menyapa ingatan kita ialah lemang, di mana buluh merupakan bahagian paling penting untuk makanan istimewa tatkala Hari Raya Puasa. Di Thailand, makanan bernama kao lam dan kralan diisi beras pulut. Di Sarawak, ayam masak dalam buluh juga merupakan sejenis makanan khas yang menggamit selera. Rebung buluh betong adalah rebung yang paling sedap dimakan kerana agak manis.
Di alam Melayu, buluh dikaitkan dengan aneka gagasan dan perasaan. Untuk menjejaki keperihalan buluh dengan orang Melayu, memadailah kita menjenguk pantun-pantun terkait buluh. Terdapat sebuah pantun berbunyi:
Buluh perindu di atas gunung,
Habis luruh buah padi ku;
Rindu hamba tidak tertanggung,
Hancur luluh rasa hatiku.
Dari pantun di atas, kita dapat menanggapi yang orang Melayu menghubungkan buluh dengan perasaan, emosi, dan asmara serta kerinduan antara kekasih. Penjelasan pada pembayang pantun bahawa buluh perindu terdapat di atas gunung amatlah tepat dan mengisyaratkan orang Melayu amat sensitif dengan lingkungan. Sememangnya buluh perindu banyak ditemukan di kawasan banjaran di Semenanjung Malaysia. Buluh perindu ini berbatang kecil dengan daun berwarna hijau muda dan kadang tumbuh sehingga ketinggian 20 kaki. Ia selalu tumbuh dalam rumpun kecil dengan batang bersaiz kecil dan sering mempunyai warna kuning kehijauan.
Buluh ini dikait dengan alam mistik Melayu khusus kehebatan buluh ini untuk memikat sehingga menyebabkan ‘kerinduan’ kepada mereka yang mahu menggunakannya. Minyak wangian dari buluh perindu juga digunakan untuk mensasarkan seseorang untuk dijadikan kekasih.
Sejenis lagi buluh yang terkenal dalam kalangan orang Melayu ialah buluh aur, yang juga disebut sebagai aur sahaja. Ia adalah sejenis buluh yang amat kuat, dan mengakar pada tebing sungai sehingga menjadi pelindung kepada tebingan yang basah dan lecak. Pantun Melayu ada menyebut begini:
Buluh aur jangan dibelah,
Titi dibuat berikat akar;
Teguh setia tidak berubah,
Janji ikrar jangan bertukar.
Pembayang pantun di atas mengetengahkan kekuatan dan keutuhan aur sebagai buluh yang dapat digunakan untuk dijadikan satu pengangkutan air iaitu rakit. Di negara kita aur amat mudah ditemukan. Ia antara pohon renek yang sering dijadikan tanaman hiasan. Aur sering digunakan dalam industri pembuatan perabot, sebagai lantai rumah, kayu pagar, anyaman, bahan api, dan bakul sayur-sayuran.
Ada baiknya kita mulai meneroka kegunaan buluh. Mungkin kita perlu menyorot semula kehidupan masyarakat tradisional sebagai panduan dalam kehidupan moden kita. Penggunaan buluh untuk kediaman seperti yang dilakukan oleh Ewe Jin Low bukanlah sesuatu yang aneh. Buluh tumbuhan (rumput) yang senang tumbuh, boleh membesar setinggi satu meter dan menuainya tidak dapat dianggap sebagai satu ‘deforestation’. Buluh memiliki keistimewaan boleh dilentur, ringan, tidak diserang serangga perosak, boleh diganti, dan mempunyai ketahanan untuk bertahan dari landaan angin sehingga 173 mph.
Penyelidikan terkini mengisyaratkan penuaian buluh di Asia Tenggara membawa keuntungan lebih 60% buat petani (secara langsung) yang menanamnya. Tidaklah menghairankan Laos kini memperkenalkan Pelan Kebangsaan Pemuliharaan Rotan dan Buluh pada 2021. Ini membawa kepada penggunaan buluh dan rotan besar-besaran menjadikan Laos negara yang menarik dari segi seni bina.
Kita perlukan menteri dan pasukan yang kreatif untuk melihat pelbagai kemungkinan seperti di atas. Akan tetapi tentunya kita mesti memasang dan melantik menteri yang berseni dan berbudaya, yang tahu hebat buluh. Bukan seorang menteri yang membuldoz hutan, termasuklah macam-macam jenis buluh lain yang kian kepupusan seperti buluh duri, buluh minyak, buluh tali, buluh batu, dan buluh andong.
Akan tetapi itulah, kalau betul ada benak kreatif tidaklah arkitek terkemuka kita sepertinya Ewe Jin Low membawa buluh ke luar, khusus di Bali. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.