`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 7, 2023

Imam: Rebut kuasa dan persoalan agama yang tak berkesudahan

 

Menonton filem Imam arahan Mior Hashim Manap minggu lepas membuatkan saya terfikir bahawa kemelut dalam masyarakat kita khususnya orang Melayu-Islam masih begitu-begitu juga, di takuk yang sama meskipun zaman telah laju memintas. Diadaptasi daripada novel sasterawan negara Abdullah Hussain dengan judul yang sama, ternyata situasi sejak tahun lapan puluhan masih membelenggui kita. Mungkin lebih lama daripada itu lagi agaknya.

Persoalan perebutan kuasa dan nama, mencari kemasyhuran, mengukuhkan kedudukan politik serta persoalan remeh-temeh agama yang diberat-beratkan tidak pernah selesai. Meskipun filem ini memaparkan dilema di peringkat kampung nun di ceruk pedalaman, ia sebenarnya berlaku di mana-mana dan masih terus berlaku.

Kepulangan Haji Mihad (lakonan M Nasir) ke kampung asalnya dan mengambil tugas menjadi imam masjid yang baru membuatkan Haji Syamsuri selaku pewaris juga penjaga perbendaharaan masjid berasa tergugat meskipun mereka berdua sepupu. Pendekatan Haji Mihad yang mesra bersederhana kepada masyarakat seperti mengajak anak-anak muda mengadakan aktiviti sukan dan bermain muzik berhampiran dengan kawasan masjid ditentang oleh Haji Syamsuri.

Begitulah sehingga hari ini persoalan halal atau haram muzik masih berlegar dan berbalik-balik di peringkat nasional. Rancangan hiburan, konsert, dan persembahan sering dijadikan sasaran kononnya punca maksiat yang mengundang kemurkaan Tuhan berbanding kerugian hasil mahsul negara akibat rasuah serta penyelewengan kuasa. Segala yang berbentuk hiburan semestinya ada unsur syaitan. Dek kerana itu timbullah dialog di dalam filem ini, “kalau semuanya setan, apa lagi yang ada untuk manusia atas dunia ini?”

Babak solat Jumaat dengan dua imam mengingatkan kita akan peristiwa tersebut suatu masa dahulu akibat perbezaan parti politik bahkan berlarutan sehingga tuduhan kafir-mengkafir sama seagama. Haji Mihad dan Haji Syamsuri gambaran ikon agama seperti juga di era media sosial hari ini. Masing-masing ada penyokong dan bertelagah menegakkan apa yang mereka rasakan benar menurut fahaman mereka.

Kita sebagai penonton juga terperangkap dengan rasa kagum apabila Haji Mihad dan Haji Syamsuri berbahas di hadapan penyokong mereka menggunakan bahasa Arab. Biar orang sekeliling tidak faham, yang penting penyokong-penyokong ini nampak pemimpin mereka hebat apabila mahir dan fasih menggunakan bahasa al-Quran. Sayugia ditekankan, imam bermaksud ‘pemimpin’ dan pemimpin tidak tertakluk memimpin saf solat sahaja tetapi juga gambaran sebagai pemimpin negara. Pertelagahan dua imam adalah pertelagahan dua pemimpin yang berbeza ideologi.

Berbalik kepada dua pemimpin yang berdebat dalam bahasa Arab itu tadi, maka itu kayu ukur tingginya ilmu seseorang agamawan pada mata kebanyakan kita selain dari kostum dan pakaian. Jubah, serban, celak, dan bahasa Arab pakej untuk bergelar ‘ulama’. Tanpa pakej ini, bukan!

Filem Imam juga menyentuh sedikit sentimen masyarakat kita di Semenanjung yang melihat kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak masih kolot. Anggapan ini masih ada kerana sikap masyarakat kita sendiri yang sedap dalam zon selesa, malas mengembara, dan culas menimba ilmu. Inilah intipati naskah Imam karya Abdullah Hussain yang kemudiannya diangkat ke layar lebar oleh teraju utama Mior Hashim Manap.

Apabila Haji Syamsuri gagal menandingi pengaruh Haji Mihad, dia bersama juaknya mengatur sebuah komplot keji. Pada waktu malam mereka memasukkan emas di tanah sekitar kawasan masjid. Apabila kawasan tersebut heboh ada emas di bawah tanahnya, kawasan di situ ditutup menjadi kawasan larangan dan tidak dibenarkan sesiapa pun masuk. Namun begitu kegiatan melombong emas kecil-kecilan secara haram pun berlaku. Emas lambang kekayaan dan simbol kemewahan harta. Ini gambaran halus tentang sikap manusia berlumba-lumba mencari kekayaan dengan tidak menghiraukan agama lagi. Situasi melombong di luar masjid adalah simbolik kepada kenyataan ini.

Manusia tetap degil mencari emas (baca: harta dunia) meskipun secara haram dan curi-curi tanpa menghiraukan akibatnya nanti akan berlaku kemusnahan. Kematian Haji Mihad kerana dibunuh oleh orang Haji Syamsuri dan robohnya masjid akibat tanah runtuh dek kerja melombong kesan daripada kezaliman yang dilakukan oleh manusia-manusia tamak. Itulah gambarannya.

Filem Imam mula ditayangkan pada 2 Mac yang lalu. Ketepikan teknik CGI yang mungkin membuat anda berasa tidak sedap kerana sudah terbiasa dengan filem-filem luar yang jauh hebatnya tetapi lihatlah ceritanya. Jangan kerana anda sudah ada dulang di tangan untuk melombong emas, gayung kolah masjid yang berhampiran tidak digunakan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.