SEREMBAN: Saksi ke-20 prosiding inkues kes kematian “Baby Syifaa” memberitahu Mahkamah Koroner, pakaian mangsa hanya diserahkan kepada polis selepas dua bulan kematiannya.
Pegawai Turus Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak IPK Negeri Sembilan, Chong Meei Chyi berkata, pegawai penyiasat mengambil pakaian Nour Rania Asyifaa Yuseri di rumah ibu mangsa pada 8 April 2022.
“Rampasan dua bulan selepas dimaklumkan waris (pakaian mangsa dalam kawalan mereka),” katanya dalam prosiding hari kelima.
Ditanya Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Badius Zaman Ahmad, adakah ia prosedur biasa untuk barang kes diambil selepas dua bulan, Chong berkata, ia bukan prosedur biasa, tetapi sebagai pegawai pemantau atau penyelia kes itu, beliau hanya tahu selepas dimaklumkan waris.
“Waris ada beritahu pegawai penyiasat kes tidak buat rampasan dari mereka dan saya sebagai pegawai pemantau yang telah terima maklumat ini bertindak membuat rampasan untuk siasatan lanjut.
“Saya tidak terlibat dalam siasatan, tetapi memberi bantuan kepada pegawai penyiasat kes,” katanya di depan Koroner Surita Budin.
Peguam, Gaithri Thomas yang mewakili keluarga mangsa turut mempersoalkan perkara sama kerana pegawai penyiasat sepatutnya mengambil barang kes secepat mungkin, bukannya menunggu sehingga dua bulan.
Chong kemudian berkata, ketika menerima pakaian mangsa, ia dalam keadaan baik dan belum dibasuh.
Saksi ke-21 prosiding yang juga pemilik dan pengasuh kedua pusat jagaan, Nadzirah Ahmad Damanhuri berkata, dia terkejut dan panik apabila kakaknya, Khairulnisa, 38, mendukung mangsa sambil menjerit kanak-kanak itu tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, Khairulnisa meletakkan kanak-kanak itu di atas lantai dan cuba menekan-nekan dada mangsa, tetapi bayi itu tetap tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital.
Katanya, beliau menjaga 12 kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun, termasuk tiga kanak-kanak transit (bukan seharian), manakala Khairulnisa menguruskan tiga bayi, termasuk mangsa di bilik berasingan.
Menurutnya, selepas menguruskan anak asuhannya, dia menjalankan rutin harian dengan melakukan kerja pembersihan, termasuk mencuci kain buaian berwarna biru yang digunakan mangsa kira-kira 6 petang pada hari kejadian.
Jelasnya, rutin itu dilakukan kerana Covid-19 masih merebak dan peralatan sama akan digunakan keesokannya.
“Saya fikir Syifaa hanya pengsan dan pada awalnya tidak tahu kematian Syifaa ada kaitan dengan buaian.”
Prosiding kes bersambung esok, dengan Mahkamah Koroner akan memanggil Nadzirah sekali lagi serta dua ahli kimia.
Media sebelum ini melaporkan Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Feb 2022.
Pada 30 Mac 2022, bapa mangsa, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut, bukannya meninggal dunia akibat kepalanya terjerut pada kain buaian. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.