PETALING JAYA: PAS Selangor tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus mematuhi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang ahli politik menggunakan surau atau masjid sebagai pentas berceramah dan berkempen menjelang pilihan raya negeri.
Malah, Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata pemimpin PAS sudah sekian lama tidak memberi ceramah di masjid dan surau di negeri terbabit sambil menganggap titah Sultan Selangor itu sebagai peringatan yang pernah dibuat sebelum ini.
“Tidak ada pun penceramah PAS di masjid, surau di Selangor sejak sekian lama. PAS sudah lama patuh arahan tersebut, tidak menjadi isu.
“(Peringatan) tuanku cuma ingatkan kembali larangan ini yang sudah lama dan memang dipatuhi PAS Selangor sejak sekian lama,” katanya kepada FMT.
Sultan Selangor menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terus mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa melarang ahli politik menggunakan surau atau masjid sebagai pentas berceramah dan berkempen menjelang pilihan raya negeri.
Sultan Sharafuddin sebelum ini berulang kali memberi peringatan kepada ahli politik agar memastikan masjid dan surau bebas unsur politik yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.
Baginda menegaskan masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa, yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam yang tiada kesudahan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.