`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 13, 2023

Kita yang dimomok-momokkan

 

Sejak kecil kebanyakan kita diajar menjadi takut. Yang mengajar kita menjadi begitu tak lain tak bukan orang tua kita sendiri. Orang tua kita yang menakut-nakutkan kita dengan hantu. Momok ialah nama sejenis hantu yang selalu digunakan. “Haa jangan main di luar sana tu, ada momok!” Kita yang masih kecil pun berlari masuk ke dalam rumah dalam ketakutan disakat oleh ibu atau bapa kita. Kesan takut ini membawa sehingga kita dewasa. Kita takut kepada hantu. Orang kita kebanyakannya takut dengan hantu jembalang.

Banyak usaha terbantut akibat takutnya kita kepada hantu. Semasa saya menjadi guru dulu pernah sebuah aktiviti berkhemah solo untuk pelajar dibatalkan hanya kerana seorang guru menghalang rancangan tersebut. Dia khuatir ada pelajar yang akan disampuk penunggu hutan di kebun getah belakang sekolah tersebut. Habis, punah satu aktiviti untuk mengajar anak-anak berdikari hanya kerana seorang takut hantu. Kita faham dia seorang guru yang bertanggungjawab terhadap keselamatan anak muridnya tetapi kita tewas dengan ketakutan yang tidak berasas. Hantu terus menghantui kita.

Di sebuah stesen televisyen kita juga masih ada lagi rancangan mencari hantu dengan dilatari muzik dan kesan bunyi yang seram. Kita disuruh takut dan sungguh-sungguh mempercayainya. Saya masih kabur apakah tujuan program ini hanya untuk hiburan suka-suka atau untuk menyambung ketakutan yang dipupuk sejak kita kecil sehingga kita tua bangka.

Dulu pernah ketika saya menjaga anak di wad, seorang “kakak” bertanya kepada saya di mana letaknya surau wad tersebut. Saya pun menunjukkan kepadanya sebuah bilik yang agak tersorok di hujung bangunan. Dia menggelengkan kepala sambil berkata, “tak jadilah! Takut akak. Akak sembahyang dekat katil anak sajalah”. Saya tercengang sebab salah satu sebab bersembahyang ialah untuk menyembah tuhan tapi dia lebih takutkan hantu. Mengapa jadi begitu? Apa puncanya dia gagal menghayati amalan yang dia lakukan setiap hari pada bacaan ayat suci dia. Bukankah dalam sembahyang kita membaca ayat yang mengaku kita hanya taat, patuh, takut dan tunduk kepada Maha Pencipta? Pelik!

Sebenarnya kita tidak setakat dimomokkan dengan hantu syaitan sahaja sepanjang hidup. Ada macam-macam lagi “hantu” yang membuat kita takut dan ia ditakut-takutkan kepada kita oleh pihak yang tidak mahu kita menjadi berani.

“Kau ingat zaman dulu-dulu orang kita tak berani pergi ke tempat kerja pembinaan sedang dijalankan? Bina jambatan misalnya. Mereka kata jambatan dibina dengan menggunakan kepala manusia dan kalau kita ke tempat tersebut besar kemungkinan kita akan dipancung dan kepala kita akan dijadikan bahan membuat jambatan. Itu taktik ‘mereka’ tak mahu kita melihat teknologi ‘mereka’,” kata rakan sejawat saya seorang guru yang hampir bersara manakala ketika itu saya masih lagi membujang. “Mereka” yang dimaksudkan ialah penjajah. Menurutnya generasi kita dijajah mindanya oleh penjajah agar sentiasa menjadi penakut, rendah diri, kurang keyakinan. Segala kehebatan kita dipadamkan daripada sejarah dan kita diindoktrinkan yang kita ini kolot lagi mundur. Nak merdeka bagaimana kalau nak buat sebatang jarum pun tak reti? Momokan ini membunuh kekuatan kita zaman-berzaman.

Ketika kanak-kanak saya berasa pelik kenapa orang tua menakutkan kami dengan benda yang “bodoh”. Contohnya apabila kami terlalu lama menonton televisyen mereka menyuruh berhenti menonton dengan kata-kata “tutup tv tu nanti lama-lama meletup karang!”. Akibatnya ada kanak-kanak baya saya memasang kipas angin ke arah peti televisyen kerana percayakan momokan itu. Bukankah lebih baik meminta kami berhenti menonton dan pergi baca buku?

Apabila kita dewasa kita tak terlepas daripada terus dimomokkan. Di tempat kerja, di tempat ibadat, di mana-mana sehingga kita berasa takut tak tentu fasal. Menjadi rakyat juga kita berhadapan dengan momokan demi momokan sedangkan kita wajib tahu apa yang perlu dan apa yang tidak dalam menyatakan hak kita. Jika kita beramai-ramai di sebuah taman perumahan hendak menyuarakan bantahan terhadap bunyi bising dari kilang yang berdekatan misalnya, ada di antara kita hendak tandatangan bersama-sama dalam surat bantahan pun tidak berani. Takut yang bukan-bukan. Itu belum lagi hendak suarakan pandangan tentang harga barangan, tol, bil yang menaik. Takut kalau cakap nanti kena tangkap. Dari mana ketakutan ini datang? Siapa yang mula-mula memomok-momokkan semua ini sehingga kebanyakan kita menjadi pasif dan pesimis?

Momokan politik lebih dahsyat. Dahulu kita ditakut-takutkan oleh kerajaan yang lama memerintah. Kerana pengaruh mereka makin lemah mereka memomokkan kita dengan bahayanya menukar kerajaan. Negara boleh runtuh, rakyat akan jadi miskin dan kacau-bilau akan berlaku. Tetapi kita menjadi berani untuk membuang ketakutan itu. Akibatnya dongeng tersebut berjaya kita buktikan bohong apabila kerajaan tersebut jatuh. Momokan terus-terusan berlaku sampai hari ini dan kita hidup dengan dikelilingi olehnya.

Kesimpulannya, momokan dibuat oleh satu pihak yang sedikit tetapi sangat berpengaruh dan berkuasa terhadap kumpulan yang besar tetapi berpecah-pecah dan bergantung nasib dengan yang memegang kuasa. Momokan dibuat kerana pihak yang lebih berpengaruh ini melihat ada segelintir daripada ahli kumpulan di bawah yang mula berfikir melawan kebiasaan. Dikhuatiri kumpulan ini semakin menggugat maka momokan harus dibuat untuk mempengaruhi yang lainnya agar tidak mengikut sama.

Unsur yang menakutkan seperti hantu jembalang pun dimomokkan meskipun istilahnya lain. Istilah “derhaka”, “bughah”, “sesat” atau “mengancam keharmonian” boleh juga digantikan. Itulah tujuan momokan. Momokan yang diceritakan oleh saya inilah sebenarnya formula – yang kita kenali sebagai taktik “pecah dan perintah”! Parti pemerintah hari ini memomokkan kita dengan penyamun kerajaan yang lalu, pembangkang hari ini pun memomokkan pengikutnya tentang bahayanya kerajaan hari ini. Kemudian, apabila kita yang menyebelahi sesuatu pihak mula percaya dengan momokan ini, mereka bergabung pula dan bekerjasama. Begitulah nasib kita, entah kena sumpahan apa agaknya! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.