`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 21, 2023

KKM dalam proses mohon lanjut kontrak petugas kesihatan lantikan

 

Dr Zaliha Mustafa berkata, mereka yang ingin dilantik ke jawatan tetap, khususnya doktor dan paramedik perlu mengemukakan permohonan melalui sistem pendaftaran pekerjaan SPA.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses membuat permohonan melanjutkan kontrak kakitangan kesihatan yang dilantik ketika pandemik Covid-19.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, beberapa justifikasi baharu akan dibuat bagi tujuan itu.

“Bagi mereka, khususnya doktor dan paramedik, calon yang ingin dilantik tetap dalam perkhidmatan awam, mereka perlu mengemukakan permohonan melalui sistem pendaftaran pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Zaliha berkata, pengambilan kakitangan tetap bagi 4,914 jawatan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi bermula 1 Mac lalu, dengan 9,321 calon terdiri daripada 7,061 pegawai perubatan, 610 pegawai pergigian dan 1,461 pegawai farmasi memohon.

Katanya, seramai 2,971 jururawat Gred U29 akan dilantik ke jawatan tetap tahun ini, mereka terdiri daripada lantikan kontrak yang sedang berkhidmat dan pelatih Institut Latihan KKM (ILKKM).

Beliau berkata, 792 penolong pegawai perubatan Gred U29 lantikan kontrak juga akan diserap ke jawatan tetap tahun ini.

Menjawab soalan Wee Ka Siong ( BN-Ayer Hitam) berhubung penyerapan pegawai perubatan dan pelantikan pakar perubatan nefrologi di Hospital Selayang yang bersara wajib, katanya, KKM mahu menyerap seramai mungkin kakitangan ke jawatan tetap, namun ia memakan masa dan memerlukan perbincangan.

“Tentang hal seperti itu, memang saya sentiasa berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan SPA.

“Apabila kita lantik (ke jawatan) tetap, ini ada satu lagi yang kerajaan perlu lihat ialah tentang beban kemudian apabila mereka pencen nanti. Bagaimanapun, untuk perkhidmatan kesihatan, ia adalah keperluan. Beri saya masa untuk lakukan perbincangan dengan pihak terlibat.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.