`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 17, 2023

Politik dalam masjid

 

Kata Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir, partinya tidak punya apa-apa masalah untuk terus mematuhi titah Sultan Selangor agar tidak memberi ceramah di masjid dan surau di negeri berkenaan.

Malah katanya pemimpin PAS sudah sekian lama tidak berceramah di masjid dan surau di Selangor sambil menganggap titah Sultan Selangor tempoh hari sebagai peringatan yang pernah dibuat sebelum ini.

Benar Sultan Selangor berulang kali sebelum ini memberi peringatan kepada ahli politik agar memastikan masjid dan surau bebas unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Oleh kerana PRN Selangor akan diadakan tidak lama lagi, baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor terus mengeluarkan arahan semasa ke semasa melarang ahli politik menggunakan masjid dan surau sebagai pentas ceramah dan kempen.

“Tidak ada pun penceramah PAS di masjid dan surau di Selangor sejak sekian lama. PAS sudah lama patuh arahan tersebut. Tidak menjadi isu,” kata Roslan seperti dipetik FMT pada 14 Mac lalu.

Alhamdulillah, tetapi beliau tidak pula beritahu mengapa PAS akur dengan arahan sultan Selangor. Adakah kerana PAS bersetuju dengan pendapat sultan bahawa berceramah dan berkempen dalam masjid serta surau boleh memecah-belah perpaduan dan keharmonian umat Islam? Atau PAS mematuhi arahan kerana hanya menghormati sultan?

Ini saya tanya kerana bos Roslan, yakni Presiden Hadi Awang mempunyai pandangan tersendiri tentang ceramah politik dalam masjid dan surau.

Sultan Terengganu (negeri kelahiran Hadi) juga menzahirkan dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa. Lantas Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Melayu Terengganu Shaikh Harun Shaikh Ismail mengeluarkan arahan bertarikh 2 Mac 2023 bahawa semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, serta Ahli Dewan Negara dilarang memberi kuliah atau ceramah agama termasuk khutbah Jumaat di semua masjid dan surau di seluruh Terengganu.

“Itu mengulangi arahan yang lama, sejak 1960-an lagi.” Begitu reaksi Hadi. Senada dengan setiausaha PAS Selangor. Bagaimanapun tidak seperti orang kuatnya di Selangor, Hadi memilih untuk memberi pandangan terhadap soal ceramah politik di rumah ibadat umat Islam.

Menurut Hadi, bukan menjadi satu kesalahan ahli politik memberi kuliah atau ceramah agama di semua masjid dan surau. Katanya lagi, adalah menjadi kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

“Kita kena sedar dalam Islam, politik dan agama tak boleh dipisahkan. Nabi pun cakap politik dalam khutbah. Kita bercakap tentang Islam dan dalam politik ada Islam maka politik Islam lah. Tak jadi salah dan wajib untuk kita bercakap,” katanya.

Oleh itu, kata Hadi, beliau bertekad akan terus berceramah dan menyampaikan khutbah seperti biasa di masjid dan surau. Hadi kita tahu sudah bertahun-tahun menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid beliau iaitu Masjid Rusila, berdekatan kediamannya di Marang. Beliau juga berceramah, berkuliah, dan bersyarah di merata masjid seluruh negara atas jemputan.

Pendirian beliau disifat sesetengah pihak sebagai melanggar atau mengingkari arahan sultan Terengganu selaku ketua agama Islam. Saya tidak mahu bercakap mengenai itu. Yang ingin saya sentuh ialah pandangan Hadi mengenai wajib pemimpin (baca ahli politik) bercakap politik dalam masjid. Ertinya bukan sembang-sembang di sudut sambil sandar di tiang atau dinding masjid dalam keadaan selesa berhawa dingin. Yang dimaksudkan berceramah dengan menggunakan alat pembesar suara, secara lantang dan terbuka menggunakan masjid sebagai pentas politik.

Saya akui apa yang Hadi kata ada benarnya. Saya yang kerdil dalam soal agama sering diingatkan sejak kecil bahawa Islam itu ad-Din. Maka, bak kata Hadi, politik dan Islam tidak boleh dipisahkan. Seperti dikata beliau, Nabi Muhammad juga bercakap mengenai politik menerusi khutbah.

Ramai ustaz menerangkan keutamaan Rasulullah apabila berhijrah ialah mendirikan masjid, dan masjid menjadi pusat segala aktiviti – sama ada mengenai agama, politik, ekonomi, kebajikan ummah, merangka pelbagai strategi dan sebagainya. Bukan sahaja untuk tempat mendirikan solat.

Akan tetapi perlu ditanya adakah cakap politik Nabi Muhammad sama dengan cakap politik ahli poltik kita zaman ini? Adakah cakap politik Nabi Muhammad membawa kepada perpecahan ummah?

Menurut sultan Selangor, ada penceramah tertentu yang mengambil kesempatan ruang yang disediakan oleh masjid dan surau untuk menyindir, menghina, mencaci, malah memfitnah pihak yang tidak sefahaman dengan mereka.

Adakah buruk laku yang didedahkan sultan Selangor tadi berlaku pada zaman Rasulullah?

Adakah masjid masa kini digunakan seperti yang digunakan oleh Rasulullah dan para sahabat?

“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya,” titah Sultan Selangor.

Semasa artikel ini ditulis seorang kawan lama menghantar menerusi WhatsApp ceramah seorang yang berserban, memberitahu ulama ‘waris nabi’ dan oleh itu semua mesti duduk bawah ulama. Disebutnya jawatan yang mesti duduk bawah ulama. Maksud beliau ulama mesti diletakkan pada tahap tertinggi.

Namun adakah ulama yang kita ada sekarang seperti ulama zaman Nabi Muhammad? Ulama waris nabi? Siapa yang benar-benar ulama atau hanya memakai gelaran itu?

Pasti kita ada jawapan masing-masing.

Kesimpulannya ialah arahan raja-raja berhubung masalah main politik dalam masjid sememangnya tepat. Waullahualam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.