`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, June 10, 2023

Kerajaan akan teliti laporan sulit berkait kes Amri, kata Saifuddin

 

Pada 7 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan menggantung perintah mahkamah supaya mengeluarkan laporan sulit pasukan petugas khas mengenai kehilangan Amri Che Mat kepada isterinya, Norhayati Mohd Ariffin. (Gambar Fail)

POKOK SENA: Kerajaan akan meneliti laporan sulit pasukan petugas khas mengenai kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat, supaya langkah bersesuaian dapat dilakukan berhubung pendedahan laporan itu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau akan membawa perkara itu ke peringkat ‘lebih atas’ lagi dengan melihat kembali langkah yang boleh kerajaan laksanakan dalam proses mendedahkan laporan itu.

“Amri hilang lama dah (dilaporkan pada 2016) bukan semasa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (jadi Perdana Menteri), tetapi keputusan mahkamah supaya laporan siasatan itu didedah berlaku semasa Anwar Ibrahim jadi perdana menteri, masa kerajaan perpaduan.

Ads by Kiosked

“Jadi apabila (pihak) peguam negara mengemukakan rayuan, mahkamah kemudian memutuskan penangguhan, saya sudah tentu akan meneliti perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi penerangan projek bina baharu bengkel mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Sekolah Kebangsaan Jabi hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga pengerusi jawatankuasa pembangunan negeri Kedah mengulas laporan sebuah portal berita hari ini mengenai kenyataan aktivis yang mempersoalkan mengenai kehilangan Amri.

Pada 9 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan isteri Amri iaitu Norhayati Mohd Ariffin secara terhad dalam tempoh 30 hari.

Dalam permohonan itu, Norhayati menuntut antaranya satu pengisytiharan bahawa laporan yang disediakan pasukan petugas khas tidak termasuk dalam takrifan “rahsia rasmi” di bawah Seksyen 2 Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bagaimanapun, pada 7 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung perintah mahkamah supaya mengeluarkan laporan sulit pasukan petugas khas mengenai kehilangan Amri kepada Norhayati.

Menjelas lanjut, Saifuddin berkata jawatankuasa siasatan itu ditubuhkan semasa pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Ads by Kiosked

Sehubungan itu, beliau menolak sebarang dakwaan mengaitkan kerajaan pada masa ini ‘sensitif’ ataupun ‘degil’ untuk tidak mendedahkan laporan sulit berhubung kehilangan Amri itu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin menafikan siasatan polis ke atas Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berhubungan kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang ialah milik Kedah kerana dendam politik.

Sebaliknya beliau berkata, siasatan ke atas Sanusi dibuat berikutan kenyataannya yang dianggap menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan menegaskan bahawa polis bertindak secara profesional dalam perkara itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.