`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 15, 2023

Oh peliknya Umno

 

Seorang bekas pegawai yang pernah berkhidmat untuk pemimpin tertinggi Umno suatu ketika dahulu menghantar mesej kepada saya melalui aplikasi WhatsApp semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno tempoh hari.

Mesejnya berbunyi: “Pemuda Umno ni belajar tinggi-tinggi tapi taraf bawah meja. Mereka kena lihat dan baca yang tersirat apabila Agong anugerah darjah Tan Sri kepada LKS (Lim Kit Siang). Bermakna orang Melayu sudah boleh terima DAP.”

Ada lagi kata beliau: “PAS, Mahathir, Bersatu dah lama terima DAP. Cuma ego Pemuda Umno saja. Berubahlah sebelum dibawa arus dan lemas, mayat terdampar di tepi pantai. Tu pun jika ada yang nak kutip.”

Keras kata-katanya tetapi saya tidak dapat elak daripada bersetuju secara peribadi. Kata-kata itu merujuk tuntutan Pemuda Umno kepada DAP agar memohon maaf kepada Umno kerana tuduhan yang dilempar pada masa lalu. Tuntutan dibuat meskipun Presiden Zahid Hamidi menegaskan tidak perlu lagi timbul isu DAP mohon maaf kepada Umno.

Adakah Pemuda mengingkari arahan Presiden? Jika iya, itu bukan sesuatu ynag luar biasa. Sayap Pemuda dalam mana-mana parti politik terutama Umno zaman lampau dianggap kumpulan pendesak, sesuai dengan darah muda yang panas.

Namun mungkinkah apa yang Pemuda Umno lakukan kali ini demi menjaga air muka parti secara keseluruhan dan khususnya pemimpin setelah mereka dengan lantang berteriak “No Anwar, No DAP” pada PAU 2021. Adakah sang Pemuda mahu cover pendirian itu bagi pihak parti atau pemimpin, agar kurang sikit malunya akibat terlajak?

Namun semua itu cerita lama kerana keadaan sudah berubah yang menyaksikan Umno akur Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan DAP rakan dalam kerajaan perpaduan, malah bangga akan peranan mereka yang membolehkan kerajaan perpaduan tertubuh walaupun Umno hanya menang 26 kerusi Parlimen pada PRU15 berbanding PKR dan DAP yang masing-masing merangkul 31 dan 40 kerusi.

Bagi saya itu semua bukan isunya. Yang jelas PAU baru-baru ini pentas Umno menyuntik semangat baharu dan cuba meraih semula sokongan rakyat terutama orang Melayu bermula pilihan raya di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mendapat semula sokongan yang hilang teramat penting bagi Umno. Keutamaan nombor satu. Ini kita semua tahu. Oleh itu bagi saya sememangnya pelik apabila pada PAU baru-baru ini Umno menonjolkan ketetapan untuk pembebasan Najib Razak, si bekas perdana menteri dan presiden mereka yang kini menjalani hukuman penjara setelah didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

Saya akui Umno mahu menunjukkan ia prihatin, setia terhadap pemimpin, menghargai sumbangan pemimpin, dan tidak akan biar pemimpin dalam kesusahan berseorangan. Ada juga orang Umno pernah memberitahu saya, “Najib is the best PM from Umno.”

Laungan bebaskan Bosku kedengaran di akhir PAU 2023. Bukan sahaja dilaung perwakilan tetapi juga barisan pimpinan, demikian saya dimaklumkan.

Semasa artikel ini ditulis, berkicau di Twitter Zaid Ibrahim yang sekarang sudah kembali ke pangkuan Umno setelah meninggalkan PKR dan DAP. Beliau menggesa Anwar bebaskan Najib “demi rakyat”. Adakah maksudnya perdana menteri berkuasa membebaskan pesalah dari penjara? Pelik gesaan dibuat seorang peguam terkenal yang tentunya pandai undang-undang.

Katanya, Umno kini dalam keadaan lemah dan hanya Najib yang mampu bantu parti itu menang pada PRN mendatang. Pelik. Lebih pelik apabila Zaid berkata, “Sudah tentu dia (Najib) sudah didapati bersalah tetapi dalam scheme of things RM42 juta ialah small change.”

RM42 juta yang diambil secara salah adalah small change? Cukup pelik.

Tidakkah Zaid serta Umno sama ada pemimpin mahupun ahli biasa sedar majoriti rakyat termasuk ramai orang Melayu yang yakin Najib sudah diberi pengadilan sewajarnya dan mencukupi. Mereka juga yakin dan bersetuju dengan keputusan mahkamah menjatuhi hukuman penjara ke atas bekas presiden Umno itu.

Malah tentu Umno masih ingat betapa bisingnya majoriti orang biasa apabila ada desas-desus beberapa bulan lalu kononnya Najib akan mendapat pengampunan. Itu baharu desas-desus. Bayangkan jika betul-betul beliau dibebaskan ketika itu.

Tidak mungkin Umno tidak tahu itu semua. Sentimen rakyat. Tetapi mereka terus mendesak Najib dibebaskan segera. Memang beliau berhak dipertimbangkan untuk pengampunan tetapi tentulah sekarang bukan waktunya.

Ada lagi yang pelik. Pada PAU lalu Zahid Hamidi berkata “seorang Najib masuk penjara tiga Najib baharu muncul di Dewan Merdeka.” Saya tahu maksud beliau ialah ketika Najib di penjara ramai lagi ahli parti yang akan meneruskan perjuangannya. Bagaimana pun mungkin rakyat biasa akan membaca seolah Umno akan melahirkan banyak lagi pemimpin yang akan melakukan kesalahan sama seperti Najib.

Adakah Umno sependapat dengan Zaid bahawa hanya Najib boleh membawa kemenangan untuk Umno apabila pilihan raya enam negeri diadakan kelak?

Adakah semua langkah Umno berhubung pembelaan dan pembebasan Najib akan merapatkan rakyat kepada parti itu lantas menyokong parti itu semula seperti yang diidamkan? Adakah akibat tindakan mereka lebih ramai rakyat akan terus menjauhkan diri?

Seperkara lagi, Umno mesti jujur menjawab: Adalah langkah Umno ini semua menyenangkan atau menyukarkan rakan-rakan mereka dalam kerajaan, terutama Anwar sendiri? Bukankah antara sebab Pakatan Harapan diterima ramai ialah kerana penentangan mereka terhadap rasuah termasuk skandal 1MDB dulu?

Teringat kata-kata Inggeris, “With friends like these…” Saya pasti anda boleh sambung ayat seterusnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.