Mungkin ini agak dated kerana ia tercetus 6 Jun lalu tapi saya rasa ia tidak basi. Masih relevan apatah lagi mengambil kira enam PRN yang akan menjelma. Ringkasnya ini untuk menunjukkan betapa senangnya sesuatu perkara dijadikan isu dan dikaitkan dengan ‘penjagaan’ agama dan bangsa, demi keuntungan politik.
Ceritanya mengenai bak kut teh. Umum tahu apa bak kut teh. Pun begitu saya catatkan juga “penjelasan” rasmi. Menurut kawan lama saya Douglas Tay, “bak”merujuk daging babi manakala “bak kut” bermaksud spare ribs. Ertinya rusuk babi. Ia hidangan yang digemari masyarakat Cina.
Baru-baru ini pertanyaan mengenai bak kut teh muncul di Parlimen. Yang tanya Jimmy Puah, Ahli Parlimen Pakatan Harapan. Beliau mahu tahu sama ada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ada mengambil langkah untuk memastikan makanan tradisional Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh, dan laksa diiktiraf sebagai makanan kebangsaan untuk menghalang negara lain mengakui atau mendakwa makanan itu milik mereka.
Beliau kecewa menonton dokumentari terbitan rangkaian televisyen Singapura, Channel News Asia tempoh hari yang mendakwa asal bak kut teh ialah Singapura, pada hal menurut Puah “seperti kita tahu bak kut teh berasal dari Klang Selangor.”
Bagi saya apa yang ditanya Pua is a simple and honest question. Mungkin beliau tidak sedar apa yang beliau cakap boleh dijadikan isu. Tetapi sebagai seorang politikus beliau patut tahu apa-apa yang ada kena mengena dengan babi can turn into something else dengan mudah.
Annuar Musa, bekas pemimpin Umno yang baru-baru ini menyertai PAS, secepat kilat menyambar menerusi Facebook dan menuduh ini cubaan memperkenalkan dasar Malaysian Malaysia secara berperingkat.
Rais Yatim juga terkam. Menerusi catatan di Facebook Rais berkata “Jabatan Warisan yang saya bantu wujudkan 2005 dulu buat apa ye? Diam saja atau berani nasihatkan menteri budaya supaya jangan terburu buru-buat hal. Kaji dulu sensitiviti masyarakat Malaysia.”
Ada lagi kata Rais yang saya tidak cadang ulangi. Cuma ingin menegaskan catatan beliau di Facebook tidak mengambil kira apa yang berlaku di Parlimen berikutan pertanyaan Puah. Mungkin Rais terlepas pandang?
Mungkinkah beliau tidak baca atau tidak perasan jawapan pihak kementerian? Pelik kerana sesiapa yang baca laporan mengenai pertanyaan Puah akan mengikuti juga respon Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Khan.
Khairul beritahu Parlimen untuk sesuatu makanan diiktiraf (makanan tradisional atau warisan) ia haruslah boleh dimakan oleh semua rakyat.
Berkata lagi beliau: “kalau bak kut teh tu sediakan bak kut teh ayam boleh lah. Tapi kalau bak kut teh yang dibangkit (Ahli Parlimen) Tebrau dia tak bagi spesifik bak kut teh jenis apa. Makanan warisan harus boleh dirasai semua kaum di negara kita ini.”
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Suhaimi Abdullah terdahulu mempersoalkan adakah bak kut teh perlu dianggap makanan tradisi rakyat.
Lantas Malaysiakini melaporkan Khairul dari pihak kerajaan senada dengan Suhaimi untuk menolak cadangan agar hidangan bak kut teh diiktiraf sebagai salah satu masakan tradisi Malaysia.
Untuk berlaku adil perlu dinyatakan berdasar apa yang dikatakan dalam Parlimen, Puah yang menimbulkan perkara ini tidak mencadangkan secara khusus bak kut teh diberi status warisan atau masakan tradisi Malaysia. Seperti dikatakan tadi beliau bertanya sama ada langkah diambil untuk menyenaraikan sajian itu bersama nasi lemak dan laksa sebagai makanan warisan Malaysia.
Sepatutnya dinoktahkan disitu. Bagaimanapun Tiong King Sing, menteri pelancongan, seni dan budaya terus menghidupkan isu. Kata Tiong, timbalannya “kurang memahami asal usul bak kut teh” ketika menjawab soalah yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi tempoh hari.
“Khairul Firdaus tidak berniat untuk memburukkan imej syarikat dan pencinta Bak Kut Teh tetapi dia hanya memberi pendapat supaya makanan itu dapat dipelbagaikan selain dapat meluaskan pasaran jualananya,” kata Tiong. Ini rasa saya mesti rujuk hansard untuk tahu apa yang diucapkan Khairul keseluruhannya.
Menurut Tiong bak kut teh “merupakan hidangan istmewa” dan “kita perlu melihat dari sudut kandungan dan cara penyediaannya bukan hanya dari sudut perkauman dan agama”.
Dipetik Malaysiakini beliau berkata “di kementerian ini kita memandang serius isu ini dan akan terus berusaha memasukkan bak kut teh sebagai makanan warisan negara.” Tiong berharap isu ini tidak dipolitikkan. Bagi saya itu wishful thinking. Malah apa yang dikata Tiong sendiri memberi peluru kepada musuh khususnya Perikatan Nasional menembak kerajaan.
Gelanggang terdekat apabila berkempen pilihan raya di enam negeri diadakan kelak. Selain itu catatan Facebook Rais 16 Jun lalu masih “hidup” untuk “dinikmati” orang Melayu. Tidak perlu dinyatakan betapa benci dan jijiknya orang Melayu terhadap babi.
Pun begitu kata Tiong, walaupun daging babi bahan utama dalam pembuatan bak kut teh, dengan kemajuan teknologi dan pembangunan penduduk, bak kut teh versi halal beraaskan ayam dan makanan laut telah diperkenalkan.
Berlandaskan apa yang beliau katakan itu maka bak kut teh bukan lah bak kut teh. Kata Douglas kawan lama saya yang disebut awal tadi kalau mahu ditukar daging, nama bak kut teh perlu ditukar jadi gu bak kut teh yang ada daging lembu, kay bak kut teh daging ayam, dan ap bak kut teh daging itik. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.