`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, January 1, 2026

Kelemahan urus krisis boleh pecah belah sokongan pengundi PAS, kata penganalisis

Ia susulan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Perlis Ahmad Adnan Fadzil yang berkata kegagalan laksana tanggungjawab dengan baik punca kemelut politik di negeri itu.

penyokong pas
Syaza Shukri berkata perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin PAS boleh melemahkan kedudukan parti itu, manakala Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berpandangan pemimpin PAS perlu dilatih cara menguruskan krisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Penganalisis berpendapat percanggahan kenyataan antara pimpinan ulama PAS Perlis berhubung isu pertukaran menteri besar baru-baru ini mencetuskan persoalan berhubung pendirian dan tahap koordinasi dalaman parti itu menguruskan krisis politik.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, PAS secara tradisinya dikenali parti mempunyai disiplin dalaman ketat dan aspek itu sering menjadi faktor perbezaan parti Islam itu dengan Bersatu.

“Jadi, bila ada percanggahan macam ini, ia akan memecahbelahkan sokongan pengundi PAS.

“Maksud saya, penyokong PAS akan mula ikut personaliti yang mereka mahu, bukan semestinya yang parti mahu sebab tak jelas apa pendirian parti dalam hal ini,” katanya kepada FMT.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil, semalam yang berkata kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan baik dikatakan punca utama kemelut politik di negeri itu.

Menurutnya, “pihak yang sepatutnya berperanan melaksanakan tanggungjawab dengan baik” dilihat gagal berunding secara berkesan dengan Istana Perlis bagi pihak PAS.

Katanya, beliau dimaklumkan “pada saat-saat terakhir sebelum pengisytiharan menteri besar baharu daripada Bersatu, Tuanku Raja masih membuka peluang untuk menteri besar tersebut datang daripada PAS”.

Ahmad berkata, beliau berpendirian tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa membabitkan kepimpinan PAS Perlis, termasuk tiga Adun yang dihentikan keahlian.

Kenyataan Ahmad itu bercanggah dengan pimpinan PAS lain berhubung kemelut politik Perlis.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengumumkan semua exco PAS Perlis akan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti dan parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Syaza berkata, perbezaan pendapat itu melemahkan kedudukan PAS berbanding Bersatu yang sebelum ini dilihat agak kucar-kacir.

“Maksud saya, sebelum ini, Bersatu yang dilihat kucar-kacir dan PAS yang bersatu, sekarang PAS pun nampak sama, ada masalah dalaman.”

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Penganalisis politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berpandangan kemelut politik Perlis menonjolkan kelemahan asas dari segi kepimpinan dan tiada latihan serta induksi mencukupi dalam kalangan pemimpin parti untuk menguruskan krisis.

Untuk menjadi pemimpin, sama ada berlatarbelakangkan ulama atau profesional, katanya, seseorang itu perlu memiliki set kemahiran khusus yang tidak datang secara automatik.

“Jadi, lebih baik untuk parti tidak pernah menerajui kerajaan memikirkan apakah kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan supaya mereka tidak terlibat dengan kemelut begini.

“Bagaimana menangani setiap masalah dalaman dan pimpinan harus diajar supaya konflik sebegini boleh terhindar begitu saja,” kata perunding kanan Global Asia Consulting itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.