Peguam wakili Shah Hizam sahkan mereka akan hadir di mahkamah pada 9 pagi, 20 Ogos ini.

Perkara ini disahkan oleh peguam Rafique Rashid Ali dan Mahmud Abdul Jumaat, yang mewakili Shah Hizam, 24, lapor Sinar Harian.
“Ya, saya sahkan Shah telah diserahkan saman oleh pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Kami akan hadir pada 9 pagi pada 20 Ogos ini,” kata Rafique.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan seksyen dan akta yang akan digunakan bagi mendakwa Shah kerana tuduhan hanya akan ditentukan dan dibacakan di mahkamah kelak.
Rocky mati ketika operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Klang pada 29 Julai lepas, dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dilaporkan mempertahankan pegawai-pegawainya dan menyatakan bahawa pemilik anjing itu bertindak agresif semasa operasi.
Video kejadian yang membawa kepada kematian Rocky tular di media sosial, menyebabkan Shah dan keluarganya menjadi sasaran gangguan siber, malah ugutan bunuh. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.