`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

31 AUGUST 2026

Thursday, September 3, 2026

2 ancaman kemerdekaan Malaysia

 Bahaya yang saya sebutkan ini boleh menjadi bah besar yang mengorbankan kemerdekaan negara kita sekiranya ia bergabung.

faisal tehrani

Kemerdekaan Malaysia kini masuk ke gerbang angka 69 tahun. Tahun hadapan ia akan menjadi yang ke-70. Sebahagian dari tempoh itu, kita menikmatinya bersama-sama Sabah dan Sarawak.

Dalam tempoh mendewasa ini, jenama ‘Malaysia’ pernah berdepan ancaman komunisme, perkauman yang menumpahkan darah, tidak kurang juga ancaman dari negara jiran yang menanggapi kita dengan cara yang salah; ataupun menginginkan bahagian dari negara ini. Semua getir manis bersama-sama tersebut telah menjadikan kita matang.

Namun demikian, kematangan itu harus sentiasa dipupuk dan tidak boleh diabaikan. Silibus pendidikan misalnya mestilah seiring bergerak untuk mengasuh rakyat agar terus dapat maju ke hadapan, dan bukan berpatah balik membelakang. Hari ini ada suara-suara mahu mengkhianati jenama ‘Malaysia’ ini. Suara dan teriak yang makin keras itu mahu kembali ke era romantis iaitu jenama ‘Tanah Melayu’ yang dengan sendirinya mengikis hak-hak sedia ada kaum lain dan Sabah Sarawak yang telah ikut membina jenama ‘Malaysia’ di mata dunia.

Akan tetapi ancaman kemerdekaan negara kita — meski masih sedikit sebanyak serupa isunya — sedang berdepan dua gugatan yang ketara nyata. Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat risiko kecelakaan ini. Ia terbentang di hadapan mata. Bahkan sebetulnya, ia ada di tangan kita dan kadang-kala digerakkan oleh kita sendiri.

Ancaman kemerdekaan ini mestilah ditangani segera. Saya belum melihat kerja-kerja matang, dewasa dan bersungguh-sungguh dari mana pihak pun untuk memadamkan api kecelakaan yang perlahan-lahan merumba dan memarak. Ia boleh membakar hangus kita jika kita tidak berhati-hati.

Ancaman pertama adalah normalisasi rasuah. Ancaman rasuah ini semakin hari semakin kelihatan dan sudah mengental menjadi satu ideologi. Saya pernah menyatakan di kolum ini yang rasuahisme boleh menyaingi faham seperti nasionalisme, komunisme, feminisme, dan macam-macam lagi. Oleh sebab ia satu ideologi, ia kini mampu bersaing; ia boleh melekat, melekap, bersenyawa, beranak-pinak dan kemudian bermutasi, bergabung lantas mensebati dengan faham-faham sedia ada untuk membentuk satu ciri atau kriteria baru yang menakutkan.

Seperti alien yang tahan, rasuahisme ini boleh menyedut masuk nasionalisme, Islamisme, dan sekian isme lain lantas memberikan ia bentuk baharu yang lebih berbahaya, menakutkan, dan jauh lebih merosakkan.

Dalam keadaan itu rasuahisme dianggap normal. Ia dianggap sebahagian dari kehidupan dan hayat insan atau rakyat kita. Rasuahisme yang patut dibenci kini didambai. Berapa banyak ungkapan yang kita temukan, ‘ingin kembali ke era sakau’, ‘sanggup hidup semula di zaman 1MDB’, ‘merindui Bapak Rasuah Dunia’, dan rasuah disanjung sebagai majikan, sebagai bos, sebagai tok nenek, sebagai raja.

Dalam keadaan gejala inilah rasuahisme itu dipandang damai, didambai sebagai keindahan, dan dicipta-ciptakan oleh Kak Long betapa segala naratif palsu bagi membolehkan ia menjadi sesuatu yang normal. Apabila ia terpandang normal, ia akan menjadi sesuatu yang mudah meresap dalam segenap pembuluh darah harian kita.

Dalam kancah gejala inilah, perompakan secara kreatif Tabung Haji dipandang sebagai sesuatu yang tidak apa-apa. Hatta menyebutnya dalam grup WhatsApp keluarga, surau atau kejiranan akan dianggap sensitif atau taboo. Padahal ia adalah satu kuman jijik yang mesti dibincangkan. Mereka yang ingin menyuarai kebimbangan ini akan dimusuhi, dipertangkari dan dianggap elemen selingkuh. Padahal ia suara waras.

Dalam gejala normalisasi rasuahisme inilah perompakan Tabung Haji cuba disahkan dengan cara bertanya kembali, ‘bukankah tiada kata sakau’, atau dibikin forum konon ilmiah untuk mewajarkan perompakan, dan lebih dahsyat naratif penipuan diketengahkan dengan cara menyatakan ketika perompakan itu terjadi, ‘tiada duit yang hilang kerana anda masih boleh mengeluarkan wang’.

Negara ini terancam bertukar kerajaan lagi menjelang pilihan raya umum. Penangguhan demi penangguhan akan pendakwaan dan perjalanan kes mahkamah untuk sang sakau terancam berisiko untuk dibubarkan kelak. Perhatikan sahaja dalam keadaan ini hanya agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang berdepan dengan segala kudrat tenaga ada untuk melawan dan menjadi benteng negara. Agensi penguatkuasa yang lain terus longlai lemau.

Rasuahisme dibaja dipugar kadang-kala oleh mereka yang sepatutnya matang. Pengkaji rasuahisme di negara kita, Syed Hussein Alatas mengatakan, “Dalam hal rasuah, penyumbang utama dalam penciptaan ideologi rasuah yang terselubung itu adalah sejumlah kecil wartawan dan beberapa orang profesor di perguruan tinggi. Mereka mungkin tidak sedar terhadap apa yang mereka lakukan, iaitu membantu dan mendorong amalan rasuah dengan menawarkan bahan-bahan untuk ideologi rasuah yang diperlukan oleh orang yang rasuah. Tulisan mereka mempunyai pengaruh yang mengecilkan erti pemerasan, ketidakadilan, dan kekejaman yang dilakukan terhadap bahagian terbesar umat manusia.”

Tidaklah menghairankan kita melihat ada wartawan di wadah tertentu, khusus yang berkait parti, akan beria-ia mempertahankan rasuahisme. Profesor di universiti yang menanti dengan lahap gred lebih tinggi akan bersikeras membuktikan rasuahisme ini normal.

Maka dengan demikianlah ideologi celaka ini diturunkan kepada generasi baharu. Lihat sahaja bagaimana normalnya sesetengah Gen Z di media sosial memuji dan memuja gejala rasuahisme.

Ancaman kedua adalah ekstremisme agama. Sebagai visiting senior fellow di ISEAS-Yusof Ishak sejak tahun 2020, antara peranan saya adalah mengkaji gejala ekstremisme tanpa kekerasan (NVE) di mana ia adalah secara mudahnya pengungkapan fahaman politik, agama atau ideologi yang ekstrem tanpa menggunakan kekerasan fizikal, melakukan kerosakan harta benda atau melibatkan diri dalam keganasan.

Penyokong, pemuja dan penggerak NVE biasanya tidak menyedari mereka di dalam kancah kemelut kultus atau ajaran NVE. Acap kali mereka adalah kelompok profesional. Hanya apabila mereka terpancut keluar dari organisasi ekstrem ini barulah mereka melihat apa yang mereka gelumangi selama ini. Perspektif dari luar ini penting tetapi selalu dinafikan oleh mereka.

Kelompok ini akan berpegang dan mendakwahkan idea-idea radikal yang menolak nilai-nilai demokrasi arus perdana secara terang atau secara sembunyi; menolak keterangkuman sosial dengan memomokkan kaum tertentu atau kepercayaan tertentu, dan biasanya akan dianggap normal kerana tidak (atau belum) melibatkan penggunaan kekerasan fizikal secara langsung.

Meskipun ia dinamai ekstremisme tanpa kekerasan, ia masih bersumberkan ideologi asas yang sama dengan ekstremisme ganas, dan ia berjenama gerakan berhaluan kanan ekstrem, kiri ekstrem dan gerakan berasaskan agama. Siapa sahaja akan terjangkit dengan mudah penyakit ini. Mana-mana Raju, mana-mana Akmal, mana-mana Tiong, mana-mana Fadhli boleh terperosok.

Dalam kajian kami, tingkah laku lazim penyokong NVE termasuklah menyebarkan propaganda dalam talian, terlibat langsung dalam konten, komen atau ucapan kebencian, sebahagian dari penganjuran protes secara aman atau mengumpulkan dana untuk kumpulan radikal, tanpa terlibat dalam serangan fizikal secara langsung. Ada dalam kalangan mereka menjadi anggota atau pemimpin (misalnya ketua pemuda) organisasi tertentu yang berpegang atau berubah kepada NVE tanpa sedar ini.

Seperti rasuahisme, NVE sukar untuk dikekang kerana terdapat dilema kebebasan bersuara. Kita bergelut dengan dengan cabaran untuk mengimbangi antara keperluan keselamatan negara dengan hak terhadap kebebasan bersuara. Oleh sebab itu, keadaan ini menyulitkan tindakan terhadap individu yang memegang pandangan ekstrem ini, yang kadang-kala adalah sebahagian dari penggubal undang-undang atau agamawan, dan kelihatan seolah-olah tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang.

Pengkaji NVE seperti kami sentiasa bimbang dengan gejala NVE takut-takut ia menular. Kami malah diburuk-burukkan dengan istilah baru, istilah ceplos dan diugut. Kerja kami adalah memantau ekstremisme tanpa kekerasan kerana retorik ekstrem sentiasa boleh menjadi titik permulaan kepada proses radikalisasi atau berfungsi sebagai persekitaran ideologi yang menyuburkan kemungkinan berlakunya tindakan ganas pada masa mendatang.

Oleh sebab itu kami akan sering diserang dan dianggap penentu atau ‘kelompok terpaling’ dalam menentukan apakah atau dimanakah batas antara perbezaan pendapat politik yang sah dengan proses radikalisasi yang berbahaya. Bahkan sebagai ahli sosiologi, kami menemukan kesukaran untuk menggerakkan perdebatan sihat yang penting dalam sistem perundangan dan dalam kalangan aktivis komuniti.

Bahaya yang saya sebutkan di atas boleh menjadi bah besar yang mengorbankan kemerdekaan negara kita sekiranya ia bergabung. Rasuahisme yang licik dan boleh bermutasi mampu bergabung dan bertindak sebagai ejen pemangkin kepada ekstremisme tanpa kekerasan. Ia boleh diwakili dalam format dua organisasi yang bekerjasama segenap tenaga sebagai satu barisan atau perikatan. Ia juga boleh bersenyawa dan bertindih beroleh cucu-cicit apabila mereka saling sokong-menyokong.

Mereka akan memperlihatkan hasrat mereka sebagai satu wawasan murni, menjenamakan diri sebagai pejuang, dan sangat cekap melakukannya.

Seperti yang saya sebut di awal, saya belum lihat usaha bersungguh-sungguh mana-mana pihak untuk meredam dan meredakan gejala ini. Dalam kalangan raja-raja Melayu, tuanku baginda yang aktif dan boleh diharapkan berperanan aktif melakukannya adalah pemerintah Perak iaitu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan Yang-di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Baginda berdua boleh menggerakkan satu kempen besar menyelamatkan kemerdekaan negara ini bersama-sama baginda tuanku yang lain. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.